Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Rancang “Tindak Balas” Terhadap Penerbangan Dron Amerika, NATO di Laut Hitam

Amaran oleh Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov itu merupakan suatu mesej jelas bahawa Moscow kini bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO, sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan pertentangan secara langsung antara Russia dan NATO diketuai Washington.

0 688

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Russia telah mengarahkan pegawai-pegawai untuk menyediakan “tindak balas” bagi menangani penerbangan dron-dron Amerika Syarikat dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Amaran oleh Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov itu merupakan suatu mesej jelas bahawa Moscow kini bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO, sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan pertentangan secara langsung antara Russia dan NATO diketuai Washington.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa terdapat “peningkatan kekerapan” penerbangan dron-dron Amerika dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Ia mendakwa dron-dron Amerika dan NATO melakukan kerja-kerja “perisikan dan membidik sasaran bagi senjata-senjata moden yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine untuk membedil kemudahan-kemudahan Russia.

“Ia menunjukkan peningkatan daripada segi penglibatan Amerika Syarikat dan negara-negara anggota NATO dalam konflik di Ukraine, menyebelahi rejim Kiev,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Ia juga memberitahu bahawa penerbangan-penerbangan dron itu telah meningkatkan kemungkinan berlakunya “insiden” melibatkan pesawat-pesawat tentera Russia dengan negara-negara anggota Pakatan Ketenteraan diketuai oleh pegawai tentera Amerika Syarikat.

Triton
Dron HALE MQ-4C “Triton” milik Amerika Syarikat.

 

“Negara anggota NATO akan bertanggungjawab sekiranya insiden itu benar-benar berlaku,” katanya.

Menurut Menteri Pertahanan Russia itu lagi, ia juga menunjukkan peningkatan penglibatan Amerika Syarikat dan NATO menyebelahi Ukraine dalam konflik itu dengan Moscow.”

Beberapa hari lalu, media-media Russia yang mempunyai hubungan rapat dengan tentera negara itu mendakwa  pesawat pejuang Russia telah  menembak jatuh sebuah dron milik tentera Amerika Syarikat, sama ada MQ-9 Reaper atau MQ-4C “Triton” yang sedang beroperasi di ruang udara Laut Hitam.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada Kementerian Pertahanan Russia mahupun Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) tentang insiden penembakan jatuh dron altitude tinggi milik Pentagon itu.

Media-media Russia itu mendakwa penembakan jatuh dron milik tentera Amerika Syarikat di ruang udara Laut Hitam dilaksanakan oleh pesawat pemintas Mig-31 tentera udara negara itu, yang berkeupayaan terbang di altitude tinggi.

Dibangunkan oleh Northrop Grumman, dron High Altitude Long Endurance (HALE) “Triton” itu adalah berdasarkan kepada dron HALE “RQ-4 Global Hawk” tetapi penganalisisis mendakwa ia adalah lebih canggih dan berkeupayaan berbanding dengan Global Hawk.

MiG-31
Pesawat pejuang MiG-31 Russia

 

Dron MQ-4C Triton itu membawa radar phased array antenna yang canggih,  kamera dan sensor untuk memantau perairan dan kawasan pesisir pantai.

Ia dioperasikan oleh empat kakitangan dengan kemampuan beroperasi lebih daripada 30 jam dan terbang setinggi lebih daripada 60,000 kaki. 

Russia dikatakan mahu bertindak balas terhadap dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO yang beroperasi di Laut Hitam untuk untuk melaksanakan misi-misi mengumpul maklumat di Laut Hitam.

Maklumat-maklumat yang diperolehi oleh pesawat-pesawat perisikan itu termasuk daripada pesawat peronda maritim P-8 Poseidon dan dron MQ-4C Triton kemudiannya disalurkan kepada tentera Ukraine bagi membolehkan mereka membedil kedudukan tentera Russia terutamanya di Crimea yang lebih tepat.

Desakan supaya Russia bertindak balas terhadap dron-dron Amerika Syarikat yang beroperasi di Laut Hitam semakin hebat terutamanya selepas serangan peluru berpandu MGM-140 ATACMS yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine beberapa hari lalu.

Serangan peluru berpandu ATACMS oleh Ukraine itu terhadap pantai popular di Crimea telah mengorbangkan lima orang penduduk awam dan mencederakan lebih daripada 100 penduduk yang sedang bermandi-manda di pantai itu.

ATACMS
“Army Tactical Missile Systems” (ATACMS)

 

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dron perisikan MQ-4C “Triton” milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah mula dikerah untuk melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di Laut Hitam bagi memantau dengan lebih teliti pergerakan tentera Russia di Crimea yang ditawannya daripada Ukraine.

Peningkatan penerbangan dron-dron dan pesawat perisikan Amerika dan NATO di Laut Hitam itu adalah selari dengan serangan besar-besaran peluru berpandu MGM-140 ATACMS oleh tentera Ukraine terhadap beberapa kedudukan tentera Russia di Crimea.

Dalam insiden yang berlaku pada Mac tahun lepas, sebuah pesawat pejuang Su-27 Russia bertindak memintas dan dengan sengaja telah “melanggar” kipas dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat sehingga menyebabkan dron terhempas di Laut Hitam.

Pihak tentera Amerika Syarikat mengecam tindakan pesawat pejuang Russia itu dan mendakwa ia melakukan penerbangan secara “tidak selamat” sehingga menyebabkan dron itu terhempas.

Ketika terhempas dron itu dipercayai sedang melakukan misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR) di  Laut Hitam berhampiran dengan Crimea, yang sebelum ini merupakan wilayah milik Ukraine tetapi telah dijajah oleh Russia. — DSA

 

 

Comments
Loading...