Sepanyol Muncul Negara Eropah Pertama Peroleh 24 Pesawat Latihan Lanjutan Hurjet Buatan Turkiye
Kedua-dua negara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) beberapa hari lalu bagi membolehkan Sepanyol memperolehi 24 buah pesawat latihan (Fighter Lead-In Trainer) Hurjet yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
(DEFENCE SECURITY ASIA) –Selepas beberapa bulan melakukan kajian, akhirnya Sepanyol memiih pesawat latihan lanjutan Hurjet buatan Turkiye untuk menggantikan pesawat latihan lanjutan SF-5M miliknya yang telah berusia.
Kedua-dua negara telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) beberapa hari lalu bagi membolehkan Sepanyol memperolehi 24 buah pesawat latihan (Fighter Lead-In Trainer) Hurjet yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).
Perolehan 24 buah pesawat latihan Hurjet itu akan menggantikan 19 buah pesawat latihan SF-5M berusia yang kini digunakan oleh Tentera Udara Sepanyol untuk melatih juruterbangnya.
Dengan ini, Sepanyol akan menjadi negara pertama di Eropah yang memperolehi pesawat FLIT (Fighter Lead-In Trainer) buatan Turkiye.
Laporan tentang perolehan Sepanyol terhadap pesawat latihan Hurjet itu timbul selepas negara Eropah itu melakukan kajian terhadp pesawat itu di Pangkalan Udara Torrejon di Madrid pada Julai dan Ogos tahun ini.
“Hari ini, kami berbangga menyaksikan satu lagi langkah bersejarah dalam industri pertahanan,” kata Setiausaha Industri Pertahanan Turki, Haluk Gorgun.
“Memorandum Persefahaman yang akan menjadi asas kerjasama antara kami dengan sekutu lama NATO, Sepanyol, dalam Projek Pesawat Latihan Jet telah ditandatangani antara Presiden Industri Pertahanan (SSB) dan Kementerian Pertahanan Sepanyol.”
Laporan media sebelum ini juga menyatakan bahawa perolehan pesawat latihan lanjutan Hurjet itu oleh Sepanyol itu akan dilakukan secara timbal-balas (barter), dengan negara Eropah tersebut memperolehi 24 buah pesawat Hurjet manakala Turkiye pula akan memperolehi tujuh buah pesawat pengangkut Airbus A400M.
Menurut laporan media Turkiye, Tentera Udara Sepanyol dijangka akan mula menerima pesawat latihan lanjutan/pejuang ringan Hurjet buatan Turkiye itu pada tahun 2028.
Turkiye sememangnya mahu menambah pesawat pengangkut A400M itu dalam armada tentera udaranya.
Sejak tahun lepas, Tentera Udara Sepanyol telah pun menyatakan hasratnya untuk menggantikan pesawat latihan lanjutan SF-5M yang merupakan pesawat latihan lanjutan buatan tempatan.
Beberapa buah syarikat telah menunjukkan minat untuk menggantikan pesawat SF-5M yang dioperasikan oleh Tentera Udara Sepanyol itu termasuk Boeing T-7, T-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dan M-346 oleh Leonardo.
Pesawat latihan lanjutan Hurjet yang bakal diperolehi oleh Sepanyol itu akan ditempatkan di Skuadron ke-23 Tentera Udara Sepanyol di Pangkalan Udara Talavera La Real.
Pesawat latihan lanjutan Hurjet itu akan mengambil-alih tugas yang sebelum inii dilakukan oleh pesawat latihan lanjutan SF-5M untuk melatih juruterbang-juruterbang pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dan F/A-18E/F Super Hornet Tentera Udara Sepanyol.
Pesawat latihan lanjutan Hurjet merupakan pesawat berkemampuan terbang dalam kelajuan supersonik dan mula dibangunkan pada 2018.
TAI (juga dikenali sebagai TUSAS) mengumumkan pada 11 Julai 2024 bahawa Hurjet telah berjaya melakukan penerbangan ke-79, mencapai kelajuan Mach 0.9 pada ketinggian 30,000 kaki.
Hurjet dijangka mampu mencapai Mach 1.4 pada ketinggian maksimum 45,000 kaki, dengan kapasiti muatan 6,000 paun dan jarak operasi sejauh 1,200 batu nautika.
Tujuan utama Turkiye membangunkan Hurjet adalah untuk meggantikan pesawat latihan T-38M dan NF-5A/B 2000 yang sedang berkhidmat dengan Tentera Udara Turkiye pada tahun 2030.
Selain itu, sebagai pesawat pejuang ringan Hurjet akan meringankan tugasan yang dipikul oleh pesawat pejuang F-16 Turkiye.
Turkiye juga sedang membangunkan varian tentera laut bagi pesawat Hurjet itu yang disasarkan akan berkhidmat daripada kapal perang TCG Anadolu yang juga merupakan kapal pengangkut dron pertama dunia.
Daripada kapal TCG Anadolu itu, Hurjet akan beroperasi bersama-sama dron Bayraktar TB3 dan pesawat pejuang tanpa pemandu Kizilelma.
Sebelum ini, syarikat TAI atau TUSAS turut telah menawarkan pesawat Hurjet itu kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap pesawat-pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).
TAI turut menawarkan sebahagian daripada pesawat Hurjet itu dipasang di Malaysia sekiranya negara bersetuju untuk memperolehinya.
TAI menawarkan sebanyak 18 buah pesawat “Hurjet” kepada Malaysia, tetapi tawaran Turkiye itu tidak berjaya dengan Malaysia memilih 18 buah pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI). — DSA