Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Pejuang Hezbollah Tembak Jatuh Dron Hermes 450 Milik Tentera Israel

(VIDEO) Penganalisis tentera Israel, Hillel Peyton Rosen menyifatkan insiden penembakan jatuh dron "Hermes 450" milik tentera Israel itu sebagai sesuatu yang “amat berbahaya” manakala koresponden tentera negara itu Amir Bohbot mengisytiharkan insiden penembakan jatuh dron itu telah merendahkan kemampuan tentera Israel. 

0 946

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pejuang-pejuang Hezbollah telah berjaya menembak jatuh sebuah dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) “Hermes 450” milik tentera Israel yang menceroboh ruang udara selatan Lubnan di bandar Nabatieh.

Video-video menunjukkan dron Hermes 450 milik Israel itu ditembak jatuh oleh pejuang Hezbollah telah pun tersebar di media-media sosial pada ketika ini.

Anggota kumpulan bersenjata pro-Iran itu berjaya menembak jatuh dron Israel itu menggunakan peluru berpandu darat-ke-udara tetapi tidak diketahui jenisnya.

Tentera Israel dalam kenyataan mengesahkan kehilangan sebuah dron Hermes 450 di selatan Lubnan.

Ia berkata sistem pertahanan udara jarak sederhana miliknya “David Sling” berjaya menembak jatuh peluru berpandu darat-ke-udara pertama dilancar oleh pejuang Hezbollah terhadap dron Hermes 450 itu.

Bagaimanapun peluru berpandu darat-ke-udara  kedua dilancar oleh pejuang Hezbollah terhadap dron Hermes itu berjaya mengenai sasarannya, menyebabkan ia mengalami kebakaran di udara sebelum menjunam di dalam wilayah Lubnan.

Dron Hermes 450 yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Elbit System juga dikenali sebagai “Zik” dan digunakan oleh tentera Israel sebagai platform Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) serta untuk misi-misi serangan.

Selain itu dron Hermes 450 juga direkabentuk untuk melakukan misi-misi pemintasan udara, panduan bedilan artilleri, perisikan, pemantauan di peringkat taktikal dan juga melaksanakan rondaan udara.

Syarikat Elbit Systems yang membangunkan dron Hermes 450 itu juga telah mengeksport dron itu kepada beberapa negara luar termasuk di Asia Tenggara dengan Singapura, Thailand dan Filipina adalah di antara negara di rantau ini yang menggunakan dron keluaran negara Yahudi itu.

Filipina dipercayai membelanjakan US$175 juta (RM700 juta) untuk memperolehi kira-kira sembilan buah pesawat tanpa pemandu Hermes 900 dan empat buah Hermes 450 serta segala peralatan sokongan, alat ganti dan ground control station.

Pesawat Tanpa Pemandu Hermes 900 dan 450 dikategorikan sebagai Medium Altitude Long Endurance (MALE).

Pesawat Tanpa Pemandu Hermes itu boleh melakukan tugasan pemantauan di darat dan laut dan boleh terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan selama 36 jam tanpa henti.

Tentera Udara Filipina menggunakan pesawat-pesawat tanpa pemandu Hermes 900 dan Hermes 450 untuk pelbagai misi pemantauan termasuk mengesan anggota kumpulan pengganas yang bersembunyi di kawasan hutan atau bandar.

Pada 2022, Tentera Udara Filipina mengesahkan sebuah dron Hermes 900 miliknya telah terhempas di sebuah kawasan semak-samun di bandar itu tidak lama selepas ia kehilangan segala bentuk komunikasi dengan ground control station yang mengawalnya.

Pada 2022 juga, Thailand dilapor membelanjakan US$120 juta (RM480 juta) untuk memperolehi tujuh buah unit dron Hermes 900 itu, dua buah mobile ground station dan sebuah indoor ground station.

Hermes
Dron Hermes 450 milik Israel terhempas selepas ditembak jatuh oleh Hezbollah di selatan Lubnan.

 

Dron Hermes 900 milik Thailand itu juga boleh dilengkapi dengan sistem persenjataan.

Sementara itu penganalisis tentera Israel Hillel Peyton Rosen menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang “amat berbahaya” manakala koresponden tentera negara itu Amir Bohbot mengisytiharkan bahawa insiden penembakan jatuh dron Hermes 450 itu telah merendahkan kemampuan tentera Israel. 

Sebagai reaksi balasnya terhadap tindakan pejuang Hezbollah menembak jatuh dron Hermes 450 itu, tentera Israel telah melancarkan serangan udara terhadap bandar Baalbek yang terletak kira-kira 100 km jauhnya daripada sempadan selatan Lubnan dengan Israel.

Ia dikatakan adalah serangan udara paling jauh Israel terhadap Lubnan dan membunuh dua orang anggota kumpulan bersenjata Hezbollah. — DSA

(BACA TENTANG KEMAMPUAN DRON HERMES 450 BUATAN ISRAEL)

Notis

 

Comments
Loading...