Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua warga China, seorang Rohingya ditahan lombong emas di Pahang

0 1,052

 

 

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Defence Security Asia) — Aktiviti perlombongan haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, dekat sini, terbongkar susulan penahanan dua warga tempatan bersama tiga warga asing, kelmarin.

Menurut Harian Metro, serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Zon Pahang Barat, Zahari Samsudin di Kompartmen 233 berdekatan Sungai Cheniau, Mukim Batu Yon.

Penolong Pengarah Kanan (Penguat kuasa Zon Pahang Barat) JPNP, Azmi Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 58 tahun dan tiga warga asing membabitkan dua warga China dan seorang Rohingya.

Katanya, serbuan bersama empat anggota UPK Pahang Barat itu dilakukan selepas tinjauan menggunakan dron menemui kawasan lombong terbabit.

Operasi perlombongan emas secara haram dikhuathiri boleh memusnahkan alam sekitar.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui sebuah palong yang digunakan untuk melombong emas termasuk pelbagai peralatan melombong, generator elektrik dan beberapa tangki minyak.

“Turut disita dua jengkaut dan sebuah enjin pam air diesel yang digunakan untuk proses menyembur bahan galian dalam palong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lipis, lima individu yang ditahan dibebaskan selepas mendapat jaminan polis oleh seorang penjamin,” katanya, ketika dihubungi oleh Harian Metro di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi selama enam jam bermula 11.40 pagi itu turut disertai pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Lipis dan Pasukan Penguat Kuasa Unifield Pahang.

Azmi berkata, siasatan yang dilakukan mendapati aktiviti melombong secara haram dilakukan sejak sebulan lalu.

Berikutan itu kumpulan terbabit bertindak menarah tebing Sungai Cheniau sepanjang 150 meter ke 200 meter bagi tujuan mengambil dan memindahkan bahan galian sebelum melalui proses semburan di dalam palong.

“Mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

— sumber laporan oleh Harian Metro

Comments
Loading...