Konflik Russia-Ukraine Buktikan Teknologi Senjata Barat Lebih Baik – Jeneral NATO
Salah seorang pegawai tinggi tentera udara Jerman Jeneral Chris Badia mendakwa siri kekalahan yang dialami oleh tentera Russia di Ukraine sejak beberapa bulan lepas membuktikan keberkesanan teknologi persenjataan negara-negara Barat dan bagaimana negara yang menggunakan teknologi Barat mempunyai kelebihan di medan perang konflik Russia-Ukraine.
(DEFENCE SECURTY ASIA) – Ketika memulakan “operasi ketenteraan khas” di Ukraine pada Februari tahun lepas, Russia menjangkakan kekuatan tenteranya secara “di atas kertas” akan mampu menundukkan tentera Ukraine dengan mudah, tetapi kini ia tidaklah berlaku sebagaimana dijangkakan oleh Moscow.
Sebagaimana yang telah kita lihat di medan peperangan lebih daripada setahun sejak bermulanya konflik Russia-Ukraine, Moscow sebenarnya berada diambang “kekalahan” di beberapa medan pertempuran di negara Eropah Timur itu.
Salah seorang pegawai tinggi tentera udara Jerman Jeneral Chris Badia berkata siri kekalahan yang dialami oleh tentera Russia di Ukraine sepanjang setahun konflik itu berlangsung membuktikan keberkesanan teknologi persenjataan negara-negara Barat dan bagaimana negara yang menggunakan teknologi Barat itu mempunyai kelebihan di medan perang.
“Konflik di Ukraine menunjukkan kita satu perkara iaitu teknologi Barat adalah kunci penting,” katanya yang merupakan timbalan komander tertinggi NATO bagi transformasi ketika bercakap pada symposium di Washington D.C.
Amerika Syarikat merupakan negara penyumbang terbesar kepada Ukraine, dengan bantuan ketenteraan berjumlah US$20.3 bilion (RM81 bilion) sejak 2014, termasuk US$17.6 bilion (RM70.4 bilion) sejak Russia menceroboh Ukraine pada 24 Februari tahun lepas.
Sumbangan kewangan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat untuk membiayai kempen ketenteraan Ukraine semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Diantara peralatan keselamatan dan ketenteraan yang disumbang oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine termasuklah kereta kebal Abrams MIA1, kenderaan berperisai Bradley, peluru berpandu Stinger, sistem anti-armor Javelin, meriam 155mm , sistem pesawat tanpa pemandu,kenderaan taktikal, peralatan electronic jamming, peluru dan pelbagai peralatan lain.
Selain Amerika Syarikat, negara-negara Barat lain turut menyumbang pelbagai peralatan ketenteraan dan keselamatan kepada Ukraine seperti meriam, kenderaan tempur, peluru berpandu pesawat jarak rendah dan lain-lain bagi membantu anggota tenteranya menentang pencerobohan tentera Russia.
Sumbangan peralatan ketenteraan Barat itu sampai ke tahap ianya menjejaskan tahap kesiapsiagaan tentera mereka sendiri,seperti bekalan peluru dan sebagainya.
Pegawai-pegawai Ukraine berpuashati dengan kemampuan sistem persenjataan moden yang disumbang oleh negara-negara untuk anggota tenteranya dan kini “menambah” permohonan bekalan senjata Barat termasuk pesawat pejuang seperti F-16.
Menurut pegawai tentera udara Jerman itu, pegawai-pegawai kanan Pentagon Amerika Syarikat berpendapat bahawa Russia tidak berupaya untuk menangani kecanggihan sistem persenjataan Barat yang digunakan oleh Ukraine.
Ini dapat dilihat dengan kekalahan demi kekalahan dialami oleh tentera Russia di Ukraine.
Menteri Pertahanan Ukraine Oleksii Reznikov berkata, Russia mesti dikalahkan di medan peperangan dan negara Eropah Timur itu telah pun menunjukkan kepada dunia bahawa ia berkemampuan untuk mengalahkan Russia.
Panglima tentera tertinggi Amerika Syarikat pula menganggarkan hampir 200,000 anggota tentera Russia sama ada maut atau tercedera dalam konflik di Ukraine.
Pencerobohan tentera Russia di Ukraine katanya juga telah menyebabkan kira-kira 40,000 penduduk awam negara itu maut dan menyebabkan di antara 15 juta hingga 30 juta penduduk terpaksa melarikan diri daripada kediaman masing-masing.
Kementerian Pertahanan United Kingdom pula mendakwa bahawa pihak tentera Russia telah kehilangan 25 peratus atau 23 buah helikopter penyerang Ka-52 “Alligator” sejak konflik bersenjata di Ukraine tercetus.
Dalam satu update menerusi akaun Twitter miliknya, Kementerian Pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa Russia memiliki 90 buah helikopter penyerang itu di dalan angkatan tenteranya.
Menurutnya, kemungkinan besar helikopter penyerang Russia itu menjadi mangsa kepada sistem peluru berpandu pertahanan udara (manpads) Ukraine yang telah disumbang oleh Amerika Syarikat dan rakan-rakan Baratnya. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.