Super Hornet Bawa Sembilan Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Kini Digelar “Murder Hornet”
Gelaran “Hornet Pembunuh” itu diberikan kepada pesawat pejuang Super Hornet yang dilengkapi dengan lima buah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM dan empat buah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Sidewinder.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Amerika Syarikat kini mengelar pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet yang membawa sembilan buah peluru berpandu udara-ke-udara sebagai “Hornet Pembunuh” atau di dalam Bahasa Inggerisnya “Murder Hornet.”
Gelaran “Hornet Pembunuh” itu diberikan kepada pesawat pejuang Super Hornet yang dilengkapi dengan lima buah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM dan empat buah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Sidewinder.
Tentera Udara Amerika Syarikat pertama kali mengelar pesawat pejuang Super Hornet miliknya yang sarat dengan peluru berpandu udara-ke-udara itu dalam terbitan kajian fakta bertajuk “Delivering Warfighting Advantage” yang diterbitkan baru-baru ini.
Tentera Laut Amerika Syarikat mula memperkenalkan varian pesawat pejuang Super Hornet yang diberikan gelaran “Hornet Pembunuh” itu ketika ia beroperasi di Laut Merah pada tahun lepas untuk menangani dron-dron yang dilancar oleh kumpulan bersenjata Houthi.
Pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat kini terpaksa dilengkapi dengan lebih banyak peluru berpandu udara-ke-udara berikutan banyaknya dron berani mati yang berharga murah digunakan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata di Timur Tengah.
Menurut penganalisis, “Kini pesawat-pesawat pejuang seperti Hornet Pembunuh itu mempunyai lebih banyak sasaran untuk ditembak jatuh.”
Menurut laporan media, Tentera Amerika Syarikat mengambil keputusan supaya pesawat-pesawat pejuangnya dilengkapi dengan lebih banyak peluru berpandu udara-ke-udara ketika beroperasi selepas pesawat pejuang F-15E miliki berhadapan masalah kekurangan peluru berpandu udara-ke-udara ketika cuba mempertahankan Israel daripada serangan ratusan peluru berpandu ballistik dan dron-dron berani mati dilancar Iran pada tahun lepas.
AIM-9X Sidewinder ialah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat sebagai versi terkini dalam keluarga peluru berpandu AIM-9 Sidewinder.
Ia direka khusus untuk pertempuran udara jarak dekat (dogfight) dengan keupayaan menyerang sasaran di sudut serangan yang lebih luas dan ketepatan yang tinggi.
Peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X menggunakan sensor Infrared Seeker) generasi baru yang lebih sensitif dan mampu mengesan sasaran walaupun dalam situasi gangguan haba.
Ia juga mempunyai kebolehan “lock-on after launch” (LOAL) yang membolehkan peluru berpandu mengunci sasaran selepas dilancarkan, memberikan lebih fleksibiliti dalam serangan.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem kawalan vektor tujahan (thrust vectoring) yang membolehkan manuver tajam dan cekap, sesuai untuk pertempuran udara jarak dekat.
Ciri-ciri tambahan peluru berpandu AIM-9X adalah High Off-Boresight Capability (boleh mengunci sasaran di sudut yang luas) dan kemampuan diintegrasi dengan Helmet-Mounted Display (HMD) untuk menjejaki dan membedil sasaran melalui gerakan kepala.
AIM-9X berkelajuan supersonik dan mampu memusnahkan sasaran pada jarak kira-kira 35 km, bergantung kepada situasi pertempuran.
Peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X digunakan secara meluas oleh Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat serta sekutu mereka.
Ia diintegrasikan pada pesawat tempur moden seperti F-15, F-16, F/A-18, F-22 Raptor, dan F-35 Lightning II.
Peluru berpandu ini telah menggantikan model AIM-9M yang lebih lama dengan peningkatan signifikan dalam kebolehan menyerang sasaran yang bermanuver tinggi dan dalam persekitaran peperangan elektronik yang kompleks.
AIM-120 AMRAAM (Advanced Medium-Range Air-to-Air Missile) ialah peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh yang dibangunkan oleh Raytheon Technologies untuk digunakan oleh pesawat pejuang moden.
AMRAAM direka untuk menggantikan peluru berpandu AIM-7 Sparrow dengan teknologi yang lebih canggih, terutamanya dalam sistem panduan dan jarak serangan.
Peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM menggunakan radar aktif pada fasa akhir serangan untuk mengunci dan menjejaki sasaran secara autonomi.
Ciri ini membolehkan juruterbang melancarkan peluru berpandu dan terus beralih ke sasaran lain (“fire-and-forget” capability).
Direka untuk menyerang sasaran dari jarak sederhana, dengan beberapa varian mampu mencapai jarak jauh (beyond visual range – BVR).
Ia juga berkemampuan menyerang sasaran yang bermanuver tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca, berkelajuan supersonik dan sangat sukar dikesan serta dielak oleh pesawat musuh.
Selain itu, peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM juga dilengkapi dengan inertial navigation system (INS) dan mid-course update melalui pautan data untuk membetulkan laluan sebelum radar aktif diaktifkan.
Terdapat pelbagai varian bagi peluru berpandu udara-ke-udara ini iaitu: AIM-120A/B yang merupakan varian awal dengan peningkatan elektronik pada model B, AIM-120C yang direka bentuk untuk diintegrasi dalam pesawat pejuang generasi kelima F-22 Raptor dan varian AIM-120D yang merupakan versi terkini dengan jarak serangan lebih jauh, sistem GPS, dan peningkatan keupayaan pautan data (data link).
Spesifikasi Teknikal AIM-120 AMRAAM:
-
Panjang: ~3.66 meter (12 kaki)
-
Diameter: 178 mm (7 inci)
-
Berat: ~152 kg (335 lb)
-
Kelajuan: Lebih Mach 4 (lebih 4,900 km/j)
-
Jarak Serangan:
-
AIM-120A/B/C: ~70-105 km
-
AIM-120D: Lebih 160 km (bergantung pada profil pelancaran)
-