Tentera Darat Bangladesh Kaji Perolehan Sistem Meriam Beroda 155mm 52Cal, SH-15 Buatan China
Lawatan ke China untuk melihat demonstrasi penembakan meriam bergerak SH-15 itu adalah berikutan jemputan daripada jemputan NORINCO dan menunjukkan perubahan daripada segi dasar perolehan senjata Bangladesh ke arah negara-negara seperti China dan Turkiye.

Tentera Darat Bangladesh dilaporkan sedang mengkaji untuk memperolehi meriam beroda (wheeled howitzer) SH-15 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan China, North Industries Group Corporation Limited (NORINCO).
NORINCO merupakan salah satu daripada syarikat pertahanan milik negara China yang membekalkan pelbagai sistem persenjataan kepada Angkatan Tentera China.
Baru-baru ini, delegasi tujuh orang pegawai kanan Tentera Darat Bangladesh diketuai oleh Pegawai Memerintah Divisyen Infantri ke-7 Mejar Jeneral Mohammad Moazzem Hossain telah melakukan lawatan empat hari ke China.
Ketika berada di China, delegasi pegawai kanan Tentera Darat Bangladesh itu telah dibawa untuk melihat demonstrasi penembakan meriam bergerak SH-15 dan segala peralatan dan komponen berkaitan dengan lojistiknya termasuk sistem penyelesaian simpanan pelurunya.
Lawatan ke China untuk melihat demonstrasi penembakan meriam bergerak SH-15 itu adalah berikutan jemputan daripada jemputan NORINCO dan menunjukkan perubahan daripada segi dasar perolehan senjata Bangladesh ke arah negara-negara seperti China dan Turkiye.
Tentera Bangladesh juga telah meningkatkan kerjasama dengan Pakistan.
Laporan media baru-baru ini mendakwa bahawa Bangladesh bakal mengikut jejak langkah Pakistan untuk menjadi negara kedua di Asia Selatan memperolehi pesawat pejuang J-10C yang dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) untuk tentera udaranya.
