Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Pesawat Pejuang Gen-5 Turkiye, “KAAN” Lebih Baik Dari F-35 Amerika”

“Pesawat pejuang ini (KAAN) adalah lebih baik berbanding pesawat pejuang F-35. Pesawat pejuang F-35 hanya mampu membawa enam tan persenjataan, manakala pesawat pejuang KAAN berkemampuan membawa sebanyak 10 tan persenjataan.” -- Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Temel Kotil.

0 6,145

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi kelima yang sedang dibangunkan oleh Turkiye, “KAAN” adalah lebih baik berbanding pesawat pejuang generasi kelima F-35 yang diperbuat oleh Amerika Syarikat, menurut ketua pegawai eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Temel Kotil.

TAI merupakan kontraktor utama yang membangunkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye itu.

“Pesawat pejuang ini (KAAN) adalah lebih baik berbanding pesawat pejuang F-35. Pesawat pejuang F-35 hanya mampu membawa enam tan persenjataan, manakala pesawat pejuang KAAN berkemampuan membawa sebanyak 10 tan persenjataan.”

“Pesawat pejuang KAAN dilengkapi dengan dua enjin manakala pesawat pejuang F-35 pula hanya dilengkapi dengan satu enjin,” kata beliau, sebagaimana dipetik media-media sosial baru-baru ini.

Katanya, pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu akan dilengkapi dengan enjin buatan syarikat tempatan pada tahun-tahun 2028-2029.

KAAN
Temel Kotil

 

“Pesawat pejuang KAAN perlu dibina 100 peratus oleh kepakaran tempatan untuk survival negara kita,” katanya sambil menegaskan bahawa Turkiye tidk boleh bergantung kepada mana-mana negara untuk teknologi yang penting.

Menurut Kotil lagi, dengan dua enjin ia bermakna pesawat pejuang “KAAN” itu memiliki tenaga yang lebih bagi membolehkan radarnya dipancarkan lebih jauh dan kawasan yang lebih luas berbanding pesawat pejuang satu enjin F-35.

Beliau juga berkata bahawa pesawat pejuang “KAAN” yang telah pun melakukan dua penerbangan berkemampuan berhadapan dengan kesemua jenis pesawat pejuang yang berada di pasaran pada ketika ini.

Menurutnya, TAI telah pun membelanjakan sejumlah US$2 billion (RM9.4 billion) untuk program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” setakat ini.

“Jurutera-jurutera TAI akan terus bekerja membangunkan pesawat pejuang KAAN dan pesawat-pesawat selepas itu,” kata beliau, TAI akan menghantar 20 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu kepada Tentera Udara Turkiye bermula pada tahun 2028.

TAI katanya, akan menghantar lebih banyak pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2030-2032 dan jumlah keseluruhan pesawat pejuang itu yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Turkiye adalah melebihi 100 buah.

KAAN
“KAAN”

 

“Ratusan pesawat pejuang KAAN akan memasuki inventori,” kata Kotil.

Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.

“KAAN” menyertai pesawat-pesawat generasi kelima yang lain di pasaran pada ketika ini seperti F-22 “Raptor”, F-35 buatan Amerika Syarikat, J-20 “Mighty Dragon” dan J-31 buatan China dan Su-57 “Felon” buatan Russia.

Penerbangan kedua pesawat pejuang generasi kelima  “KAAN” itu berlaku pada pagi Isnin lepas dan berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.

Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.

Ankara mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 kerana berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

KAAN
“KAAN”

 

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Di dalam tempoh ujian penerbangan pada ketika ini, kesemua pesawat-pesawat prototaip KAAN akan menggunakan enjin F110 buatan syarikat GE sebelum ia digantikan sepenuhnya dengan enjin turbofan yang sedang dibangunkan oleh syarikat tempatan, TEI (TUSAS Engine Industries).

 Syarikat pembuat enjin Turkiye, TEI menyatakan bahawa enjin buatan dalam negeri yang akan digunakan oleh pesawat pejuang generasi kelima negara itu “KAAN” sudah hampir siap.

Syarikat TEI merupakan usahasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan General Electric Aerospace (GE Aerospace).

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye. — DSA

Comments
Loading...