Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Pertembungan” Semakin Sengit Antara Kapal Selam Amerika-China Di Laut China Selatan?

Disebabkan “pertembungan” yang semakin sengit antara kapal-kapal selam China dan Amerika Syarikat terutamanya di Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan, negara-negara di Asia Tenggara telah bertindak meningkatkan pegangan aset bawah laut mereka.

3,372

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden kapal selam berkuasa nuklear Amerika Syarikat kelas-Seawolf “USS Connecticut” terlanggar “objek tidak diketahui” di suatu lokasi tidak didedahkan di Laut China Selatan baru-baru ini mengambarkan bahawa keadaan dasar di laut yang amat strategik itu juga kini amat “sibuk” dengan pelbagai aktiviti kapal selam.

Kita boleh menjangkakan bahawa “pertembungan” di antara kapal-kapal perang China dengan Amerika Syarikat dan sekutunya bukan sahaja berlaku di atas permukaan di Laut China Selatan, tetapi juga berlaku di bawah permukaan.

Setakat ini, tentera laut Amerika Syarikat tidak mendedahkan apa yang sebenarnya telah berlaku pada kapal selam USS Connecticut atau apa yang ia “terlanggar,” ia cuma berkata bahawa insiden berlaku ketika kapal selam itu sedang menjalankan “misi-misi rutin” di Laut China Selatan.

Namun apa yang pasti, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat kebelakangan ini, semakin banyak aset-aset dasar laut milik negara kuasa besar dunia itu telah dikerah untuk beroperasi di kawasan pentadbiran armada 7th Fleet termasuk Laut China Selatan dan Pasifik.

Ia adalah selari dengan pivot tentera Amerika Syarikat yang kini menjuruskan operasinya ke rantau Indo-Pasifik untuk menangani sikap agresif tentera China.

USS Connecticut
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Disebabkan “pertembungan” yang semakin sengit antara kapal-kapal selam China dan Amerika Syarikat terutamanya di Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan, negara-negara di Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah bertindak meningkatkan pegangan aset bawah laut mereka.

Sebagai contoh, Thailand telah memesan tiga buah kapal selam S-26T daripada China, Filipina sedang kaji nak beli “Scorpene”, Singapura tambah empat buah lagi kapal selam Jerman dan Vietnam dah ada enam buah kapal selam Kilo Russia manakala Indonesia juga meneruskan program perolehan kapal selamnya.

Selepas menerima kapal selam jenis-Chang Bogo buat syarikat Korea Selatan, Jakarta kini sedang menilai beberapa buah jenis kapal selam lain untuk memperkuatkan pertahanan dasar lautnya, selepas tragedi tenggelamnya KRI Nanggala yang berusia lebih 40 tahun itu baru-baru ini.

Myanmar juga sudah mempunyai sebuah kapal selam, walaupun ia adalah ehsan daripada India dan sudah pasti selepas memahirkan diri dengan operasi kapal selam dan taktik/strategi peperangan bawah permukaan, Yangon juga akan menambah pegangan kapal selamnya.

Selaras dengan trend terkini, adalah tidak memeranjatkan juga sekiranya negara-negara seperti Kemboja dan Timor Leste juga sedang membuat perancangan untuk memiliki kapal selam bagi tentera laut mereka.

Nasib baik, Laos itu adalah sebuah negara “landlocked”, jikalau tidak ia pun berkemungkinan sedang merancang untuk memiliki kapal selam.

USS Connecticut
Kapal selam buatan China yang bakal diperolehi oleh Thailand.

 

Australia juga kini beralih ke kapal selam nuklear, bagi membolehkan ia menangani ancaman keselamatan daripada kapal selam China di Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan.

Bagi Malaysia, kita terpaksa bergantung kepada dua buah kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri yang kita terima pada 2007-2008.

Kedua-dua kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri yang dimiliki oleh TLDM, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak tidak dapat dinafikan adalah aset-aset yang berkemampuan, dengan kedua-duanya dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet SM39 dan torpedo “Black Shark.”

Kita pun meletakkan kedua-dua kapal selam kita di Pangkalan Kota Kinabalu, berhadapan dengan Laut China Selatan, menyedari bahawa lapangan operasi paling penting untuk KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah di perairan itu.

Harapan kita semua adalah, kerajaan berusaha untuk menambah pegangan kapal selam kita, sekurang-kurangnya dua buah lagi bagi menjadikan keseluruhan aset kapal selam kelas-Perdana Menteri TLDM kepada empat buah.

Bergantung kepada hanya dua buah kapal selam untuk satu tempoh yang lama, mengawasi keluasan perairan yang amat luas sememangnya tidak baik atas sebab-sebab yang ramai daripada kita sudah pun ketahui.

USS Connecticut
Kapal selam “Scorpene” Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Bagaimanapun, kita terpaksa menerima hakikat bahawa buat masa ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menambah pegangan kapal selam, dengan faktor kekurangan dana berkemungkinan besar menjadi puncanya.

Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris, Asia Defence Journal (ADJ) keluaran Mei-Jun, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, buat masa ini tiada perancangan untuk memperoleh kapal selam baru.

“Buat masa ini, tiada perancangan untuk memperoleh kapal selam baru. Kedua-dua kapal selam Scorpene di dalam inventori kita baru sahaja selesai menjalani program refit selaras dengan usaha penyelenggaran rutinnya.”

“Kemampuan kedua-dua kapal selam itu pada ketika ini masih legi signifikan untuk keperluan operasi.”

“Dimasa depan, TLDM terbuka untuk teknologi-teknologi baru bagi menaiktaraf, peningkatan atau perolehan untuk memenuhi keperluan operasi pada masa depan,” kata Panglima TLDM itu dalam temuramah terbabit.

Daripada apa yang diperkatakan oleh Mohd Reza dalam temuramah itu, nampaknya, TLDM perlu menggunakan kedua-dua kapal selam kelas-Perdana Menteri untuk tempo operasi yang amat tinggi bagi mengawasi sempadan perairan bawah permukaan negara daripada dicabul oleh mana-mana kapal selam asing.

Tidak tahulah apa kesan yang terpaksa ditanggung oleh kapal-kapal selam kita itu hasil daripada tempoh operasi yang amat tinggi itu.

 

 

 DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...