Syarat India Mahu Guna Radar AESA Sendiri Sekiranya Beli Su-57E Cetus “Ketidakpuasanhati” Russia ???
Tindakan India mahu meletakkan sistem dan komponen buatan tempatannya termasuk radar dan “menolak” sistem buatan Russia itu dianggap sebagai seolah-olah memperkecil-kecilkan kemampuan sistem buatan Russia serta pakar-pakar negara itu yang membangunkannya.
[DEFENCE SECURITY ASIA] – Tindakan New Delhi meletakkan “syarat” bahawa ia akan hanya membeli pesawat pejuang generasi kelima Su-57E sekiranya Russia menggantikan beberapa komponen pesawat itu termasuk radar asalnya kepada radar yang diperbuat oleh India, dilaporkan telah menimbulkan “ketidakpuasanhati” dikalangan pakar-pakar di Moscow.
Tindakan India mahu meletakkan sistem dan komponen buatan tempatannya termasuk radar dan “menolak” sistem buatan Russia itu dianggap sebagai seolah-olah memperkecil-kecilkan kemampuan sistem buatan Russia serta pakar-pakar negara itu yang membangunkannya.
India dilaporkan bimbang dengan kemampuan radar digunakan oleh pesawat pejuang Su-57E itu iaitu, No 36 Byelka, radar AESA yang berdasarkan kepada Gallium Arsenide (GaAs) yang menurut pakar-pakar India tidak “mencapai tahap” sebagaimana radar AESA keluaran industri tempatan India.
New Delhi mahu menggunakan radar AESA yang berdasarkan kepada Gallium Nitride (GaN) sebagaimana yang sedang dibangunkan oleh Defence Research and Development Organisation (DRDO) yang memberikan prestasi lebih baik daripada segi jarak pengesanan,keberkesanan kuasa dan ketahanan daripada jamming.
Radar AESA berdasarkan kepada GaN yang sedang dibangunkan oleh DRDO iaitu Uttam yang digunakan oleh pesawat pejuang buatan tempatan Tejas serta radar AESA Virupaksha yang dibangunkan untuk digunakan pada pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI yang sedang dinaiktaraf adalah contoh-contoh radar AESA tempatan yang berkemampuan tinggi,menurut pakar-pakar India.
Pesawat-pesawat pejuang generasi masa depan India seperti AMCA dan juga Tejas MK1 juga dilaporkan akan menggunakan radar AESA berdasarkan kepada teknologi GaN.
Radar AESA menggunakan bahan semikonduktor untuk menggerakkan modul pancar terima (Transmit Receive Modules), dengan Gallium Arsenide (GaAs) dan Gallium Nitride (GaN) sebagai pilihan utama.

Radar berasaskan GaAs telah lama digunakan, namun ia menawarkan kuasa, kecekapan dan rintangan haba yang lebih rendah.
Sebaliknya, radar berasaskan GaN, memberikan kuasa pancaran yang lebih tinggi, jarak pengesanan lebih jauh, kecekapan tenaga lebih baik, serta ketahanan haba yang unggul—menjadikannya ideal untuk peperangan udara moden.
Walaupun GaN lebih mahal, ia kini menjadi standard baharu bagi sistem radar generasi akan datang, manakala GaAs kekal relevan untuk aplikasi yang mementingkan kos.
Selain itu penggunaan teknologi dan sistem buatan tempatan pada Su-57E itu juga adalah selaras dengan dasar “Aatmanirbhar Bharat” yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada sistem dan persenjataan buatan asing.
Bagaimanapun Russia melihat tindakan India “memaksa” penggunaan sistem dan teknologinya pada pesawat pejuang Su-57E buatannya itu sebagai mencabar penguasaan teknologi pesawat pejuang generasi kelima dan kemampuan keseluruhannya di dalam industri persenjataan.
Russia dilaporkan telah memperhebatkan lagi usahanya untuk menjual pesawat pejuang generasi kelima buatannya, Su-57E kepada India dengan menawarkan kebebasan “source code” bagi membolehkan India mengintergrasi sistem dan komponen dibangunkan oleh industri pertahanan tempatannya kepada pesawat pejuang kebanggaan Moscow itu.
Tawaran menarik oleh Russia itu adalah bagi memastikan Moscow lebih ke hadapan berbanding Amerika Syarikat yang turut sama menawarkan pesawat pejuang generasi kelima F-35A untuk digunakan oleh Tentera Udara India bagi menangani ancaman kembar China dan Pakistan.

