Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Jurutera Indonesia Dituduh Cuba Curi Teknologi Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae”

Kedua-dua jurutera Indonesia itu ditugaskan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 "Boramae" dan bekerja di kemudahan milik syarikat Korea Aerospace Industries (KAI), yang merupakan syarikat tunggal pembuat pesawat di Korea Selatan.

0 3,114

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak berkuasa Korea Selatan telah memulakan siasatan terhadap dua orang jurutera Indonesia kerana disyaki cuba mencuri teknologi berkaitan dengan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkan pada ketika ini.

Perkara itu telah didedahkan oleh agensi perolehan senjata Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration  (DAPA).

Agensi itu berkata bahawa kedua-dua jurutera Indonesia itu ditugaskan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 dan bekerja di kemudahan milik Korea Aerospace Industries (KAI), yang merupakan syarikat pembuat pesawat tunggal di Korea Selatan.

Menurut DAPA jurutera-jurutera Indonesia terbabit disyaki cuba menyimpan data-data rahsia tentang projek pesawat pejuang KF-21 itu di dalam USB.

Kedua-dua jurutera Indonesia itu dilarang meninggalkan Korea Selatan, sementara siasatan sedang dijalankan terhadap mereka.

KF-21

“Satu siasatan bersama oleh agensi-agensi berkaitan termasuk Perkhidmatan Perisikan Nasional Korea Selatan sedang berjalan pada ketika ini untuk mengetahui perincian mengenai dakwaan kecurian teknologi oleh Indonesia,” menurut pegawai DAPA kepada wartawan di Korea Selatan.

Siasatan itu kata pegawai DAPA terbabit memfokuskan usaha untuk mengenalpasti dokumen spesifik yang cuba dicuri oleh jurutera Indonesia terbabit.

Pegawai DAPA itu berkata bahawa USB itu mengandungi dokumen-dokumen am yang tidak terkait dengan teknologi strategic yang mungkin melanggar undang-undang tentang rahsia tentera atau teknologi pertahanan.

Satu lagi sumber dipetik daripada portal pertahanan menyatakan bahawa siasatan memfokuskan sama ada data yang disimpan yang disimpan itu mengandungi teknologi-teknologi strategik berkenaan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae” itu.

Selain itu pihak berkuasa Korea Selatan juga sedang menyiasat sama ada kedua-dua jurutera Indonesia itu menerima bantuan daripada “dalam” yang membolehkan mereka “mencuri” teknologi-teknologi strategik berkaitan pesawat pejuang KF-21 sebagaimana didakwa.

Pada Oktober tahun lepas, ketua DAPA dilaporkan telah mencadangkan supaya Indonesia digugurkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”.

KF-21

Alasan utama cadangan penguguran Indonesia daripada program pesawat pejuang Korea Selatan itu adalah kerana Jakarta berterusan gagal membayar kos pembangunan pesawat itu sebagaimana telah dipersetujui di dalam perjanjian awal antara kedua-dua negara itu.

Dalam satu lagi kenyataan kepada portal berita berlainan pula, ketua DAPA itu memberikan gambaran bahawa kerjasama antara Korea Selatan  dengan Indonesia itu tidak berjalan dengan baik walaupun terdapat usaha untuk meneruskan kerjasama itu.

Beliau menyatakan Indonesia telah gagal membayar sejumlah 991.1 bilion Won (US$730 juta) kepada program pembangunan pesawat pejuang itu.

Sejak mula menyertai program pembangunan itu, Indonesia hanya mampu membayar jumlah yang sedikit daripada apa yang sepatutnya ia bayar mengikut perjanjian awal.

Indonesia memiliki 20 peratus pegangan dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” itu tetapi telah gagal melunaskan bayaran penyertaannya dalam program itu sejak 2017.

Jakarta juga bercadang memperolehi sejumlah 50 buah pesawat pejuang generasi 4.5 itu.

KF-21
Bendera Indonesia “hilang” pada prototaip pesawat pejuang KF-21.

 

Indonesia dan Korea Selatan telah menandatangani perjanjian pada 2010 untuk bekerjasama di dalam program pembangunan pesawat pejuang itu, dengan Jakarta dikatakan akan menerima prototaip pesawat KF-21 yang kelima itu.

Sebagai rakan kerjasama bagi program pembangunan pesawat KF-21,Jakarta bersetuju untuk membayar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang itu.

Keseluruhan kos pembangunan pesawat pejuang canggih itu dianggarkan berjumlah US$6.67 bilion (RM26.7 bilion) dan bahagian yang perlu ditanggung oleh Indonesia adalah sebanyak 20 peratus.

Menurut DAPA,  kali terakhir Indonesia melakukan bayaran bagi penyertaannya dalam program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu adalah pada 2017, iaitu kira-kira lima tahun yang lalu.

Sehingga kini, Indonesia dikatakan telah gagal melunaskan bayaran sebanyak US$671 juta (RM2.7 bilion) daripada US$1.3 bilion (RM5.3 bilion) bayaran keseluruhan sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang itu, menggunakan alasan masalah kewangan negara itu sebagai alasan utamanya. 

Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.67bilion (RM26.7bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara bermula pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...