Selepas Peluru Berpandu METEOR, Greek Protes Pula Penjualan Piaggio Aerospace pada Turkiye
Akhbar Greek, Kathimerini melaporkan bahawa kerajaan negara itu merancang untuk mengemukakan protes terhadap Itali dengan mendakwa penjualan syarikat aeroangkasa ikonik Itali, Piaggio Aerospace kepada syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar Technology itu melanggar peraturan 2019/452 Kesatuan Eropah yang mula berkuatkuasa sejak 11 Okt 2020.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas membantah keras kemungkinan Perancis menjual peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR kepada Turkiye, Greek kini membantah pula penjualan syarikat aeroangkasa ikonik Itali, Piaggio Aerospace kepada syarikat pembuat dron, Baykar Technology.
Baykar Technology merupakan syarikat pembuat dron terkenal Turkiye, yang bertanggungjawab terhadap dron-dron berkuasa tinggi dan canggih seperti Bayraktar TB2 dan Akinci.
Akhbar Greek, Kathimerini melaporkan bahawa kerajaan negara itu merancang untuk mengemukakan protes terhadap Itali dengan mendakwa penjualan syarikat aeroangkasa ikonik Itali, Piaggio Aerospace kepada syarikat pembuat dron Turkiye, Baykar Technology itu melanggar peraturan 2019/452 Kesatuan Eropah yang mula berkuatkuasa sejak 11 Okt 2020.
Peraturan itu menghendaki kesemua negara Kesatuan Eropah memberitahu negara-negara anggota yang lain apabila sebuah syarikat milik negara dijual kepada pelabur daripada negara ketika.
Akhbar Greek itu menjelaskan bahawa Artikel 7 peraturan itu menyatakan bahawa “mana-mana negara anggota EU atau Suruhanjaya boleh meminta maklumat daripada negara penjual atau pembeli jika pelaburan asing dianggap sebagai risiko berpotensi terhadap keselamatan atau ketenteraman awam.”
Kerajaan Greek melihat pembelian syarikat aeroangkasa Itali, Piaggio Aerospace oleh Baykar Technology yang terkenal dengan dron-dron bersenjatanya sebagai “berisiko tinggi” daripada segi keselamatan.
Kerajaan Greek di Athens sebelum ini dilaporkan berang dengan Perancis kerana negara Eropah itu didakwa telah memberikan kebenaran kepada Turkiye untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR bagi digunakan pada pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang bakal ia perolehi.
Menteri Pertahanan Greek Nikos Dendias telah bertindak memanggil Duta Perancis ke Greek, Laurence Auer bagi membantah keras cadangan oleh Paris itu dan meminta ia menjelaskan tentang laporan penjualan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) METEOR kepada Turkiye itu.
“Saya telah menyampaikan kepada Duta Perancis tentang tentangan kuat Greek terhadap kemungkinan tersebut (penjualan peluru berpandu METEOR kepada Turkiye), yang tidak selaras dengan hubungan strategik erat yang telah dinikmati oleh kedua-dua Greek dan Perancis sehingga kini,” tulis Dendias di dalam platform media sosial, X.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh atau Beyond Visual Range (BVRAAM) METEOR didakwa adalah peluru berpandu udara-ke-udara terbaik dunia, mengatasi AIM-120 AMRAAM yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “METEOR” yang dipandu menggunakan radar(radar guided) itu dilaporkan berkemampuan meluncur selaju Mach 4 dan membedil sasaran udara sejauh 200km.
Isu penjualan senjata kepada Türkiye turut dibangkitkan baru-baru ini dalam pertemuan antara Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar sidang kemuncak EU di Brussels, di mana Mitsotakis meminta penjelasan mengenai sama ada Perancis akan meneruskan penjualan peluru berpandu udara-ke-udara METEOR kepada Türkiye.

Ketegangan diplomatik di antara Greek dan Perancis ini berlaku walaupun kedua-dua buah negara mempunyai kerjasama pertahanan yang kukuh.
Di bawah perjanjian pertahanan bersama yang dimeterai pada September 2021 di antara Greek dan Perancis, kedua-dua negara berikrar untuk memberikan sokongan dan bantuan ketenteraan sekiranya salah sebuah diserang oleh negara ketiga.
Perjanjian pertahanan di antara Paris dan Athens ini telah membawa kepada pembelian senjata yang signifikan oleh Greek termasuk perolehan 24 jet pesawat pejuang Rafale dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation serta kapal perang Perancis oleh Greek.
Greek sebenarnya bimbang perolehan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR oleh Turkiye menerusi pembelian pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu akan menghakis kekuatan udaranya yang kini lebih utuh berbanding Ankara berikutan perolehan pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.
Cadangan penjualan 40 buah pesawat pejuang varian terkini Eurofighter Typhoon yang dilengkapi peluru berpandu udara-ke-udara METEOR kepada Turkiye telah menyebabkan hubungan antara Britain, Perancis, dan Greek menjadi begitu tegang.
Turkiye dilaporkan meletakkan syarat bahawa ia akan hanya memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu sekiranya ia turut dibenarkan memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh METEOR dan kini hasratnya ditunaikan.
Turkiye bakal memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu Tranche 4.

