Syarikat China berkait agensi perisikan kumpul data 1,400 rakyat M’sia
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Defence Security Asia) — Rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati selepas ini kerana sebuah firma China yang mempunyai hubungan dengan tentera dan rangkaian perisikan di negara itu didakwa telah mengumpulkan maklumat profil 1,400 rakyat Malaysia.
Laporan khas yang dihasilkan oleh ABC News yang berpusat di Australia dan dipetik oleh Malaysiakini hari ini berkata seramai 1,400 rakyat Malaysia berkenaan adalah antara 250,000 orang yang maklumat mereka dipulihkan daripada pangkalan data Zhenhua Data yang bocor, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.
Laporan itu tidak menjelaskan secara terperinci maklumat yang dikumpulkan terhadap 1,400 rakyat Malaysia berkenaan.
Bagaimanapun berdasarkan data seramai 35,558 rakyat Australia yang dibocorkan, mereka merangkumi ahli politik, hakim, diplomat, wartawan dan hartawan.
Selain warga Australia dan rakyat Malaysia, data tersebut juga merangkumi profil 52,000 rakyat Amerika, 10,000 rakyat India, 8,700 rakyat Britain, 5,000 rakyat Kanada, 2,100 rakyat Indonesia dan 138 dari Papua New Guinea.
Laporan itu juga meneliti data melibatkan rakyat Amerika, yang antara lain terdiri daripada profil anggota tentera.
“Pangkalan data mengesan prospek pegawai dan jaringan politik.
“Sebagai contoh, kemajuan karier seorang anggota angkatan laut AS dipantau secara ketat dan dia ditandai sebagai komandan masa depan bagi kapal induk nuklear,” kata laporan oleh ABC itu.
Laporan itu juga menyebut bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan Parti Komunis China antara pelanggan utama Zhenhua Data.
Data Zhenhua dilaporkan mempunyai 20 pusat pengumpulan data di seluruh dunia. Pihak berkuasa negara ini perlu melakukan siasatan sama ada syarikat Zhenhua Data ini turut beroperasi di Malaysia.
Jika ia benar beroperasi di Malaysia, kita kena tahu apa sebenarnya dilakukan mereka di sini dan tujuan pengumpulan data itu.
Jika Zhenhua Data itu benar-benar berkait dengan agensi perisikan China, admin berpendapat ia perlu ditutup dan tidak dibenarkan beroperasi lagi.
Laporan itu mengatakan selain maklumat disusun dari sumber terbuka, beberapa profil merangkumi maklumat yang dipercayai berasal dari rekod bank sulit, aplikasi pekerjaan dan profil psikologi.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.