Menurut laporan media pertahanan India, varian eskport pesawat pejuang Su-57E yang ditawarkan oleh Russia kepada India itu akan mengintergrasikan beberapa teknologi utama yang dirancang untuk pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI di bawah program Super-30 India dengan radar AESA menggunakan Gallium Nitride(GaN) dan mission computer yang dibangunkan industri tempatan.
Pesawat pejuang Super-30 merupakan pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India yang dinaiktaraf oleh industri pertahanan tempatannya.
Integrasi program Super-30 Sukhoi Su-30MKI India dengan pesawat pejuang Su-57E itu akan memastikan pesawat pejuang Su-57E sekiranya diperolehi oleh India, menggunakan sistem dan peluru berpandu buatan industri tempatan India pada pesawat pejuang terkini Russia itu.
Antara peluru berpandu buatan industri pertahanan India yang berkemungkinan besar akan digunakan pakai oleh Su-57E sekiranya ia diperolehi oleh negara Asia Selatan itu termasuklah peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) Astra dan juga pelbagai peluru berpandu berketepatan tinggi yang lain.
Ini akan mengurangkan lagi kebergantungan India terhadap syarikat-syarikat pembekalan luar negara dan memastikan ia memperolehi “source code” untuk mengintergrasi produk pertahanan India dengan pesawat pejuang asing diperolehinya.
Ia juga memastikan episod “malang” source code yang cuba diperolehinya daripada Perancis untuk pesawat pejuang Rafale miliknya tidak berulang.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa Perancis terus-menerus enggan melayan permintaan India untuk berkongsi Source Code bagi membolehkan ia mengintergrasikan beberapa sistem persenjataan buatan tempatan dengan pesawat pejuang Rafale yang dibelinya daripada negara Eropah itu.

Syarikat Dassault Aviation yang membangunkan pesawat pejuang Rafale itu tetap enggan berkongsi Source Code pesawat pejuang itu walaupun didesak oleh New Delhi.
Dengan mengintergrasikan sistem-sistem buatan tempatan seperti peluru berpandu, bom, avionik dan elektronik kepada pesawat pejuang buatan Perancis, ia sekaligus kemandirian industri pertahanan India dan mengurangkan kebergantungannya New Delhi kepada sistem pertahanan negara luar.
India memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis sebagai sebahagian daripada perjanjian bernilai sekitar €7.8 bilion (RM37.5 billion ) yang dimeterai pada September 2016.
Penghantaran pertama pesawat Rafale kepada India berlaku pada 29 Julai 2020, dan penghantaran terakhir iaitu pesawat ke-36, tiba pada 15 Disember 2022, menandakan penyempurnaan keseluruhan perjanjian tersebut.
Walaupun syarikat pembuat pesawat pejuang Perancis itu bekerjasama dengan Tentera Udara India dalam mengintegrasikan senjata buatan India kepada pesawat pejuang itu seperti peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti Astra Mk1 dan Smart Anti-Airfield Weapon (SAAW), namun ia tetap bertegas tidak mahu berkongsi Source Code pesawat pejuang generasi 4.5 itu dengan New Delhi.
Source Code yang menjadi pertikaian itu mengawal sistem kritikal seperti radar Thales RBE2 jenis Active Electronically Scanned Array (AESA) dan Modular Mission Computer (MMC) digunakan pesawat pejuang Rafale, yang amat penting bagi tujuan integrasi senjata buatan tempatan seperti peluru berpandu jarak jauh Astra dan peluru berpandu anti-radiasi Rudram.

Tanpa akses kepada Source Code itu, India berdepan kesukaran untuk menyesuaikan pesawat Rafale mengikut keperluan operasinya sendiri, sekali gus menjejaskan usaha negara itu untuk memperkasakan inisiatif “Atmanirbhar Bharat” (India Berdikari) dalam sektor pertahanan.
Isu ini telah mencetuskan perdebatan yang lebih meluas mengenai kedaulatan teknologi dan autonomi strategik.
Pada Mac lalu, Duta Russia ke India Denis Alipov juga berkata Russia menawarkan produksi bersama pesawat pejuang Su-57E itu kepada India sekiranya negara itu memilih untuk memperolehi pesawat pejuang generasi kelima itu.
“Pesawat ini (Su-57E) sangat kompetitif, dan kami bukan sahaja menawarkan untuk menjualnya, tetapi juga untuk bekerjasama dalam pengeluaran pesawat itu. Kami menawarkan pemindahan teknologi serta pembangunan kemudahan industri yang diperlukan untuk pengeluarannya. Selain itu, kami juga terbuka kepada perubahan konfigurasi mengikut keperluan.”
“Ini adalah tawaran yang sangat menguntungkan,” kata beliau.
Kenyataan Duta Russia ke India tentang tawaran penjualan Su-57E ke India itu adalah selari dengan tawaran oleh agensi eksport senjata negara itu, Rosoboronexport yang menyatakan bahawa India boleh memulakan pengeluaran berlesen Su-57E dengan segera menerusi pemodenan production line sedia ada di negara itu untuk pesawat pejuang Su-30MKI generasi 4+, yang mana sekurang-kurangnya 222 unit telah dibina di India.

Agensi Berita TASS milik kerajaan Rusia melaporkan pada 7 Mac bahawa Rosoboronexport telah menyatakan kesediaannya untuk memanfaatkan infrastruktur sedia ada Su-30MKI bagi pengeluaran tempatan Su-57E di India.
Rosoboronexport turut menyatakan bahawa jika India memuktamadkan perjanjian pembelian Su-57E tersebut, syarikat-syarikat India yang kini mengeluarkan pesawat pejuang Su-30MKI boleh memulakan pengeluaran pesawat pejuang Su-57E itu dengan segera.
“Jika India membuat keputusan positif, pengeluaran pesawat pejuang generasi kelima Su-57E buatan Russia boleh dimulakan dalam tempoh yang singkat di kilang-kilang yang kini mengeluarkan pesawat Su-30MKI,” menurut kenyataan Rosoboronexport.
— DEFENCE SECURITY ASIA