Poland Peroleh 34 Pod Sasaran “Sniper” ATP Untuk Pesawat FA-50
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memperolehi 18 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 buatan syarikat KAI daripada Korea Selatan juga akan melengkapkan pesawat pejuang terbaru miliknya itu dengan pod sasaran “Sniper” ATP yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menjual sejumlah 34 buah pod sasaran terkini, “Sniper” “Advanced Targeting Pod” (ATP) bernilai US$124.7 juta (RM561 juta) untuk dipasang kepada pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan milik Poland.
Poland yang bersempadan dengan Russia memperolehi 48 buah pesawat FA-50 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Pod sasaran “Sniper” ATP seberat 200kg itu merupakan sistem penjejak sasaran elektro-optik di dalam sebuah pod yang bertanggungjawab untuk menguruskan usaha penjejakan sasaran berketepatan tinggi dan perisikan, operasi pemantauan, misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat di darat serta lautan.

Ia terdiri daripada penderia definisi tinggi dan laser sport tracker dan boleh menyokong dengan tepat sistem persenjataan panduan laser dan sistem persenjataan panduan GPS dalam usaha membedil sasaran bergerak dan sasaran statik.
Pod sasaran “Sniper” ATP akan membolehkan pesawat FA-50 itu untuk mengenalpasti sasaran, menjejak dan menanganinya daripada jarak standoff, selain meningkatkan operabiliti dengan negara-negara anggota NATO yang lain.
Menurut kenyataan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA), Amerika Syarikat, penjualan pod sasaran Sniper ATP itu akan membantu meningkatkan keselamatan negara rakan NATO yang merupakan kuasa kepada kestabilan dan kemajuan ekonomi di Eropah.
Ia juga berkata penjualan alatan itu tidak akan mengubah keseimbangan kuasa ketenteraan di rantau itu.
Pod sasaran “Sniper” ATP telah menyelesaikan ujian integrasi dengan pesawat FA-50 dibangunkan oleh Korea Selatan pada 2019.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memperolehi 18 buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 buatan syarikat KAI daripada Korea Selatan juga dipercayai akan melengkapkan pesawat itu dengan pod sasaran “Sniper” ATP yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.
Empat buah pesawat pertama FA-50 Block 20 TUDM dijangka diterima pada akhir tahun 2026 diikuti oleh kesemua pesawat pejuang yang lain.
Comments are closed.