Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Hantar MiG-31, Peluru Berpandu Hypersonik “Kinzhal” Ke Syria. Amaran Kepada Britain?

Ini merupakan kerahan pertama ke Syria bagi pesawat pejuang MiG-31K itu dan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” itu dan kehadiran kedua-dua aset tentera Russia di negara Timur Tengah itu menimbul pelbagai persoalan.

0 2,292

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia telah mengerahkan dua buah pesawat MiG-31K “Foxhound” yang dilengkapi dengan peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” ke Syria bersama-sama beberapa pesawat pengebom TU-22M “Backfire” dan pesawat peperangan kapal selam IL-38.

Ini merupakan kerahan pertama ke Syria bagi pesawat pejuang MiG-31K itu manakala bagi peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” pula,  ia adalah kerahan pertamanya di luar Russia sejak Russia membangunkan peluru berpandu itu beberapa tahun lepas.

Kehadiran aset-aset tentera Russia di negara Timur Tengah pada ketika ini telah menimbul pelbagai persoalan dikalangan pemerhati.

Ia membangkitkan pelbagai persoalan kerana kerahan pesawat-pesawat pejuang serta pengebom Russia dan peluru berpandu Hypersonic itu berlaku hanya beberapa hari selepas insiden mencemaskan di perairan Crimea di Laut Hitam melibatkan kapal destroyer Type 45 HMS Defender dan tentera Russia.

Insiden di perairan Crimea itu hampir menjerumuskan Russia dan Britain ke kancah peperangan.

Malah Timbalan Menteri Luar Russia Sergey Rybkov semalam berkata negara itu tidak teragak-agak mengebom kapal perang British sekiranya mereka gagal mematuhi amaran yang dikeluarkan mereka supaya menjauhi perairan Russia.

Russia menganggap perairan Crimea sebagai miliknya manakala British pula berpendapat perairan Crimea masih kekal menjadi milik Ukraine sebagaimana diperakui oleh undang-undang antarabangsa.

Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Russia itu kini berada di Pangkalan Udara Khemeimim, tidak jauh daripada pantai Latakia di Syria.

Adakah kerahan MiG-31K, peluru berpandu Hypersonic Kinzhal serta pesawat pengebom TU-22M ke Syria itu berkait rapat dengan insiden di Crimea itu? Adakah ia amaran kepada Britain…..

Kapal HMS Defender yang terlibat dalam insiden di pantai Crimea beberapa hari lepas itu merupakan sebahagian daripada rombongan kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth yang kini berada di timur Laut Mediterranean, tidak jauh daripada Syria.

Tu-22M
Pesawat pengebom Tu-22M Russia mendarat di Pangkalan Udara Khmeimim, Syria untuk menjalani “latihan.”

 

Kementerian Pertahanan Russia mengatakan pesawat-pesawat pejuang MiG-31K dan pesawat pengebom TU-22M di Syria itu adalah kerana menjalani latihan.

Minggu lepas, beberapa pesawat F-35B Lightning telah berlepas daripada HMS Queen Elizabeth untuk melakukan operasi anti-ISIS di Iraq dan penganalisis turut mendakwa Russia mengerah aset-aset tambahan tenteranya ke Syria sebagai reaksi kepada operasi tentera British itu.

Peluru berpandu Hypersonic “Kinzhal” itu memiliki kelajuan di antara 10 hingga 12 Mach dan boleh membedil sasaran sejauh 2,000km.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...