Syarikat Saab Taruh Keyakinan Tinggi Filipina Ikut Jejak Thailand Pilih JAS39 Gripen
Selepas 10 tahun tidak memenangi sebarang kontrak penjualan pesawat pejuang, syarikat Saab Group kini menaruh berkeyakinan tinggi bahawa ia akan berjaya menarik perhatian Filipina pula untuk memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen, mengikut jejak langkah Thailand.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas kejayaannya di Thailand minggu lepas, syarikat Saab Group daripada Sweden yang membangunkan pesawat pejuang JAS39 Gripen kini beralih kepada Filipina dalam percubaannya untuk “menawan hati” negara Asia Tenggara kedua itu pula.
Selepas 10 tahun tidak memenangi sebarang kontrak penjualan pesawat pejuang, syarikat Saab Group kini menaruh berkeyakinan tinggi bahawa ia akan berjaya menarik perhatian Filipina pula untuk memilih pesawat pejuang JAS39 Gripen, mengikut jejak langkah Thailand.
Daripada 10 tahun tiada pembeli, syarikat Sweden ini berkemungkinan memperolehi dua pembeli baru pesawat-pesawat pejuangnya.
Minggu lepas, Filipina mengumumkan bahawa ia merancang untuk membelanjakan US$33 billion (RM142 billion) untuk memodenkan angkatan tenteranya dengan peluru berpandu jarak sederhana dan juga pesawat-pesawat pejuang moden, menurut pegawai-pegawai kanan pertahanan negara Asia Tenggara itu.
Filipina dilapor bercadang untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang.
Perancangan untuk berbelanja besar bagi pertahanan negara itu dilakukan ketika Filipina sedang berhadapan dengan sikap agresif China terutamanya di perairan Laut China Selatan.
Manila dijangka membuat keputusan pada akhir tahun ini tentang pesawat pejuang pilihannya, dengan banyak pihak di negara itu meramalkan JAS39 Gripen adalah pendahulu dalam persaingan membekalkan pesawat pejuang kepada Filipina.
Sebagaimana di Thailand, pesawat pejuang buatan Sweden itu juga berhadapan dengan pesawat pejuang Amerika Syarikat F-16 Block 70 dan juga pesawat pejuang buatan Korea Aerospace Industries (KAI), KF-21 “Boramae”.
Pada tahun 2021, Amerika Syarikat telah meluluskan potensi penjualan 12 buah varian terkini pesawat pejuang F-16 kepada Filipina, tetapi urusan pembelian itu tertangguh sehingga kini akibat kekangan kewangan dihadapi oleh Manila yang menganggap harga yang ditawarkan oleh Washington itu “terlalu mahal.”
Potensi penjualan 10 buah pesawat F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72 yang dibangunkan oleh Lockheed Martin menelan belanja US$2.5 bilion (RM11.25 bilion).
Berikutan harga varian terkini pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan di luar “kemampuan” Filipina, maka negara Asia Tenggara itu sedang mencari jalan alternatif untuk mendapatkan pesawat-pesawat pejuang baru untuk tentera udaranya.
Disebabkan harga pesawat-pesawat pejuang F-16 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat itu adalah terlalu mahal dan diluar kemampuan Manila, maka Sweden telah menawarkan pesawat pejuang JAS39 Gripen.
Pada Jun lalu, kerajaan Filipina dan Sweden telah menandatangani perjanjian bertujuan untuk menyokong perolehan pesawat pejuang untuk Tentera Udara Filipina.
Menurut pemerhati tentera serantau, perjanjian terbaru antara Filipina dan Sweden itu menandakan Manila kini adalah “semakin hari semakin hampir” untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu skuadron JAS39 Gripen buatan syarikat pertahanan Sweden, Saab untuk kegunaan Tentera Udara Filipina.
Bertajuk “Implementing Arrangement Concerning the Procurement of Defense Materiel and Equipment”, perjanjian itu memberikan kerajaan Filipina garis panduan untuk memperolehi aset-aset pertahanan daripada Sweden.
Filipina dikatakan sedang menimbangkan untuk memiliki di antara 12 hingga 14 buah pesawat pejuang Gripen itu bagi membolehkannya membentuk satu skuadron pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft – MRCA) bagi bergandingan dengan pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan miliknya.
Filipina dijangka akan memperolehi pesawat pertama Gripen itu pada 2027 seawalnya dan pesawat terakhir atau ke-14 pada 2028.
Pada akhir bulan lepas, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mengumumkan secara rasmi pemilihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Sweden, Saab Group sebagai pesawat pejuang terbarunya, mengatasi F-16 Block 70/72 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.
Pemillihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F oleh RTAF itu telah diumum sendiri oleh panglimanya Air Chief Marshall Phanphakdee Phattanakul menerusi satu kenyataan.
Jawatankuasa Pemilihan Tentera Udara Diraja Thailand membuat keputusan pemilihan pesawat JAS39 Gripen E/F selepas kedua-dua pihak, Sweden dan Amerika Syarikat mengemukakan maklumat tambahan berkenaan tawaran mereka pada 20 Ogos lalu.
“Selepas meneliti segala faktor, jawatankuasa telah memilih pesawat pejuang Gripen E/F berbanding F-16 Block 70/72,” menurut kenyataan oleh ACM Phanphakdee Pattanakul itu.
Buat permulaan RTAF akan memperolehi empat buah pesawat pejuang Gripen E/F untuk menggantikan kira-kira 12 buah pesawat pejuang F-16 telah berusia yang masih digunakan oleh tentera udara negara itu. — DSA
Comments are closed.