MINDEF Serah Notis Pembatalan Kontrak Sewaan Empat Buah Helikopter UH-60A Black Hawk
Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan telah menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat buah helikopter UH-60A Black Hawk kepada syarikat yang memenangi kontrak tersebut, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ia susulan syarikat terbabit gagal memenuhi tarikh akhir penyerahan helikopter selepas dilanjutkan sehingga 30 Okt lalu.
“Tarikh serahan pada Oktober telah berakhir, jadi kita hantar notis pembatalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.
Dibawah perjanjian itu, helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November tahun lalu tetapi dilanjutkan kepada April tahun ini.

Ogos lepas, Kementerian Pertahanan telah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk kepada Tentera Darat.
Susulan perkembangan itu, tempoh kontrak sewaan dilanjutkan sehingga Oktober.
Penyewaan empat buah helikopter itu dikatakan untuk tempoh selama lima tahun.
Keempat-empat helikopter itu akan berfungsi sebagai pletfom kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai latihan dan tugasan penerbangan operasi.
TDM telah menghantar juruterbang ke Turkiye untuk menjalani latihan simulator helikopter Black Hawk.
Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata Aerotree Defence and Services memaklumkan peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.
Helikopter UH-60A Black Hawk berkemampuan untuk membawa 11 hingga 20 orang anggota tentera lengkap bersenjata serta seorang juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang krew.

