Tentera Udara Republik Singapura Mohon Maaf Pada Penduduk Bandar Australia
Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mengesahkan kepada stesen televisyen tempatan bahawa empat buah pesawat pejuang F-15SG miliknya yang berpangkalan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce, utara Perth sedang mengadakan latihan ketika penduduk-penduduk di bandar itu terdengar bunyi letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada sonic boom dihasilkan oleh pesawat pejuang Singapura itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) memohon maaf selepas pesawat-pesawat pejuang F-15SG miliknya berkemungkinan besar merupakan punca kepada bunyi kuat sonic boom yang didengar dan mencemaskan penduduk di selatan bandar Perth, Australia.
Kejadian berlaku selepas 11 pagi pada Rabu lalu telah menyebabkan penduduk-penduduk selatan bandar Perth itu mengadu di media-media sosial tentang bunyi kuat itu.
Terdapat tingkap di rumah-rumah penduduk tempatan yang pecah akibat bunyi yang kuat dihasilkan oleh pesawat-pesawat pejuang Singapura itu.
Penduduk-penduduk di Perth mendakwa bunyi yang didengar oleh mereka adalah seperti suatu letupan yang amat kuat.
Terdapat juga penduduk yang menyatakan bahawa rumah mereka “bergegar” ketika letupan kuat itu kedengaran.

Misteri kejadian bunyi kuat itu semakin hangat diperkatakan oleh penduduk di Perth selepas pihak Jabatan Geosains Australia menyatakan mereka tidak mengesan sebarang sebarang aktiviti seismik yang menyebabkan bunyi kuat itu.
RSAF mengesahkan kepada stesen televisyen tempatan bahawa empat buah pesawat pejuang F-15SG miliknya yang berpangkalan di pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Pearce, utara Perth sedang mengadakan latihan ketika penduduk-penduduk di bandar itu terdengar bunyi letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada sonic boom dihasilkan oleh pesawat pejuang Singapura itu.
JurucakapRSAF menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuangnya terbang kira-kira 70km daripada kawasan pantai pada ketinggian kira-kira 24,000 kaki di kawasan yang dikategorikan sebagai “kawasan latihan yang ditetapkan.”
“Laporan awal menunjukkan bahawa bunyi kuat (didengar penduduk Perth) berkemungkinan berpunca daripada pesawat-pesawat pejuang yang sedang mengadakan latihan.”
“Kami tidak sangka kerana pesawat-pesawat pejuang F-15SG itu berada jauh di kawasan perairan,” kata jurucakap RSAF itu.
Comments are closed.