Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat “Glocom” Di Kuala Lumpur Dan Perisik-Perisik “Reconnaisance General Bureau” Korea Utara

RGB ini juga dipanggil “Chongch'al Ch'ongguk” a.k.a. KPA Unit 586.

0 4,326

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2017, agensi media antarabangsa Reuters telah membongkar aktiviti perniagaan sebuah syarikat dinamakan “Glocom” daripada pejabatnya yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Menurut agensi  berita itu, berdasarkan laporan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Majlis Keselamatan badan dunia itu, syarikat “Glocom” ini hanyalah syarikat samaran (front companies) yang dioperasikan oleh agen-agen perisik Korea Utara.

KORUT
Pejabat GLOCOM dikatakan terletak di bangunan ini di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Apakah yang dijual oleh syarikat “Glocom” ini daripada pejabatnya di Kuala Lumpur?

Syarikat ini menjual kira-kira 30 jenis perkakasan radio medan (battlefield radio equipment) untuk kegunaan pihak-pihak tentera dan polis menerusi laman webnya di glocom.com.my, yang telah diturunkan pada 2018. Selain itu Glocom juga menjual sistem radar dan sistem elektronik yang lain.

Dan menurut pemerhati, banyak pihak berminat dengan sistem radio medan yang dihasilkan oleh syarikat Glocom ini, mungkin kerana ia berkesan atau pembelinya juga telah dikenakan sekatan ekonomi oleh PBB juga.

Menurut laporan juga, pemegang-pemegang saham bagi syarikat Glocom ini adalah warga Korea Utara, sebagaimana yang tertera di dalam laman web syarikat itu serta rekod pendaftaran syarikat di agensi kerajaan.

Menurut laporan oleh PBB itu lagi, pada Julai 2016 satu penghantaran radio medan menggunakan perkhidmatan udara daripada China ke Eritrea telah berjaya dipintas oleh pihak berkuasa di sebuah negara ketiga yang tidak dinamakan.

Rampasan itu terdiri daripada 45 kotak  mengandungi radio-radio medan dan perkakasan sokongannya dengan label tertera “Global Communication Co” atau nama pendeknya “Glocom.”

Menurut laporan oleh badan dunia itu lagi, syarikat “Glocom” itu dikawal selia dan diuruskan oleh agen-agen perisik Korea Utara daripada “Reconnaisance General Bureau” (RGB), sebuah agensi perisikan Korea Utara yang bertanggungjawab terhadap operasi luar negara dan perolehan senjata.

Glocom
Antara produk yang dijual oleh syarikat GLOCOM.

RGB ini juga dipanggil “Chongch’al Ch’ongguk” a.k.a. KPA Unit 586.

RGB ini adalah agensi perisikan luar negara Korea Utara yang paling utama dan ia terdiri daripada enam bahagian, sebagaimana yang diperkatakan oleh penganalisis perisikan antarabangsa.

Ia terdiri daripada operasi, pemantauan, teknologi dan kemampuan siber, perisikan luar negara, rundingan antara Korea serta perkhidmatan sokongan.

RGB ini jugalah yang dikatakan sebagai pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan siber terhadap musuh-musuh Pyongyang.

Laporan PBB mengenai syarikat “Glocom” yang diuruskan oleh agen-agen perisikan Korea Utara itu sedikit sebanyak memberikan kita gambaran tentang peranan yang dimainkan oleh lelaki warganegara itu, Mun Chol Myong yang kini berada “at the centre of dispute” antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara.

Sebagaimana yang kita ketahui, mahkamah Malaysia telah memerintahkan Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat.

Perintah ekstradisi oleh mahkamah Kuala Lumpur itu telah mengakibatkan kemarahan Pyongyang yang bertindak memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Kuala Lumpur yang telah terjalin sejak 1973.

Korea Utara tidak mahu menyerahkan Myong kepada AmerikaSyarikat kerana ia tahu modus operasi syarikat-syarikat samarannya seperti “Glocom” bakal terdedah apabila lelaki tersebut berada di dalam genggaman pihak berkuasa AmerikaSyarikat.

Menerusi ekstradisi Myong ke Amerika Syarikat, Washington akan dapat mengetahui dengan lebih mendalam strategi dan taktik yang digunakan oleh syarikat-syarikat samaran Korea Utara di seluruh dunia dalam “mengalahkan” sekatan ekonomi yang dikenakan terhadapnya oleh PBB dan Amerika Syarikat.

Ini akan mengakibatkan segala operasi syarikat-syarikat samaran Korea Utara di seluruh dunia berada dalam bahaya.

Mungkin kerana itulah ia bersungguh-sungguh tidak mahu mahu menyerahkan Myong kepada Amerika Syarikat, kerana implikasi penyerahan warganya itu adalah amat buruk kepada keseluruhan operasi syarikat-syarikat samaran Korea Utara.

Dalam kenyataan Wisma Putra semalam, ia turut mendedahkan bahawa Korea Utara telah membuat “demarches” supaya kerajaan Malaysia campurtangan dalam urusan perundangan agar warganya itu tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat.

“Demarches” ini membawa maksud usaha-usaha diplomatik oleh Korea Utara supaya Malaysia tidak menghantar rakyatnya ke pangkuan musuh ketatnya iaitu Amerika Syarikat.

Selepas segala usahanya gagal, Korea Utara bertindak untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Sebagai tindak balas, Malaysia turut memerintahkan kesemua kakitangan diplomatik Korea Utara dan tanggungannya supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam bermula daripada semalam.

Pengumuman keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan dengan Malaysia telah dilakukan oleh agensi berita rasmi negara itu, KCNA yang berkata,  Kuala Lumpur telah “melakukan jenayah yang tidak boleh dimaafkan.”

Kenyataan itu juga menyebut, tindakan Malaysian itu adalah sesuatu yang “hostile” dan dilakukan di atas tekanan daripada Amerika Syarikat.

Myong, 50-an, ditahan oleh polis Malaysia pada 2019 dan selepas lebih setahun  perbicaraan di mahkamah, pada 9 Mac lalu beliau diperintah supaya diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Lelaki warga Korea Utara itu didakwa dengan empat tuduhan pengubahan wang haram serta dua tuduhan konspirasi untuk membersihkan wang haram.

Malaysia adalah diantara negara Asia Tenggara “yang paling mesra” dengan rejim di Korea Utara sehinggalah pembunuhan Kim Jong Nam, iaitu abang kepada pemimpin negara itu, Kim Jong Un di KLIA beberapa tahun lepas.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...