Serbia Muncul Negara Eropah Pertama Operasi, Aktif Sistem Pertahanan Udara Buatan China
Kementerian Pertahanan Serbia mengumumkan menerusi satu kenyataan baru-baru ini berkata bahawa kawalan dan pertahanan ruang negara itu telah dipertingkatkan dengan mendadak menerusi pengintegrasian sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 milik negara Eropah itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Serbia muncul sebagai negara Eropah pertama mengoperasi dan mengaktifkan sistem pertahanan udara buatan China di rantau itu apabila sistem FK-3 (varian eksport HQ-22) miliknya telah berjaya dintergrasikan ke dalam sistem pertahanan udara kebangsaan.
Kementerian Pertahanan Serbia mengumumkan menerusi satu kenyataan baru-baru ini berkata bahawa kawalan dan pertahanan ruang negara itu telah dipertingkatkan dengan mendadak menerusi pengintegrasian sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 milik negara Eropah itu.
Sistem pertahanan udara canggih FK-3 adalah suatu peningkatan kemampuan kepada unit pertahanan udara Angkatan Tentera Serbia.
Kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Serbia menekankan keupayaan tinggi sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 yang diperoleh dari China.
“Dengan melengkapkan Tentera Udara dan Pertahanan Udara dengan sistem peluru berpandu pertahanan udara FK-3 yang baru, kawalan dan perlindungan ruang udara di Republik Serbia telah dipertingkatkan dengan ketara,” menurut kenyataan kementerian tersebut.
Sistem ini merangkumi kenderaan arahan (command vehicle), pelancar peluru berpandu, radar, dan kenderaan logistik, menjadikannya penyelesaian yang serba boleh dan menyeluruh untuk pertahanan udara.
Kapten Kelas Pertama Stefan Manić, komander bateri peluru berpandu FK-3, menyifatkan sistem ini sebagai “penanda aras dalam sistem pertahanan udara.”
“FK-3 memiliki sistem anti-jamming yang luar biasa dan berkeupayaan tinggi untuk menghalang peluru berpandu yang direka untuk memusnahkan radar pengesan. Ciri-ciri utama sistem pertahanan udara FK-3 adalah keupayaan manuver dan kecekapan ruang (spatial efficiency) yang tinggi, menjadikannya dominan dalam kalangan sistem peluru berpandu generasi baru,” jelas Kapten Manić.
Krew unit pertahanan udara Serbia yang mengendalikan sistem pertahanan udara FK-3 telah menjalani latihan intensif di China.
Kapten Manić menyatakan bahawa proses latihan tersebut “sangat kompleks” tetapi menekankan dedikasi dan motivasi anggota unit.
“Walaupun berdepan cabaran, semua anggota unit berjaya melengkapkan semua bentuk latihan untuk menjalankan penyelenggaraan dan mengendalikan sistem peluru berpandu secara berdikari,” katanya.
Serbia membuat tempahan untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 pada 2019.
Pada tahun 2020, pegawai-pegawai Amerika Syarikat memberi amaran kepada Serbia supaya tidak meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara jarak sederhana itu daripada China, dengan menyatakan bahawa untuk Serbia meneruskan usaha menyertai Kesatuan Eropah dan pakatan Barat yang lain, Belgrade perlu menyelaraskan peralatan ketenteraannya dengan piawaian Barat.
Perolehan tersebut menerima tentangan yang ketara daripada negara jiran Serbia di Eropah dan Amerika Syarikat, walaupun pemerolehan HQ-22 dilihat sebagai pilihan yang kurang mencetuskan kontroversi politik berbanding rancangan terdahulu untuk mendapatkan sistem S-300 atau S-400 dari Rusia.
Penghantaran sistem FK-3 telah diselesaikan pada tahun 2022 melalui operasi pengangkutan udara berskala besar menggunakan pesawat pengangkut Y-20 milik China, menjadikannya penghantaran senjata terbesar dari China ke Eropah.
Sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 yang merupakan varian eksport bagi sistem HQ-22 itu dibangunkan oleh syarikat China Aerospace Science and Industry Corporation Ltd (CASIC).I
Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana ke jauh menggunakan panduan semi-active radar homing/radio command guidance, dengan radius operasi peluru berpandunya mencecah sehingga 100km.
Jarak peluru berpandunya itu, bagaimanapun, tidak sejauh 170km sebagaimana dimiliki oleh HQ-22.
Sebuah bateri sistem pertahanan udara FK-3 itu terdiri daripada satu kenderaan pembawa radar dan tiga kenderaan pelancar yang setiap sebuahnya dilengkapi dengan empat buah peluru berpandu.
Setiap sebuah bateri sistem pertahanan udara itu mampu menangani enam sasaran secara serentak.
Untuk Asia Tenggara, Thailand yang sememangnya diketahui mempunyai hubungan ketenteraan yang amat baik dengan China turut mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak sederhana FK-3 buatan China itu.
Sistem pertahanan udara FK-3 itu dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan itu beberapa tahun lepas.
Bangkok meletakkan sistem pertahanan udara FK-3 di pantai timur negara itu bagi melindungi beberapa kemudahan tenteranya antaranya pangkalan laut Sattahip, pangkalan udara U-Tapao serta pelabuhan laut dalam Laem Chabang.
Sistem pertahanan udara FK-3 yang dibangunkan oleh China itu sering disamakan oleh penganalisis pertahanan dengan sistem pertahanan udara “Patriot” keluaran Amerika Syarikat dan juga “S-300” buatan Russia. — DSA