(VIDEO) Dron ANKA Kini Dilengkapi Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Jarak Jauh L-UMTAS
(VIDEO) Dengan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kereta kebal jarak jauh L-UMTAS yang boleh membedil sasaran sehingga sejauh 8km, dron ANKA kini boleh memikul tugasan sebagai “pemburu kereta kebal” yang berkesan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dron ANKA yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) kini dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kereta kebal jarak jauh L-UMTAS yang dibangunkan oleh firma pertahanan Turkiye, ROKETSAN.
Dengan dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kereta kebal jarak jauh L-UMTAS yang boleh membedil sasaran sehingga sejauh 8km, dron ANKA kini boleh memikul tugasan sebagai “pemburu kereta kebal” yang berkesan.
Dalam ujian yang dijalankan, dron ANKA dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kereta kebal L-UMTAS itu telah berjaya membedil sasaran daripada ketinggian 15,000 kaki.
“Kejayaan ini yang dicapai dengan peluru berpandu anti-kereta kebal L-UMTAS keluaran ROKETSAN melambangkan kebanggaan hasil usaha jurutera kita yang bekerja tanpa henti siang dan malam.”
“Kami berbangga dengan kejayaan ini yang menjadi bukti kukuh keupayaan kejuruteraan kita. Kami terus mengukuhkan kedudukan di arena antarabangsa dan mencatatkan kekuatan Türkiye di angkasa dengan setiap kejayaan, selari dengan kemajuan teknologi tempatan dan nasional kita,” menurut kenyataan oleh TAI.
Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Jarak Jauh L-UMTAS boleh digunakan dari platform udara dan darat untuk memusnahkan kereta kebal utama, kubu konkrit, kenderaan berperisai dan tidak berperisai serta anggota tentera.
Panduan laser dan kepala peledak tandem L-UMTAS memastikan keberkesanannya terhadap sasaran statik dan bergerak.
Peluru berpandu anti-kereta kebal L-UMTAS mampu mengunci sasaran sama ada sebelum atau selepas dilancarkan.
L-UMTAS ialah Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal Jarak Jauh Berpanduan Laser yang dibangunkan oleh syarikat ROKETSAN. Berikut adalah spesifikasi teknikalnya:
-
Panjang: 1.8 meter
-
Diameter: 160 milimeter
-
Berat: 37.5 kilogram
-
Jarak: Sehingga 8 kilometer
-
Panduan: Pencari Laser Separuh Aktif (Semi-Active Laser Seeker)
-
Jenis Kepala Peledak: Tandem Anti-Kereta Kebal, Letupan Tinggi (High Explosive) dengan Serpihan, Termobarik
-
Platform Pelancaran: UAV, platform udara, kenderaan darat beroda dan berantai, platform laut
-
Jenis Sasaran: Sasaran statik dan bergerak, kereta kebal, kenderaan berperisai, kenderaan tempur, kubu konkrit
L-UMTAS boleh digunakan siang dan malam, dengan keupayaan mengunci sasaran sebelum atau selepas pelancaran.
Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara menggunakan ANKA yang telah teruji dalam pertempuran, apabila Kementerian Pertahanan dan TAI menandatangani kontrak untuk memperoleh platform tiga buah dron ANKA dan peralatan sokongan pada Mei 2023 semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Malaysia dilaporkan bakal menempatkan dron buatan Turkiye itu di pangkalan udara strategik di Labuan untuk memantau sebarang pencerobohan ke perairan negara di Laut China Selatan.
Malaysia dipercayai memilih varian “ANKA-S” yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Struktur komposit pesawat tanpa pemandu ANKA-S itu mengintegrasikan komputer kawalan penerbangan otonomi yang dibangunkan oleh syarikat Turki sendiri bagi membolehkan dron itu melaksanakan penerbangan menggunakan navigasi waypoint dan kawalan penerbangan.
Sistem kawalan penerbangan otonomi itu membolehkan dron ANKA-S itu “pulang” ke lokasi sebagaimana telah ditetapkan terlebih dahulu, sekiranya ia berhadapan dengan kehilangan komunikasi dengan stesen kawalan daratnya.

L-UMTAS boleh digunakan siang dan malam, dengan keupayaan mengunci sasaran sebelum atau selepas pelancaran.