“Serangan Hendap” J-10C Pakistan Punca Tiga Buah Rafale Tentera Udara India Ditembak Jatuh ??
Menurut laporan, India turut kehilangan pesawat Mirage 2000, Su-30MKI, dan MiG-29 dalam "serangan hendap" itu dengan penyiasat menemui tempat duduk injal (ejection seat) K-36DM buatan Russia di lokasi kemalangan, yang mengesahkan jenis pesawat tersebut.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang diperkatakan adalah pertempuran udara pertama mereka, pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF), yang dilengkapi peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) buatan China dan beroperasi dalam keadaan “senyap radar dan radio” (radar and radio silence) telah menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India dalam satu operasi “serangan hendap” yang berjaya.
Menurut laporan, India turut kehilangan pesawat Mirage 2000, Su-30MKI, dan MiG-29 dalam “serangan hendap” itu dengan penyiasat menemui tempat duduk injal (ejection seat) K-36DM buatan Russia di lokasi kemalangan, yang mengesahkan jenis pesawat tersebut.
Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar mendakwa bahawa PAF berjaya menembak jatuh lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF)—termasuk tiga buah pesawat pejuang Rafale —menggunakan pesawat pejuang J-10C buatan China yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 145km.
“Pesawat pejuang Rafale yang dipromosikan hebat itu telah gagal dengan teruk, dan juruterbang India membuktikan ketidakcekapan mereka,” kata Dar.
“Tentera kami boleh saja menembak jatuh 10 atau 12 pesawat, tetapi ada arahan ketat – hanya menyerang (pesawat) yang melepaskan tembakan,” tambahnya.
Menariknya, pesawat Rafale tersebut telah diserang dan dimusnahkan ketika berada di dalam ruang udara India kira-kira 100km daripada sempadan dengan Pakistan, sementara pesawat pejuang Pakistan kekal berada dalam wilayah mereka sendiri sepanjang pertempuran, menandakan peralihan strategi ke arah dominasi udara jarak jauh.
Analisis serpihan pesawat menunjukkan bahawa pesawat India telah ditembak jatuh oleh peluru berpandu PL-15E buatan China, varian eksport PL-15 yang mempunyai jarak sehingga 145 kilometer.


Peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 sepenuhnya, yang digunakan secara eksklusif oleh Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF), dipercayai mempunyai jangkauan antara 200 hingga 300 kilometer bergantung pada parameter pelancaran seperti ketinggian altitud dan kelajuan.
Bergerak pada kelajuan hampir Mach 5, keluarga peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 menggunakan pencarian radar aktif pada fasa akhir penerbangan peluru berpandu itu untuk memberikan ketepatan luar biasa, walaupun terhadap sasaran yang mampu mengelak atau di-pintas (jamming).
Pesawat Rafale India dilaporkan sedang dalam perjalanan untuk melancarkan peluru berpandu jelajah Storm Shadow/SCALP—senjata serangan jauh yang mempunyai julat pertempuran melebihi 550 kilometer—apabila mereka diserang.
Menurut sumber, pesawat Rafale Tentera Udara India hanya dilengkapi dengan varian peluru berpandu udara-ke-udara MICA dipandu infra-merah, yang mempunyai jarak 60km, sementara varian peluru berpandu yang dipandu radar (80km) dilaporkan tidak dibawa oleh Rafale semasa penerbangan itu.
India berkemungkinan tersalah anggap dan berpendapat bahawa jarak mereka dari sempadan memberikan mereka perlindungan.
Bagaimanapun, terbukti Tentera Udara India telah gagal meramalkan serangan jarak jauh menggunakan peluru berpandu BVRAAM canggih dari ruang udara Pakistan.

Pesawat-pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan dipercayai mengekalkan senyap radar dan radio (radar and radio silence) epenuhnya sepanjang misi itu, dengan menggunakan panduan real time dari platform kawalan dan amaran awal (AEW\&C) termasuk Saab 2000 Erieye dari Sweden dan ZDK-03 Karakoram Eagle dari China.
Sehingga 2025, Tentera Udara Pakistan mengoperasikan sembilan pesawat AEW&C Saab 2000 Erieye dilengkapi dengan radar AESA yang mampu mengesan sasaran udara pada jarak hingga 450 kilometer dan berkongsi data ini secara selamat di seluruh medan tempur.
Selain itu, PAF sebelum ini memperoleh empat pesawat AEW&C ZDK-03 antara 2011 dan 2015, dibina berdasarkan rangka pesawat Shaanxi Y-8F600 dan dilengkapi suite radar yang dibangunkan di China.
Platform AEW&C ini menghantar data-data tentang sasaran kepada pesawat pejuang J-10C melalui pautan data terenkripsi, membolehkan pesawat pejuang kekal senyap daripada segi elektronik sambil mencapai kesedaran penuh (situational awaremess) mengenai medan tempur.
Dalam doktrin peperangan udara moden, “radar and radio silence” sepenuhnya melibatkan penutupan sepenuhnya sistem radar dan komunikasi pesawat untuk mengelakkan pengesanan oleh sensor musuh atau unit perisikan elektronik.
“Radar-Silence” memastikan tiada pelepasan elektromagnetik yang dapat dikesan oleh penerima amaran radar (Radar Warning Receiver -RWR), sementara Radio-Silence pula menghalang pengesanan komunikasi suara atau data seperti Link 16, yang membolehkan serangan jauh.

“Radar dan Radio Silence” atau dimana pesawat menutup radio dan radarnya adalah untuk membolehkan pesawat PAF kekal tidak kelihatan sehingga senjata mereka dilepaskan, pada ketika itu peluru berpandu dipandu di pertengahan perjalanan oleh pesawat AEW&C.
Dalam jarak 20 hingga 30 kilometer terakhir penerbangan, seeker radar X-band pada PL-15E diaktifkan, mengunci sasaran dengan ketepatan yang tinggi.
Walaupun dilengkapi dengan radar RBE2 AESA yang mempunyai jarak pengesanan sehingga 200 kilometer, pesawat Rafale India gagal mengesan ancamannya.
Kebanyakan penganalisis mengaitkan ini dengan pesawat PAF yang terbang pada ketinggian yang sangat rendah, menggunakan bentuk muka bumi berbukit untuk kekal di bawah horizon radar India dan memanfaatkan titik buta.
Walaupun sebahagian daripada kehilangan pesawat India boleh dikaitkan dengan kesilapan taktikal atau kurangnya jangkaan ancaman, pertembungan ini menunjukkan perkembangan kritikal dalam pertempuran udara moden.
Ia menunjukkan bahawa keunggulan peperangan udara tidak lagi ditentukan hanya oleh platform, tetapi oleh keupayaan untuk melihat terlebih dahulu, menembak terlebih dahulu, dan menyambung lebih pantas di seluruh medan tempur yang berhubung.

