Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Russia, Fores Beri Hadiah Wang Tunai US$168,000 Bagi F-16 Pertama Ukraine Ditembak Jatuh

Sebuah syarikat Russia dinamakan “Fores” telah menawarkan wang tunai sebanyak 15 juta Rubles (US$168,000) kepada mana-mana anggota tentera negara itu yang berjaya menembak jatuh pesawat pejuang F-16 yang pertama dioperasikan oleh Ukraine.

11,280

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Sebuah syarikat Russia dinamakan “Fores” telah menawarkan wang tunai sebanyak 15 juta Rubles (US$168,000) kepada mana-mana anggota tentera negara itu yang berjaya menembak jatuh pesawat pejuang F-16 yang pertama dioperasikan oleh Ukraine.

Pengarah syarikat itu Sergei Shmotyev mengumumkan hadiah itu ketika St. Petersburg International Economic Forum (SPIEF) yang berlangsung baru-baru ini.

“Kami telah mengumumkan hadiah wang tunai kepada mana-mana anggota tentera yang berjaya memusnahkan pesawat pejuang F-16 sekiranya pesawat pejuang itu dibekalkan kepada Ukraine, ” menurut beliau.

Berpangkalan di Urals, syarikat Fores itu bergiat di dalam industri minyak dan gas.

Sebelum ini, syarikat yang sama juga telah menawarkan bayaran wang tunai yang besar terhadap mana-mana anggota tentera Russia yang berjaya memusnahkan kelengkapan tentera milik musuh termasuk kereta kebal.

Antaranya adalah bayaran kepada mana-mana anggota tentera yang berjaya membuktikan kereta-kereta kebal dibekalkan oleh Barat kepada Ukraine seperti M1A1 Abrams dan juga Leopard.

Leopard
Kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang dimusnahkan oleh tentera Russia.

 

Tawaran bayaran tunai itu adalah sebahagian daripada strategi pihak syarikat untuk menyokong Angkatan Tentera Russia dan memperkuatkan moral anggota tentera negara itu yang berjuang di medan peperangan di Ukraine.

Ia juga adalah tanda perpaduan pihak korporat Russia terhadap kerajaan negara itu dipimpin oleh Presiden Vladimir Putin.

Keputusan syarikat Fores itu menawarkan bayaran wang tunai itu adalah suatu tindak balas terhadap peningkatan bekalan senjata oleh pihak Barat kepada Ukraine yang kini meliputi pesawat-pesawat pejuang F-16.

Juruterbang-juruterbang Ukraine telah pun dihantar ke United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menjalani latihan bagi menerbangkan pesawat pejuang F-16 yang antara lain dibekalkan oleh beberapa negara Eropah terutamanya Belanda, Belgium dan Denmark.

Russia pula telah mengeluarkan amaran bahawa sistem pertahanan udaranya akan menembak jatuh pesawat-pesawat pejuang F-16 terbabit sebaik sahaja ia berlepas daripada mana-mana pangkalan udara di Ukraine.

Pada tahun lepas, Kementerian Pertahanan Russia mengumumkan bahawa seramai 10,000 anggota tentera negara itu telah menerima habuan berbentuk wang tunai hasil kejayaan mereka memusnahkan peralatan ketenteraan Ukraine seperti sistem roket lancaran berganda HIMARS buatan Amerika Syarikat serta pesawat pejuang dan helikopter.

Abrams
Kereta kebal Abrams yang musnah di Ukraine sedang diangkut untuk dipamerkan di Victory Park di Moscow.

 

Anggota tentera Russia yang berjaya memusnahkan kereta-kereta kebal Leopard dan kereta perisai buatan negara-negara Barat serta NATO dalam pertempuran di wilayah Zaphorizia di selatan Ukraine juga menerima bayaran khas wang tunai diatas kejayaan mereka.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, habuan paling tinggi diterima oleh anggota tentera Russia adalah 300,000 Rubles (RM16,000) kerana berjaya memusnahkan sistem pelancar roket berganda HIMARS dan sistem peluru berpandu darat ke darat, TOCHKA-U milik Tentera Ukraine.

“Diatas kejayaan mereka memusnahkan 15 buah sistem pelancar TOCHKA-U dan HIMARS, anggota tentera Russia menerima bayaran sebanyak 300,000 Rubles setiap seorang,” menurut Kementerian Pertahanan Russia.

Selain itu, bayaran sebanyak 300,000 Rubles juga dibuat terhadap anggota tentera Russia yang berjaya menembak jatuh sejumlah 45 buah helikopter dan 71 pesawat pejuang milik tentera Ukraine sepanjang konflik berlangsung. 

Pada tahun 2022, 7,064 anggota tentera Russia menerima bayaran khas kerana memusnahkan 11,586 kelengkapan anggota tentera Ukraine. — DSA

 

Comments are closed.