Sebuah Lagi Dron MQ-9 Reaper Milik Amerika Ditembak Jatuh Houthi, Dron Ke-13
Secara keseluruhannya, Amerika Syarikat terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$390 juta (RM1.74 billion) selepas sebanyak 13 buah dron berkuasa tinggi MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics itu berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah kehilangan sebuah lagi dron MQ-9 Reaper yang dianggar bernilai US$30 juta (RM134 juta) selepas ia ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi di Yemen beberapa hari lalu.
Ia adalah dron MQ-9 Reaper ke-13 milik USAF yang berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan bersenjata Houthi sejak bermulanya konflik di antara Palestin dan Israel pada 7 Oktober tahun lepas.
Secara keseluruhannya, Amerika Syarikat terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$390 juta (RM1.74 billion) selepas sebanyak 13 buah dron berkuasa tinggi MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics itu berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan Houthi.
Ia juga menunjukkan bahawa tentera Amerika Syarikat berhadapan dengan cabaran sengit dalam melaksanakan operasi udaranya di rantau Timur Tengah.
Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.
Dron buatan Amerika Syarikat yang canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitif.
Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.
Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.
Tentera Amerika Syarikat dilapor bercadang menghentikan perkhidmatan dron MQ-9 Reaper itu pada tahun 2035.
Kumpulan bersenjata Houthi telah mengeluarkan video penembakan jatuh dron MQ-9 Reaper itu, yang menunjukkan dron itu telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu dilancar daripada sistem peluru berpandu darat-ke-udara 2K12 KUB yang dibangunkan ketika zaman Soviet Union.
Sistem peluru berpandu darat-ke-udara KUB yang dibangunkan ketika zaman Soviet Union masih berkesan sekiranya digunakan oleh mereka yang berkemahiran tinggi.
Sistem pertahanan udara “KUB” ( klasifikasi NATO – SA-6 Gainful) ialah sistem pertahanan udara buatan Soviet dan dibangunkan oleh Biro Rekabentuk GKAT-15 (cawangan Institut Penyelidikan-17) yang kini dikenali sebagai Institut Penyelidikan Instrumentasi Tikhomirov.
Sistem peluru berpandu anti-pesawat bergerak sendiri “KUB” (2K12) direka untuk melindungi tentera darat, terutamanya divisyen kereta kebal, daripada serangan udara oleh pesawat musuh yang terbang pada altitud sederhana dan rendah.
Sistem “KUB” direka untuk memusnahkan sasaran udara yang terbang pada kelajuan 420-600 m/s pada altitud antara 100-200 meter hingga 5-7 kilometer, dengan jarak sehingga 20 kilometer.
Kebarangkalian untuk mengenai sasaran dengan satu peluru berpandu adalah tidak kurang daripada 0.7.
Selain sistem pertahanan udara “KUB”, kumpulan Houthi dipercayai menggunakan peluru berpandu canggih “Saqr 358” keluaran Iran yang memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat untuk menembak jatuh dron-dron milik tentera Amerika.
Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.
Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan. — DSA