“Site 512”, Pangkalan Tentera Rahsia Amerika di Israel Kesan Pelancaran Peluru Berpandu Iran
Menurut laporan sebelum ini, fungsi utama kewujudan pangkalan tentera, “Site 512” tu adalah kemudahan radar jarak jauh Amerika Syarikat untuk memantau sebarang pelancaran peluru berpandu ballistik oleh Iran atau kumpulan-kumpulan proksi disokongnya terhadap Israel dan sekutu-sekutu lainnya di Timur Tengah.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Terletak di atas Gunung Har Qeren di padang pasir Negev, Israel dikenalpasti menempatkan sebuah kemudahan rahsia tentera Amerika Syarikat yang hanya dikenali dikalangan pemerhati tentera dengan panggilan “Site 512.”
Kemudahan rahsia tentera Amerika Syarikat yang dipanggil “Site 512” itu hanya terletak kira-kira 32km daripada Semenanjung Gaza.
Menurut laporan sebelum ini, fungsi utama kewujudan pangkalan tentera, “Site 512” tu adalah kemudahan radar jarak jauh Amerika Syarikat untuk memantau sebarang pelancaran peluru berpandu ballistik oleh Iran atau kumpulan-kumpulan proksi disokongnya terhadap Israel dan sekutu-sekutu lainnya di Timur Tengah.
Sudah pasti beberapa hari lepas, kemudahan radar jarak jauh Amerika Syarikat di tengah-tengah padang pasir Negev itu telah “bekerja-keras” membantu Washington dan Tel Aviv mengesan peluru-peluru berpandu ballistik yang dilancarkan oleh Iran terhadap Israel.
Matlamat utama “Site 512” itu adalah untuk memantau peluru berpandu ballistik yang dilancarkan terhadap Israel dan oleh kerana itu ia tidak berkemampuan untuk memantau serangan ribuan roket yang dilancar oleh pejuang-pejuang Palestin terhadap Israel.
Kemudahan radar jarak jauh Amerika Syarikat di atas Gunung Har Qeren di padang pasir Negev itu dilengkapi dengan radar AN/TPY-2 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkenal negara itu, RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon).
Radar AN/TPY-2 itu dibangunkan bersama-sama dengan sistem pertahanan udara anti-ballistik Terminal High Altitude Area Defense (THAAD).
Berkemampuan mengesan sasaran sejauh di antara 870km hingga 3,000km, radar jarak jauh AN/TPY-2 itu adalah antara radar yang paling berkuasa di pasaran pada masa ini untuk mengesan peluru-peluru ballistik.
Ia sememangnya adalah radar yang dibangunkan untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu ballistik jarak dekat, sederhana dan jarak jauh serta beroperasi di dalam spectrum elektromagnetik, X-Band yang membolehkannya untuk “melihat” sasaran dengan lebih jelas.
Menurut syarikat pembuat radar itu, AN/TPY-2 mempunyai rekod yang cemerlang terhadap semua jenis peluru berpandu ballistik sama ada ia baru sahaja dilancarkan atau ia sedang menjunam untuk membedil sasaran.
Radar jarak jauh itu boleh beroperasi di dalam Forward-based Mode dan juga Terminal-mode.
Amerika Syarikat mula menggunakan radar jarak jauh AN/TPY-2 pada 2004 dan sehingga 2021, ia dipercayai memiliki sehingga 12 unit radar seumpama itu, dengan beberapa daripadanya diletakkan di Timur Tengah.
Beberapa bulan sebelum konflik Palestin-Israel tercetus, tentera darat Amerika Syarikat telah memperuntukkan sejumlah US$32 juta (RM153 juta) untuk membina lebih banyak kemudahan penginapan anggota tentera negara untuk ditempatkan di lokasi rahsia tentera itu.
Ia berkemungkinan menandakan usaha Amerika Syarikat untuk meningkatkan bilangan anggota tentera Amerika Syarikat di “Site 512” dan membesarkan lagi kemudahan radar jarak jauh miliknya di Israel itu.
Ia berkemungkinan adalah untuk menambah kira-kira 1,000 lagi anggota tentera Amerika Syarikat di “Site 512”. — DSA