Russia Timbang Guna J-35A Atau Su-75 Checkmate Untuk Operasi di Kapal Pengangkut Pesawat Barunya ??
Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa Russia bercadang membina kapal-kapal pengangkut pesawat yang saiznya adalah jauh lebih kecil berbanding Admiral Kuznetsov serta menggunakan pesawat pejuang VSTOL (Vertical Short Take Off Landing) di atas dek penerbangannya.
Dikala kapal pengangkut pesawat tunggalnya, Admiral Kuznetsov bakal dilucut tauliah dan dijadikan “besi buruk” tidak lama lagi, Russia dilaporkan sedang mengkaji untuk membina kapal pengangkut pesawat generasi baru yang saiznya adalah lebih kecil serta menimbang kemungkinan untuk mengoperasikan pesawat pejuang J-35A buatan China.
Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa Russia bercadang membina kapal-kapal pengangkut pesawat yang saiznya adalah jauh lebih kecil berbanding Admiral Kuznetsov serta menggunakan pesawat pejuang VSTOL (Vertical Short Take Off Landing) di atas dek penerbangannya.
Pesawat-pesawat VSTOL seperti F-35B berlepas dan mendarat secara menegak serta tidak memerlukan landasan yang panjang.
Media Russia, Izvestia memetik Ilya Kramnik, seorang penganalisis di pusat pemikir Centre for the Study of Strategic Planning sebagai berkata sekiranya Russia membina kapal-kapal pengangkut pesawat baru, maka calon-calon pesawat yang akan beroperasi di atas dek penerbangannya berkemungkinan besar adalah Su-75 Checkmate atau Shenyang J-35A.
“Sekiranya kapal pengangkut pesawat yang jauh lebih kecil dibina, maka prospek (pesawat-pesawat pejuang) adalah Su-75 sekiranya varian tentera laut dibina atau J-35A di mana saiz kedua-dua pesawat pejuang itu adalah lebih kecil berbanding Sukhoi Su-33 yang digunakan pada ketika ini.”
Beliau juga berkata terdapat kemungkinan bahawa Russia juga boleh memperolehi pesawat amaran awal dan kawalan buatan China untuk beroperasi daripada kapal pengangkut pesawatnya yang baru itu.
Baru-baru ini, Moscow kini dilapor bersedia melupuskan satu-satunya kapal pengangkut pesawatnya, Admiral Kuznetsov yang sudah usang sebagai besi buruk.

Langkah ini bakal meninggalkan Kremlin tanpa sebarang kapal pengangkut pesawat yang operasional — pada ketika Tentera Laut Amerika Syarikat terus menguasai lautan dengan armada 11 kapal pengangkut pesawat moden yang mampu mendominasi mana-mana perairan dunia.
Laporan daripada akhbar pro-Kremlin, Izvestia, mendedahkan bahawa Rusia akhirnya bersedia untuk menamatkan riwayat Admiral Kuznetsov — simbol terakhir impian sayao penerbangan era Tentera Laut Kesatuan Soviet — selepas hampir lapan tahun usaha naik taraf yang gagal, tragedi berulang dan kos yang terus meningkat.
Memetik sumber yang “berpengetahuan”, Izvestia mendakwa Tentera Laut Rusia bersama United Shipbuilding Corporation (USC) kini hampir memutuskan untuk menghentikan sepenuhnya program baik pulih Admiral Kuznetsov, satu langkah yang bakal menamatkan terus keupayaan sea-based airpower Moscow di saat aset-aset maritimnya berdepan tekanan luar biasa di Laut Hitam, Artik dan kawasan lain.
Penamatan khidmat Admiral Kuznetsov ini turut disokong tokoh kanan Tentera Laut Rusia yang kini menganggap kapal pengangkut pesawat tradisional sebagai “sasaran” yang mahal dan perlahan dalam era sistem peluru berpandu jarak jauh, hypersonic glide vehicle dan swarm drone.
Laksamana Sergei Avakyants, bekas komander Armada Pasifik Rusia dan suara berpengaruh dalam komuniti maritim Moscow, memberitahu Izvestia bahawa Tentera Laut Rusia “tidak memerlukan kapal pengangkut pesawat dalam bentuk klasik untuk jangka panjang.”
Avakyants menegaskan kapal pengangkut pesawat adalah peninggalan era peperangan laut lama kerana “ia boleh dimusnahkan dalam beberapa minit dengan senjata moden,” sekali gus mendedahkan betapa terdedahnya “pangkalan udara terapung” di era serangan berketepatan tinggi dan next-generation kill chain.
Pesawat pejuang J-35A dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation di bawah konglomerat penerbangan negara China, AVIC, direka untuk menembusi ruang udara musuh yang dipertahankan dengan ketat, melaksanakan serangan tepat jarak jauh serta mengelak daripada dikesan oleh radar moden dan sistem peluru berpandu.

