Amerika Kerah F-35A ke Filipina Buat Pertama Kali, Tunjuk Isyarat Tegas Kepada Ancaman di Laut China Selatan
Penempatan bersejarah jet F-35A ke Pangkalan Udara Clark hantar isyarat bahawa Washington komited mempertahankan Filipina di tengah pencerobohan China.
Dalam perkembangan yang disifatkan sebagai mesej ketenteraan paling tegas kepada Beijing, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) buat pertama kali dalam sejarah telah menempatkan beberapa unit pesawat pejuang halimunan F-35A Lightning II di Filipina, di tengah-tengah ketegangan memuncak di Laut China Selatan.
Langkah bersejarah ini bermula pada 7 Julai 2025, apabila beberapa pesawat F-35A mendarat di Pangkalan Udara Clark, Pampanga, bagi menyertai latihan udara dwipihak Cope Thunder Philippines 25-2 yang dijadual berlangsung sehingga 18 Julai 2025.
Penempatan ini dilihat sebagai tindak balas terus terhadap kehadiran agresif Tentera Laut China (PLAN) dan kapal-kapal pengawal pantai Beijing yang semakin kerap menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina.
Latihan Cope Thunder kali ini menggabungkan lebih daripada 2,500 anggota, termasuk kira-kira 225 kru Tentera Udara AS dari Pemerintahan Pasifik dan 2,300 anggota Tentera Udara Filipina (PAF), menjadikannya salah satu latihan bersama terbesar sejak kerjasama pertahanan dua hala diperkukuh semula.
Latihan udara ini dilaksanakan di bawah rangka kerja Perjanjian Pertahanan Bersama (Mutual Defense Treaty) 1951 dan Perjanjian Kerjasama Pertahanan Ditingkatkan (EDCA) yang diperluaskan pada 2023, membenarkan Amerika Syarikat menggunakan sembilan pangkalan tentera di Filipina bagi penempatan bergilir.
Pihak PACAF menegaskan penempatan F-35A, pesawat generasi kelima dengan kos dianggarkan USD78 juta (kira-kira RM365 juta) seunit, adalah penanda aras baharu bagi keupayaan deterrence di rantau Asia Pasifik Barat.
Sepanjang latihan Cope Thunder, pesawat-pesawat pejuang halimunan ini terbang dalam formasi bersama FA-50PH PAF, A-29 Super Tucano, dan pesawat AS-211, menjalankan pelbagai misi simulasi termasuk dominasi udara, penindasan pertahanan udara musuh (SEAD), serangan sokongan rapat, isi minyak udara, serta senario peperangan elektronik.
Turut menyokong adalah pesawat tempur F-16 Fighting Falcon, F-22 Raptor, A-10 Thunderbolt II, pesawat pengangkut dan tanker yang berpangkalan di Guam dan Pangkalan Udara Misawa, Jepun.
Menurut laporan rasmi, hari pertama latihan menyaksikan pesawat F-35A dan FA-50PH beroperasi di ruang udara Pangkalan Udara Basa, kawasan latihan di Luzon Utara, dan koridor EEZ Filipina — zon yang kini menjadi tumpuan penempatan kapal perang China.
Dalam kenyataan media, Pengawal Pantai Filipina (PCG) mengesahkan kehadiran tiga kapal China iaitu kapal perisik Type 815G Tianwangxing (AGI-853), kapal pemusnah peluru berpandu Type 052D Guilin (164) dan kapal pengawal pantai China CCG 4203, berada 69.31 batu nautika barat Pulau Cabra, masih dalam EEZ Filipina.
Menurut PCG, kapal-kapal PLAN itu tidak memberi maklum balas kepada cabaran radio berulang, sekali gus membuktikan Beijing terus mengabaikan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) dan keputusan Mahkamah Timbang Tara 2016 yang menolak tuntutan sembilan garis putus China.
“Kehadiran kapal ketenteraan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif kita adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan perundangan maritim negara,” tegas kenyataan PCG itu.
Menariknya, Tianwangxing sebelum ini pernah dikesan semasa latihan bersama Balikatan 2024 dan Talisman Sabre di Australia, malah aktif menjejak kawasan sensitif termasuk zon maritim berhampiran India.
Taktik intimidasi Beijing di perairan sengketa semakin lantang, dengan insiden meriam air, penggunaan laser berkuasa tinggi, pelanggaran kapal dan sekatan akses di kawasan seperti Second Thomas Shoal dan Scarborough Shoal.
