Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Israel Mula Gerakkan Kereta Kebal, Merkava Dan Kenderaan Armor Ke Sempadan Gaza

Dan semalam juga, tentera Israel juga mula menggerakkan puluhan kereta-kereta kebal Merkava, kenderaan armor serta sistem meriam bergerak M109 Paladin ke kawasan sempadan Semenanjung Gaza untuk bersedia terhadap segala kemungkinan serangan darat dilancarkan.

0 1,738

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang menunjukkan Israel bakal memulakan serangan darat terhadap Semenanjung Gaza pada bila-bila masa, tentera negara itu memutuskan untuk memanggil 7,000 anggota tentera simpanan untuk segera bertugas.

Dan semalam juga, tentera Israel juga mula menggerakkan puluhan kereta-kereta kebal Merkava, kenderaan armor serta sistem meriam bergerak M109 Paladin ke kawasan sempadan Semenanjung Gaza untuk bersedia terhadap segala kemungkinan serangan darat dilancarkan.

Kereta-kereta kebal Merkava terbabit serta meriam bergerak (self-propelled howitzer) M109 Paladin turut melepaskan bedilan meriam tanpa henti ke sasaran di Gaza semalaman.

Walaupun begitu, kereta-kereta kebal Merkava serta kenderaan armor tentera Israel masih belum menceroboh Semenanjung Gaza dan berada di sempadan.

Tentera Israel dijangka membuat keputusan untuk melancarkan serangan darat terhadap Gaza dalam waktu terdekat ini.

Merkava

Prospek serangan darat tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza semakin meningkat setiap hari kerana serangan udara oleh aset udara negara itu ke atas kedudukan pejuang Palestin di Gaza sehingga kini masih gagal menghentikan serangan roket terhadap bandar-bandar utama Israel.

Menurut pihak tentera Israel,  80-90 peratus daripada serangan roket daripada Gaza itu berjaya dipintas oleh sistem pertahanan “Iron Dome.”

Bandar-bandar seperti Tel Aviv, Ashkelon, Ashdod, Sderot dan komuniti Yahudi di sempadan Gaza-Israel masih dihujani dengan ratusan roket setiap hari, walaupun kedudukan pejuang Palestin di Gaza terus dibedil oleh serangan udara Israel.

Semalam sahaja, lebih daripada 200 roket telah dilancarkan ke arah bandar-bandar Israel termasuk ke Lapangan Terbang Ramon yang terletak jauh di Eilat berhampiran dengan Laut Merah menyebabkan lapangan itu terpaksa menggantung operasinya.

Semalam dua lagi penduduk Israel terbunuh akibat serangan roket daripada Gaza, menjadikan keseluruhan mangsa serangan roket pejuang Palestin kepada sembilan orang manakala puluhan yang lain mengalami kecederaan termasuk trauma.

Ayyash
Roket “Ayyash” yang mampu membedil sasaran sejauh 250km.

 

 

Manakala di pihak Palestin, sehingga kini 107 penduduknya terbunuh akibat serangan udara Israel termasuk 17 kanak-kanak dan lebih 500 yang lain cedera.

Dalam serangan terhadap Lapangan Terbang Ramon di Eilat itu, pejuang Palestin buat pertama kalinya menggunakan roket paling berkuasanya yang dipanggil “Ayyash” yang boleh membedil sasaran sejauh 250km.

Nama “Ayyash” itu adalah sempena pakar senjata Hamas, Yahya Ayyash yang mati dibunuh oleh tentera Israel.

“Ayyash” merupakan roket paling jauh yang dimiliki oleh pejuang Palestin iaitu Briged Al-Qassam serta paling berbahaya kerana ia membawa muatan peledak seberat 250kg.

Bagaimanapun roket “Ayyash” yang disasar terhadap Lapangan Terbang Ramon di Eilat itu gagal mengenai sasarannya.

Selain daripada roket “Ayyash” itu, pejuang-pejuang Palestin seperti Islamic Jihad dan lain-lain turut menggunakan roket-roket lain seperti Badr-3 dan Seijjil yang dikatakan adalah lebih tepat dan berkuasa berbanding roke-roket yang digunakan sebelum ini.

Ayyash
Roket “Ayyash” ketika dilancarkan.

 

Lapangan terbang utama negara itu, Ben-Gurion turut menggantung operasinya kerana serangan roket daripada Gaza.

Roket-roket terus dilancarkan terhadap Dimona, yang terletak di padang pasir Negev dan menempatkan pusat  kajian serta reactor nuklear Israel.

Sementara itu pihak tentera Israel turut mengesahkan pelancaran tiga roket daripada Lubnan ke utara Israel semalam, yang menimbulkan persoalan sama ada ia dilancarkan oleh pejuang-pejuang Hezbollah.

Roket terbabit yang jatuh di kawasan tidak berpenghuni di wilayah Galillee utara Israel tidak menyebabkan apa-apa kemusnahan mahupun kemalangan jiwa.

Namun ia telah meningkatkan lagi ketegangan kerana jika ia benar dilancarkan oleh Hezbollah, maka prospek konflik masa ini merebak kepada konflik serantau adalah amat tinggi.

Bagaimanapun, pemerhati mengatakan kemungkinan besar adalah ketiga-tiga buah roket itu dilancarkan oleh pejuang-pejuang Palestin yang berpengkalan di Lubnan.

DEFENCE SECURITY ASIA  

 

Comments
Loading...