Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia-Turkiye Akan Meterai MoU G2G Berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan

Menurut akaun FB Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini, selain itu, pemain-pemain industri pertahanan kedua-dua negara itu juga akan memeterai Perjanjian-Perjanjian Kolaborasi dan Kerjasama.  

0 3,514

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malaysia dan Turkiye akan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan dengan Kerajaan (G2G) berkenaan Perolehan Produk-Produk Pertahanan semasa lawatan lima Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara Mediterranean itu bermula hari ini.

Menurut akaun FB Menteri Pertahanan, selain itu, pemain-pemain industri pertahanan kedua-dua negara itu juga akan memeterai Perjanjian-Perjanjian Kolaborasi dan Kerjasama.  

Menurutnya, semasa lawatannya ke Turkiye itu beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Secretariat of Defence Industries (SSB).

SSB kata beliau adalah sebuah institusi yang ditubuhkan Kerajaan Türkiye untuk menguruskan industri pertahanan Türkiye dan pembekalan teknologi ketenteraan.

Pertemuan yang sama juga akan diadakan bersama anak syarikat dan sekutunya, STM.

Turkiye
(FB Menteri Pertahanan)

 

“Semasa berada di sini, saya akan mengadakan lawatan industri ke syarikat-syarikat pertahanan Türkiye, seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ), Aselsan dan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE), di samping pertemuan bersama DESAN Shipyard,” kata Mohamed Khaled di dalam akaun FB miliknya itu.

Terdahulu Menteri Pertahanan Malaysia itu berkata, Malaysia dan Turkiye sememangnya telah merintis hubungan diplomatik yang baik termasuklah dalam konteks pertahanan.

Pastinya kesempatan ini kata beliau, akan digunakan sebaik-baiknya bagi memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Turkiye.

“Dalam rangka lawatan ini, Mesyuarat Malaysia – Türkiye High Level Committee on Defence Cooperation (HLC) Meeting akan diadakan buat julung kalinya.

“Ia melibatkan delegasi Kementerian Pertahanan Malaysia dan Ministry of National Defense Türkiye (MoND). Saya turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Turkiye Türkiye, TYT Yaşar Güler,” kata beliau.

Anka
“ANKA” Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dibangunkan oleh TUSAS.

 

Defence Security Asia menjangkakan topik utama perbincangan antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan pemain-pemain utama Turkiye terutamanya STM adalah berkenaan program pembinaan kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II.

Selain itu, Menteri Pertahanan juga akan melawat kemudahan Mechanical and Chemical Industry Corporation (MKE) yang telah menawarkan sistem meriam bergerak 155mm 52 Cal “Yavuz” untuk digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

“Yavuz” adalah antara pencabar utama dalam persaingan untuk membekalkan sistem SPH kepada Tentera Darat Malaysia.

Selain itu, MKE juga dikatakan mahu menawarkan meriam 105mm dibangunkannya sendiri iaitu “Boran” untuk menggantikan meriam 105mm Pack Howitzer digunakan oleh Tentera Darat Malaysia sejak sekian lama.

Lawatan Mohamed Khaled ke Turkish Aerospace Industries (TUSAŞ) pula berkemungkinan besar adalah untuk melihat lebih dekat pembinaan dron-dron “Anka” yang telah pun diperolehi oleh Kementerian Pertahanan untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turkiye
Korvet kelas-ADA 
Yavuz SPH
Sistem meriam bergerak “Yavuz” 155mm 52 cal yang dibangunkan oleh gergasi industri pertahanan Turkiye, MKE.

 

Bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan Kementerian Pertahanan dan TUSAS akan memperhalusi tawaran syarikat Turkiye supaya Malaysia menjadi rakan kerjasama kepada program pembinaan pesawat pejuang generasi kelimanya, “KAAN”.

Selain “KAAN”, TUSAS juga membangunkan helikopter penyerang “ATAK” dan helikopter saiz sederhana “Gokbey.”

Walauapapun, Defence Security Asia menjangkakan beberapa perkembangan menarik akan berlaku sepanjang lima hari Menteri Pertahanan Malaysia berada di Turkiye. — DSA

Comments
Loading...