Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom Strategik Russia Tu-160 “Blackjack” aka “White Swan”

Pesawat TU-160 “Blackjack”adalah sebuah pesawat “swing-wing” dan ia telah dibangunkan oleh syarikat Tupolev dan Kazan-Gorbunov pada 1980 dan pada 1987 ia mula berkhidmat dengan Skuadron Jarak Jauh Ukraine (ketika Ukraine masih sebahagian daripada Soviet Union) Pada ketika ini Russia dikatakan memiliki sehingga 16 buah pesawat pengebom strategik TU-160 yang juga digelar “White Swan” kerana warnanya yang putih.

0 1,976

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jika Amerika Syarikat memiliki pesawat B-1B “Lancer” sebagai pesawat pengebom strategiknya, Russia pula memiliki Tupolev TU-160 “Blackjack” sebagai pesawat pengebom strategik negara itu yang berkemampuan membawa persenjataan konvensional dan juga nuklear. 

Sejak akhir-akhir, berhadapan dengan kesukaran di medan peperangan konflik Ukraine, Russia telah meningkatkan kekerapan penggunaan pesawat pengebom strategik dalam misi-misi pengeboman di negara jirannya itu. 

Pesawat TU-160 “Blackjack”adalah sebuah pesawat “swing-wing” dan ia telah dibangunkan oleh syarikat Tupolev dan Kazan-Gorbunov pada 1980 dan pada 1987 ia mula berkhidmat dengan Skuadron Jarak Jauh Ukraine (ketika Ukraine masih lagi sebahagian daripada Soviet Union)

Pada ketika ini Russia dikatakan memiliki sehingga 16 buah pesawat pengebom strategik TU-160 yang juga digelar “White Swan” kerana warnanya yang putih.

Tentera Udara Russia bercadang untuk menambah pemilikan pesawat pengebom strategik ini  yang diiktiraf sebagai pesawat pengebom strategik paling berkeupayan (dikira daripada jumlah senjata yang boleh dibawanya) kepada di antara 50 hingga 60 buah. 

Tu-160
B-1B Lancer (kiri) dan Tu-160 (kanan)

 

Oleh itu ia telah meningkatkan keupayaan pesawat TU-160 ini daripada segi enjin dan sistem avioniknya.

Pesawat pengebom yang dinaiktaraf ini dipanggil TU-160M yang dilengkapi dengan enjin NK-32-02 yang dibangunkan oleh United Aircraft Corporation. Setiap pesawat pengebom strategik ini membawa empat buah enjin NK-32-02.

Dengan kemampuan enjin yang lebih ampuh, pesawat Tupolev TU-160M ini bukan sahaja boleh pergi lebih jauh dan terbang lebih tinggi tetapi apa yang penting ia kini boleh membawa muatan senjata yang lebih banyak.

Dikatakan memegang 44 rekod penerbangan dunia, flight endurance pesawat TU-160 adalah 15 jam penerbangan dan jarak operasi kira-kira 13,000km (tetapi jika dibantu dengan pesawat air-to-air-refuelling) maka endurance dan jarak operasi akan bertambah.

Pesawat TU-160M kini boleh membawa 45 tan (45,000 kg) senjata di dalam dua buah weapon bays pesawat itu, dengan senjata utama adalah 12 butir peluru berpandu kruis Raduga KH-101/102 yang telah berkhidmat dengan tentera Russia sejak 2013.

Tu-160

Pada 2018, agensi berita Russia iaitu TASS melaporkan pesawat pengebom TU-160M yang dinaiktaraf telah melancarkan 12 peluru berpandu KH-101/102 yang memiliki jarak sasaran sejauh 4,000km di lapang sasar Pemboi.

Menurut seorang penganalisis pertahanan, dengan peluru berpandu dengan  jarak menjangkau 4,000km pesawat itu boleh melancarkan serangan terhadap kedudukan tentera NATO di Eropah tanpa perlu keluar daripada sempadan Russia.

Dalam konflik Syria antara 2015-2017, pesawat-pesawat TU-160 ini melakukan penerbangan sejauh 4,000 batu daripada pengkalannya melintasi Mediterranean dan melancarkan peluru-peluru berpandu KH-101/102 terhadap kedudukan ISIS di Syria.

Pesawat-pesawat TU-160 tentera Russia ini beroperasi di pengkalan udara Engels di tengah Russia.

Bagaimanapun pada awal Disember lepas, pangkalan udara Engels itu yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom jarak jauh Russia telah dibom oleh dron-dron berani mati yang dipercayai telah dilancarkan oleh tentera Ukraine.

Pesawat Pengebom
Pesawat pengebom strategik Russia “Tu-160”

 

Serangan terhadap pangkalan udara itu berlaku pada waktu awal pagi tadi (5 Dis) telah menyebabkan kerosakan terhadap dua buah pesawat pengebom strategik itu serta mengorbankan beberapa orang anggota tentera.

Sebuah lagi pangkalan udara strategik Russia di Dyagilevo di wilayah Ryazan, tidak jauh daripada ibu negara, Moscow yang turut menempatkan pesawat-pesawat pengebom milik Tentera Udara Russia turut telah diserang oleh dron-dron bersenjata Ukraine.

Sejak beberapa minggu ini, Russia telah meningkatkan kehadiran pesawat-pesawat pengebom strategik mereka iaitu Tupolev  Tu-95 dan Tu-160 di Pangkalan Udara Engels-2, dipercayai sebagai persediaan untuk melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap Ukraine pada musim sejuk ini.

Kedua-dua pesawat-pesawat pengebom strategik milik Tentera Udara Russia (VKS) itu berkemampuan membawa bom dan peluru berpandu yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear, sekaligus meningkatkan lagi ketegangan di antara Russia dan Amerika Syarikat. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

 

 

Comments
Loading...