Tentera Laut Myanmar Bina, Lancar Kapal Perang Terbesarnya, Friget “King Thalun”
Kapal friget "King Thalun" milik Tentera Laut Myanmar itu mula dibina pada tahun 2017 dipercayai menggunakan teknologi dan komponen China itu hanya siap baru-baru ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua hari lalu, Tentera Laut Myanmar telah melancarkan kapal friget terbesar dan terberat pernah dibinanya dinamakan “King Thalun” bersempena dengan sambutan ke-77 tentera laut negara Asia Tenggara itu.
Menurut laporan media tempatan, pelancaran kapal friget King Thalun milik Tentera Laut Myanmar di Navy Dockyard Headquarters itu turut dihadiri oleh pemerintah tertinggi angkatan tentera negara itu Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Kapal friget King Thalun itu mula dibina pada tahun 2017 dipercayai menggunakan teknologi dan komponen China itu hanya siap baru-baru ini.
Kapal friget King Thalun itu merupakan kapal perang terbesar dan paling canggih yang pernah dibina oleh Tentera Laut Myanmar.
Ia mempunyai panjang 135 meter, lebar 14.5 meter, dan tinggi 9 meter, dengan berat keseluruhan sebanyak 3,500 tan.
King Thalun dipercayai dilengkapi dengan 16 silo Vertical Launch System (VLS), berkemampuan melancarkan berpandu anti-kapal subsonik C-802 (YJ-82) yang boleh membedil sasaran sejauh 180km dan juga juga sistem pertahanan udara HQ-16.
HQ-16 yang dibangunkan pada akhir 2011 merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana yang dipercayai adalah berdasarkan kepada varian awal sistem pertahanan udara Buk buatan Russia.
Peluru berpandu anti-kapal C-802 dan sistem pertahanan udara jarak sederhana HQ-16 merupakan produk pertahanan syarikat China.
Sisten pertahanan udara HQ-16 itu menggunakan dua jenis peluru berpandu iaitu HQ-16A dengan jarak lebih pendek dan HQ-16B dengan jarak lebih jauh.
Peluru berpandu HQ-16A dikatakan mempunyai jarak maksimum sejauh 40 km dan ketinggian maksimum 18 km manakala model jarak jauh, HQ-16B, mampu mencapai jarak sehingga 60 hingga 70 km dan ketinggian antara 21 hingga 25 km.
Dilengkapi dengan sistem persenjataan dan teknologi moden, kapal friget King Thalun ini berkemampuan mencapai kelajuan sehingga 30 batu nautika sejam, sejajar dengan keperluan operasi tentera laut abad ke-21.
Dalam ucapannya, Jeneral Min Aung Hlaing menekankan kemajuan Tentera Laut Myanmar daripada membeli kapal-kapal tentera laut daripada negara luar kepada pembinaan kapal-kapal seumpama itu di dalam negara.
Beliau menegaskan kepentingan melindungi kedaulatan maritim dan sumber asli Myanmar, sambil menyatakan bahawa kapal perang moden seperti King Thalun adalah penting untuk mencapai matlamat tersebut.
Beliau juga menggariskan aspirasi masa depan tentera laut negara itu untuk beralih daripada pertahanan pesisir pantai kepada keupayaan operasi serantau.
Menurut laporan media tempatan lagi,kapal friget terkini dan tercanggih Tentera Laut Myanmar itu berkeupayaan mempertahankan sempadan perairan negara itu daripada ancaman konvensional dan bukan konvensional, melaksanakan rondaan dan pemantauan, memerangi pencerobohan kumpulan pengganas, melindungi sempadan maritim serta mengawal perairan wilayah negara.
King Thalun juga mampu melaksanakan operasi mencari dan menyelamat untuk tujuan kemanusiaan.
Dengan penambahan kapal friget King Thalun yang boleh digunakan dalam pelbagai operasi ketenteraan ke dalam tentera laut negara itu, Myanmar kini dapat melindungi perairannya dengan lebih berkesan, sekali gus membawa manfaat maritim kepada negara. — DSA