Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Laut Pakistan Terima Kapal OPV Kelas-Yarmouk Keempatnya, PNS Yamama

Kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk milik Tentera Laut Pakistan PNS Yamama itu adalah berdasarkan kepada rekabentuk Damen OPV 2600, yang bersaiz lebih besar dan lebih berkeupayaan berbanding kapal-kapal peronda pesisir yang dipesan oleh negara itu daripada Damen pada 2017.

0 3,739
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 17 Disember lalu, Tentera Laut Pakistan telah menerima kapal peronda pesisir (OPV) kelas-Yarmouk yang keempat dan terakhirnya PNS Yamama daripada syarikat pembuat kapal Damen Shipyards Group.
Kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk milik Tentera Laut Pakistan PNS Yamama itu adalah berdasarkan kepada rekabentuk Damen OPV 2600, yang bersaiz lebih besar dan lebih berkeupayaan berbanding kapal-kapal peronda pesisir yang dipesan oleh negara itu daripada Damen pada 2017.
Kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk berupaya beroperasi sejauh 5,000 batu nautika dan mampu mencapai kelajuan maksimum 25 knot.
Kapal multi-misi ini dilengkapi dengan sistem sonar imbasan sisi (side-scan sonar) dan boleh melaksanakan pelbagai operasi maritim, termasuk misi Peperangan Anti-Kapal Selam (ASW) dan Anti-Periuk Api (MCM).
Sebagaimana tiga lagi buah kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk milik Tentera Laut Pakistan, kapal OPV PNS Yamama itu telah dibina di Limbungan Kapal Galati milik Damen di Romania.
Limbungan Kapal Galati milik Damen itu terletak di tebing Sungai Danube di Romania, yang merupakan salah satu kemudahan pengeluaran terbesar milik kumpulan Belanda itu, yang memiliki lebih daripada 30 limbungan pembinaan dan pembaikan kapal di seluruh dunia.

PNS Yamama

Bercakap semasa majlis penerimaan PNS Yamama itu, Laksamana Madya Muhammad Faisal Abbasi berkata, “Projek Kapal Peronda Luar Pesisir itu merupakan kejayaan besar bukan sahaja untuk Pakistan, tetapi juga untuk Damen, Limbungan Galati dan semua pihak yang terlibat dalam konsep, reka bentuk, pembinaan dan pentauliahan keempat-empat OPV ini.
“Saya yakin bahawa kerjasama antara Tentera Laut Pakistan dan Damen akan terus berkembang ke bidang baharu untuk manfaat bersama.”
Tentera Laut Pakistan telah mentauliahkan PNS Yarmouk dan PNS Tabuk pada tahun 2020 yang berdasarkan kepada rekabentuk Damen 1900 manakala kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk yang ketiga, PNS Hunain telah diserahkan pada Julai tahun lepas.
Sebagaimana kapal-kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk yang lain, PNS Yamama memiliki berat keseluruhan 2,600 tan dengan panjang 98 meter dan berkeupayaan membawa sebanyak 140 krew, dua buah Rigid Hulled Inflatable Boat dan sebuah helikopter bersaiz sederhana serta Uncrewed Aerial Vehicle.
PNS Yamama
PNS Yamama
Tentera Laut Pakistan mula memesan dua buah kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk yang berdasarkan kepada rekabentuk Damen 1900 pada 2017 sebelum menambah dua lagi kapal dengan rekabentuk Damen 2600 yang lebih besar dan berkeupayaan.
Kapal-kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk milik Tentera Laut Pakistan adalah elemen utama dalam strategi kapal-kapal perang permukaan tentera laut negara Asia Selatan itu.
Tentera Laut Pakistan bercadang menambah kapal-kapal perang permukaannya kepada sekurang-kurangya 50 buah kapal , dengan lebih daripada 20 buah kapal itu terdiri daripada kapal-kapal perang permukaan utama seperti friget dan korvet.
Kapal peronda pesisir (OPV) memainkan peranan pelengkap kepada kapal-kapal multi-misi yang lebih besar milik Tentera Laut Pakistan seperti korvet-kelas Babur dan frigat kelas-Tughril yang juga baru diperkenalkan.
Sementara kapal-kapal perang permukaan kelas- Babur dan kelas-Tughril lebih tertumpu kepada operasi peperangan konvensional seperti peperangan anti-kapal, Tentera Laut Pakistan dijangka menggunakan kapal peronda psisir kelas-Yarmouk untuk tugas-tugas pengawasan maritim, memerangi keganasan, operasi anti-narkotik, dan misi keselamatan maritim yang lebih luas.
Harbah
Peluru berpandu kruis “Harbah”
Keempat-empat kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk itu juga boleh dikonfigurasi untuk tujuan misi-misi yang lebih mencabar jika diperlukan.
Kapal-kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk milik Tentera Laut Pakistan itu boleh dilengkapi dengan peluru berpandu pelayaran anti-kapal (ASCM) untuk serangan anti-kapal dan serangan darat jarak jauh.
Sekiranya dilengkapi dengan peluru berpandu Harbah yang dihasilkan dalam negara, kapal-kapal peronda pesisir kelas-Yarmouk itu mampu menyerang sasaran permukaan sejauh sekurang-kurangnya 280 km. — DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.