Tanpa C4ISR, Peluru Berpandu BrahMos Milik Filipina Hanya “Simbol, Tanpa Kegunaan Operasional”
Dipetik dalam media tempatan India “The Print” baru-baru ini, Ashley Tellis yang juga merupakan felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace berkata, tanpa C4ISR (Command, Control, Communications, computer (C4), intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR)), Manila tidak dapat menggunakan peluru berpandu BrahMos dengan berkesan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang bekas penasihat Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa peluru berpandu BrahMos diperolehi oleh Filipina tidak mempunyai banyak kegunaan daripada segi operasional kepada angkatan tentera negara Asia Tenggara itu.
Sebagaimana dipetik dalam media tempatan India “The Print” baru-baru ini, Ashley Tellis yang juga merupakan felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace berkata, tanpa C4ISR (Command, Control, Communications, computer (C4), intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR)), Manila tidak dapat menggunakan peluru berpandu BrahMos dengan berkesan.
Namun pada masa yang sama, beliau berkata bahawa peluru berpandu BrahMos itu adalah suatu sumbangan yang baik untuk pertahanan Filipina.
“Penjualan peluru berpandu BrahMos adalah sumbangan yang baik kepada keselamatan Filipina, tetapi negara itu masih belum cukup lengkap untuk memulakan pengoperasiannya.”
“Filipina masih belum mempunyai kemampuan C4ISR untuk menggunakan peluru berpandu BrahMos dengan ‘berkesan’,” kata beliau.
Tanpa kemampuan C4ISR, pemilikan peluru berpandu BrahMos itu adalah suatu “simbol yang baik tetapi ia tidak akan memberikan banyak kegunaan daripada segi operasional.”

Namun beliau berkata, Amerika Syarikat boleh memberi bantuan kepada Angkatan Tentera Filipina dalam meningkatkan lagi kemampuannya di dalam aspek C4ISR.
Filipina muncul sebagai pelanggan eksport pertama peluru berpandu BrahMos itu apabila ia menganugerahkan kontrak pembelian sistem peluru berpandu itu yang dianggarkan bernilai US$375 juta (RM1.8 billion) kepada syarikat BrahMos Aerospace Private Ltd yang membangunkan sistem itu pada Januari 2022.
Pada April lepas, negara Asia Tenggara itu mula menerima peluru berpandu BrahMos yang pertama daripada India.
Pembelian peluru berpandu BrahMos oleh Filipina daripada India itu termasuk pakej lojistik dan latihan anggota tentera Filipina.
Comments are closed.