Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Russia Kerah Su-27 Pintas Pesawat Pengintip Elektronik RC-135, Typhoon Milik Britain

(VIDEO) “Sebaik sahaja pesawat pejuang Su-27 itu menghampiri pesawat pengintip elektronik RC-135 dan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, mereka (pesawat-pesawat kombat RAF) mula beredar daripada ruang udara terbabit,” menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Russia itu.

0 751

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah mengerahkan sebuah pesawat pejuang Su-27 untuk memintas sebuah pesawat pengintip elektronik RC-135 “Rivet Joint” yang diiringi oleh dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon di ruang udara Laut Hitam.

Pesawat pengintip RC-135 dan Eurofighter Typhoon itu adalah milik Tentera Udara British (Royal Air Force -RAF).

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, pesawat pejuang Su-27 itu dikerah untuk memastikan pesawat pengintip elektronik dan pesawat pejuang milik RAF tidak menceroboh ruang udara Russia.

“Sebaik sahaja pesawat pejuang Su-27 itu menghampiri pesawat pengintip elektronik RC-135 dan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, mereka (pesawat-pesawat kombat RAF) mula beredar daripada ruang udara terbabit,” menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Russia itu.

Tiada pencerobohan terhadap sempadan udara Russia dan pesawat pejuang Su-27 itu telah selamat kembali ke pangkalannya.

Kementerian Pertahanan Russia menekankan bahawa tindakan dilakukan oleh pesawat pejuang Russia itu adalah selari dengan peraturan ruang udara antarabangsa dan sentiasa berada dalam jarak selamat daripada pesawat-pesawat kombat British itu.

Pesawat pengintip elektronik RC-135 atau lebih mesra dipanggil “Rivet Joint” yang dioperasikan oleh RAF memainkan peranan penting dalam misi pengumpulan maklumat perisikan di Laut Hitam, terutamanya dalam konteks konflik di antara Russia dan Ukraine.

Pesawat RC-135 ini dilengkapi dengan pelbagai sensor canggih dan peralatan pengintipan elektronik yang boleh memintas komunikasi, signal radar dan pelbagai signal elektronik yang dihasilkan oleh pelbagai aset ketenteraan di wilayah itu.

Kemampuan itu memberikan kelebihan kepada Britain dan sekutunya untuk memantau pergerakan tentera Russia dan aktivitinya, sekaligus memberikan ia maklumat berguna tentang strategi operasional tentera Russia.

Dengan terbang di Laut Hitam, pesawat pengintip elektronik RC-135 itu boleh mengumpul maklumat perisikan secara real-time tentang operasi tentera laut dan tentera udara Russia.

Maklumat-maklumat perisikan yang berjaya dikumpul itu adalah kritikal dalam memahami kerahan dan kesiapsiagaan tentera Russia, termasuk ase-asetnya seperti kapal selam nuklear Yasen-M.

Data yang dikumpul itu boleh digunakan untuk meramalkan tindakan ketenteraan Russia, keberkesanan taktik tentera Russia dan seterusnya membangunkan counter-measures untuk menangani ancaman yang diberikan oleh kapal-kapal selam itu dan pelbagai asset tentera Russia yang lain.

RC-135
Pesawat pengintip elektronik RC-135 “Rivet Joint”

 

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa terdapat “peningkatan kekerapan” penerbangan pesawat-pesawat pengintip dan dron Amerika serta NATO di ruang udara Laut Hitam.

Ia mendakwa pesawat-pesawat pengintip dan dron-dron Amerika serta NATO melakukan kerja-kerja “perisikan dan membidik sasaran” bagi senjata-senjata moden yang dibekalkan oleh Washington kepada Ukraine untuk membedil kemudahan-kemudahan Russia.

“Ia menunjukkan peningkatan daripada segi penglibatan Amerika Syarikat dan negara-negara anggota NATO dalam konflik di Ukraine, menyebelahi rejim Kiev,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia.

Peningkatan penerbangan dron-dron dan pesawat perisikan Amerika dan NATO di Laut Hitam itu adalah selari dengan serangan besar-besaran peluru berpandu MGM-140 ATACMS oleh tentera Ukraine terhadap beberapa kedudukan tentera Russia di Crimea.

Menteri Pertahanan Russia telah mengarahkan pegawai-pegawai untuk menyediakan “tindak balas” bagi menangani penerbangan dron-dron Amerika Syarikat dan NATO di ruang udara Laut Hitam.

Amaran oleh Menteri Pertahanan Russia Andrei Belousov itu merupakan suatu mesej jelas bahawa Moscow kini bersedia untuk mengambil tindakan yang lebih keras terhadap pesawat pengintip dan dron-dron milik Amerika Syarikat dan NATO, sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan pertentangan secara langsung antara Russia dan NATO diketuai Washington

Russia

Stesen televisyen British BBC melaporkan pada tahun lepas tentang insiden dimana pesawat pejuang Su-27 Russia daidakwa cuba menembak jatuh pesawat pengintip milik Britain ketika ia sedang menjalankan misi perisikan di ruang udara antarabangsa di Laut Hitam pada 29 Sept 2022.

esawat pejuang Russia itu dilaporkan telah melancarkan dua butir peluru berpandu udara-ke-udara ke arah pesawat pengintip Britain itu, RC-135 Rivet Joint selepas menyangkakan kononnya telah diberikan “kebenaran” oleh pangkalannya untuk menembak jatuh pesawat pengintip itu.

“Juruterbang pesawat Russia telah telah melancarkan dua butir peluru berpandu udara-ke-udara ke arah pesawat pengintip Britain itu, tetapi peluru berpandu pertama gagal menemui sasaran manakala peluru berpandu kedua pula gagal berfungsi dengan baik,” BBC.

Ketika diiminta mengulas mengenai insiden itu tahun lepas, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa pelancaran peluru berpandu udara-ke-udara oleh sebuah pesawat pejuangnya terhadap pesawat pengintip Britain itu adalah disebabkan “kesilapan teknikal”. — DSA

Comments
Loading...