Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Ukraine Kehilangan 40 daripada 192 Kereta Kebal Leopard “Didermakan” Kepadanya

Bagaimanapun media dan sumber-sumber ketenteraan Russia menyatakan bahawa kemusnahan kereta kebal Leopard buatan Jerman dan didermakan kepada Ukraine adalah lebih tinggi daripada 40 buah sebagaimana yang dilaporkan oleh media Amerika Syarikat itu.

0 4,198
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Ukraine dilaporkan telah kehilangan kira-kira 40 daripada 192 buah kereta kebal Leopard buatan Jerman yang “didermakan” kepadanya oleh negara-negara Eropah sejak bermulanya konflik ketenteraan negara itu dengan Russia.
Perkara itu dinyatakan oleh media Amerika Syarikat yang menggunakan data-data daripada Kementerian Pertahanan Ukraine.
“Kereta kebal Leopard amat berkesan, berkuasa dengan armor yang padu tetapi ia terdedah pada bahaya, malah laporan menyatakan bahawa sejak konflik dengan Russia bermula, sebanyak 40 buah kereta kebal Leopard milik Ukraine telah musnah.”
Bukan sahaja kereta kebal Leopard itu terdedah kepada bahaya serangan peluru berpandu anti-kereta kebal tetapi juga dron-dron terutamanya dron FPV (First Person View) yang banyak digunakan oleh kedua-dua pihak dalam peperangan.
Bagaimanapun media dan sumber-sumber ketenteraan Russia menyatakan bahawa kemusnahan kereta kebal Leopard buatan Jerman dan didermakan kepada Ukraine adalah lebih tinggi daripada 40 buah sebagaimana yang dilaporkan oleh media Amerika Syarikat itu.
Leopard
Anggota tentera Russia bergambar didepan kereta kebal Leopard 2A6 yang berjaya di tawan.
Menurut laporan daripada tentera Russia, tentera Ukraine kehilangan lebih banyak kereta kebal Leopard dalam operasi serangannya beberapa bulan kebelakangan ini termasuk di wilayah Kursk, yang terletak di dalam Russia.
Bagi menangani kemusnahan tinggi yang dialami kereta kebal Leopard milik tentera Ukraine, ia mula melengkapkan kereta kebal itu sistem pertahanan tambahan bagi mempertahankannya daripada serangan dron-dron.
Mengikut anggaran, sistem pertahanan terhadap serangan dron-dron itu dianggarkan bernilai US$20,000 (RM87,000), yang memberikan tekanan tinggi terhadap sumber kewangan Ukraine.
Sehingga Oktober tahun ini, tentera Ukraine dilaporkan telah menerima sebanyak 192 buah kereta kebal Leopard daripada beberapa negara Eropah termasuk varian Leopard 1 dan juga varian Leopard 2 yang lebih moden.
Kereta-kereta kebal Leopard milik Ukraine memainkan peranan yang penting dalam strategi keseluruhan tentera negara itu, tetapi pada masa yang sama kehadiran berterusannya di medan peperangan turut membawa risiko yang tinggi.
Laporan menyatakan bahawa kemusnahan kereta-kereta kebal Leopard milik Ukraine itu telah menjejaskan kemampuan kombat tenteranya, sehingga menyebabkan Kiev mengubah strategi keseluruhan tentera Ukraine.
Abrams
Kereta kebal Leopard 2A6 di Victory Park, Moscow.
Antaranya adalah tentera Ukraine terpaksa mengurangkan skala serangan terhadap Russia disebabkan kekurangan kereta kebal.
Sementara itu, tentera Russia meneruskan serangan-serangan anti-kereta kebal dan dron terhadap kereta-kereta kebal dan kenderaan perisai yang masih dimiliki oleh tentera Ukraine.
Daripada kereta-kereta kebal asing yang dibekalkan kepada Ukraine, kereta kebal Leopard adalah yang paling banyak dibekalkan kepada Kiev berbanding kereta-kereta kebal lain seperti Abrams buatan Amerika Syarikat dan Challenger buatan Britain.
Sejak daripada tahun lepas, negara-negara seperti Jerman dan bebeberapa negara Eropah yang lain telah membekalkan diantara seratus hingga dua ratus kereta kebal Leopard kepada Ukraine bagi digunakan untuk serangan balas musim bunga terhadap kedudukan tentera Russia.
Walaupun serangan balas musim bunga Ukraine pada 2023 itu bermula dengan baik, tetapi ia berhadapan dengan tentangan lebih hebat daripada tentera Russia yang mula mengubah taktik dan strategi mereka.
Leopard
Kereta kebal Leopard milik Ukraine yang berjaya ditawan Russia
Bagaimanapun Presiden Russia Vladimir Putin pernah dilaporkan berkata kepada koresponden perang negara itu bahawa Ukraine telah kehilangan lebih daripada 160 buah kereta kebal yang dibekalkan oleh negara-negara asing.
Memandangkan kereta kebal Leopard adalah yang paling banyak dibekalkan kepada Ukraine, maka adalah lojik untuk membuat kesimpulan bahawa banyak daripada kereta kebal yang dimusnahkan oleh Russia adalah kereta kebal Leopard.
Bagi kereta kebal Abrams pula, tentera Russia menyatakan daripada 31 kereta kebal buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada Ukraine, lebih daripada lima buah kereta kebal seberat 70 tan itu telah berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.
Akibat kemusnahan lima daripada kereta kebal Abrams, Amerika Syarikat telah “mengundurkan” kereta kebalnya itu daripada medan peperangan Ukraine berkemungkinan besar bertujuan untuk “menjaga reputasinya.”
Berikutan kemusnahan dialami oleh kereta-kereta kebal Leopard dibekalkan oleh Jerman dna negara Eropah lain, Timbalan Menteri Luar Ukraine Andii Melnyk telah meminta supaya Kiev dibekalkan dengan lebih banyak kereta kebal Leopard itu termasuklah varian terkininya, Leopard 2A6. — DSA

Comments
Loading...