Pesawat ini bakal dilengkapi dengan enjin generasi baharu WS-19 dengan tujahan kelas 12 tan, membolehkan pesawat melakukan supercruise pada kelajuan subsonik dan transonik tanpa afterburner—penting untuk mengekalkan jejak infra red yang rendah semasa misi penyusupan.
Laporan teknikal turut menunjukkan bahawa berat maksimum semasa berlepas (MTOW) bagi J-35A telah meningkat kepada 28,000 kilogram, berbanding hanya 25,000 kilogram pada prototaip FC-31 sebelum ini, membolehkan tangki bahan api dalaman dan muatan persenjataan yang lebih besar.
Reka bentuk badan pesawat turut menampilkan dua ruang persenjataan dalaman untuk empat peluru berpandu jarak sederhana serta dua ruang sisi untuk peluru berpandu infra merah jarak dekat—mengekalkan profil radar yang rendah dalam persekitaran ancaman tinggi.
Untuk misi serangan di mana keutamaan diberi kepada muatan berbanding kerahsiaan, pesawat ini turut menawarkan enam hardpoints luaran untuk membawa bom berpanduan, peluru berpandu kruis dan senjata anti-kapal—memberikan fleksibiliti operasi dalam pelbagai medan tempur.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama Global Times, Wang Yongqing, ketua pereka J-35 menjelaskan bahawa pesawat pejuang generasi kelima itu direka khas untuk pengeluaran besar-besaran (mass productions), sejajar dengan keperluan China untuk membentuk armada pesawat pejuang halimunan dalam skala besar yang boleh melaksanakan misi tempur dan kawalan pertempuran secara serentak.
“‘Konfigurasi berkembar udara-laut’ dan ‘satu pesawat, pelbagai varian’ untuk siri J-35 adalah program pembangunan yang kami laksanakan berdasarkan keperluan negara. Kami melaksanakannya secara konsisten mengikut pelan pembangunan yang dirancang,” jelas Wang.
Kelebihan J-35A tidak terhenti pada rekabentuknya — ia sebenarnya dibina sebagai ‘komander udara’ yang mengkoordinasikan pelbagai sistem lain di medan tempur termasuk dron, pesawat amaran awal dan kawalan, kapal permukaan dan sistem peluru berpandu.

Wang mengibaratkan peranan J-35A sebagai “point guard” dalam permainan bola keranjang dan berkata: “J-35A bukan sahaja mempunyai keupayaan ‘menjaringkan gol’ yang mengagumkan, tetapi juga boleh menyelaras dengan berkesan aset-aset medan tempur lain dalam operasi bersama.”
Dengan integrasi avionik modular, penderia boleh ubah suai dan sistem misi yang berskala, reka bentuk J-35 membolehkan pengurangan kos pengeluaran seunit dan mempercepatkan proses dari pemasangan ke operasi.
Sementara itu pihak United Aircraft Corporation (UAC) Russia mengesahkan bahawa pembangunan Sukhoi Su-75 “Checkmate” kini berada pada peringkat akhir.
Menurut agensi berita Rusia TASS, Sergei Korotkov, pegawai kanan United Aircraft Corporation, menyifatkan Su-75 sebagai jet pejuang generasi kelima enjin tunggal dengan tahap pembangunannya hampir selesai.
Pembangunan pesawat pejuang taktikal ringan generasi kelima Su-75 Checkmate telah mencapai tahap yang baik, membolehkan perkembangan lanjut program ini dianggap menjanjikan.
Masa depan pesawat ini dapat dilihat dengan penuh optimisme, kata Sergei Korotkov, pereka utama dan timbalan pengarah UAC kepada RIA Novosti.
Korotkov turut menyatakan bahawa ramai pembeli antarabangsa sedang mempertimbangkan pesawat ini, dengan menekankan permintaan pasaran yang tinggi terhadap jet pejuang tersebut.
Beliau menambah bahawa “proses pembangunan sedang berjalan dengan lancar.”
Su-75 pertama kali diperkenalkan pada Pameran Udara MAKS-2021 di Rusia. Pesawat halimunan ringan ini direka untuk memenuhi keperluan pertempuran moden yang semakin kompleks.
Su-75 Checkmate adalah tindak balas Rusia terhadap dominasi teknologi stealth Amerika Syarikat.
“Pesawat pejuang Checkmate boleh dibina mengikut beberapa varian iaitu satu tempat duduk, dua tempat duduk serta varian tanpa pemandu,” menurut maklumat tentang spesifikasi pesawat terbabit yang dikeluarkan pada Dubai Airshow itu.
Pesawat-pesawat Su-75 “Checkmate” itu bermula pada tahun 2026.
Sebagai pesawat stealth pelbagai peranan generasi kelima, Su-75 menawarkan spesifikasi cemerlang:
-
Kelajuan maksimum: Lebih kurang Mach 1.8
-
Jarak operasi: 1,864 batu
-
Ketinggian operasi maksimum: 54,100 kaki
-
Muatan senjata: Sehingga 7.4 tan, termasuk peluru berpandu udara-ke-udara dan udara-ke-darat yang disimpan di ruang dalaman untuk mengekalkan stealth, serupa dengan F-22 Raptor Amerika.
Su-75 juga dilengkapi dengan teknologi moden seperti:
-
Sistem dipertingkatkan AI untuk membantu juruterbang
-
Avionik canggih
-
Keupayaan peperangan berpusatkan rangkaian untuk operasi bersepadu
-
Salah satu ciri paling menonjol Su-75 ialah harganya. Dengan kos dianggarkan antara $30 juta hingga $35 juta seunit, pesawat ini jauh lebih murah berbanding jet stealth Amerika. Sebagai perbandingan:
-
F-35 Lightning II berharga antara $82.5 juta hingga $102.1 juta, bergantung kepada model.
-
F-22A Raptor, walaupun tidak tersedia untuk eksport, jauh lebih mahal.
-
Pada tahun 2021, Su-75 Checkmate pertama kali dipamerkan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kenyataan terkini Sergei Korotkov muncul tidak lama selepas agensi eksport pertahanan Rusia, Rosoboronexport, mengumumkan ia telah memperoleh pelanggan antarabangsa pertama untuk jet pejuang Su-57.
Laporan mencadangkan pelanggan tersebut mungkin Algeria.
Dengan kombinasi Su-57 dan Su-75, Rusia bertekad untuk menyaingi keupayaan pesawat pejuang halimunan Amerika Syarikat dan China.
-