Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Anggota PGA Lengkap Bersenjata Berkawal Pada Operasi Tebang, Musnah Ladang Durian Haram Raub

Kehadiran anggota-anggota PGA daripada Briged Tenggara itu bertujuan memastikan provokasi melampau pekebun haram sebagaimana yang berlaku pada hari kedua operasi tidak berulang.

0 1,655

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sehari selepas diarahkan oleh Ketua Polis Negara, anggota-anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) lengkap bersenjata dilihat berada di ladang durian haram di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, hari ini melakukan rondaan bagi memastikan operasi tebang dan musnah pokok-pokok durian haram itu berjalan dengan lancar.

Kehadiran anggota-anggota PGA daripada Briged Tenggara itu bertujuan memastikan provokasi melampau pekebun haram sebagaimana yang berlaku pada hari kedua operasi tidak berulang.

Dipetik oleh akhbar Berita Harian, Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad menyifatkan kehadiran lebih ramai anggota PGA bermula daripada semalam, seolah-olah menyuntik semangat baharu kepada penebang dan petugas lain.

Beliau difahamkan, seramai 30 anggota PGA menyertai operasi itu mulai semalam dan manakala seramai 30 lagi turut sama bergabung menjaga keselamatan petugas yang berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam hari ini.

Semalam, Polis Diraja Melaysia (PDRM) menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam di daerah berkenaan berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.

Durian
Gambar kredit Berita Harian

 

Menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.

Nor Azirim berkata, anggota polis dan PGA itu turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama masuk ke kawasan terbabit.

“Saya berharap operasi kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak dan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi.

“Hari ini juga kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP daripada beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah, menjadi kira-kira 65 petugas yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh akhbar tempatan itu.

Durian
Gambar kredit Utusan Melayu

 

Nor Azirim yang turut menyertai operasi itu, berkata kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian kerana mereka berkemahiran tinggi dan mempunyai lebih kelengkapan.

Beliau berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.

Durian
Gambar kredit Berita Harian

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...