Rusia Dedah Su-57M1: Varian Terkini Pesawat Pejuang Generasi Kelimanya Pada Separuh Harga F-35
Pengumuman ini dibuat oleh juruterbang ujian veteran, Sergei Bogdan dalam satu pendedahan berprofil tinggi di Moscow, mempamerkan pelbagai penambahbaikan yang direka bagi memastikan industri penerbangan Rusia terus bersaing dalam keupayaan penguasaan ruang udara, serangan tepat dan peperangan masa depan berasaskan dron.
Pada 15 Mei 2025, United Aircraft Corporation (UAC) Rusia melalui Sukhoi Design Bureau telah mendedahkan secara rasmi versi dinaik taraf Su-57M1 — satu mercu tanda baharu yang menandakan kesungguhan Moscow untuk mengukuhkan pengaruhnya dalam arena jet pejuang generasi kelima.
Pengumuman ini dibuat oleh juruterbang ujian veteran, Sergei Bogdan dalam satu pendedahan berprofil tinggi di Moscow, mempamerkan pelbagai penambahbaikan yang direka bagi memastikan industri penerbangan Rusia terus bersaing dalam keupayaan penguasaan ruang udara, serangan tepat dan peperangan masa depan berasaskan dron.
Su-57M1, yang digelar “Felon” oleh NATO, merupakan evolusi penting kepada platform asal Su-57, sebuah pesawat yang sejak sekian lama dilihat sebagai jawapan Moscow terhadap pesawat halimunan Barat seperti F-22 Raptor dan F-35 Lightning II.
Varian terkini Su-57M1 menggabungkan reka bentuk air frame halimunan yang dioptimumkan, enjin generasi baharu, sistem kecerdasan buatan (AI) bersepadu dan keupayaan beroperasi bersama loyal wingman — satu elemen penting dalam memastikan ‘kill chain’ kekal berdaya tahan di medan konflik berisiko tinggi.
Dengan ukuran kira-kira 14.8 meter panjang, rentang sayap 9.8 meter dan tinggi 4.6 meter, rangka Su-57M1 yang direka semula ini menggunakan bahan komposit terkini termasuk polimer, struktur honey comb aluminium dan gentian karbon.
Pendekatan ini menumpukan kepada pengurangan berat dan pengurusan Radar Cross Section (RCS) bagi mencapai keseimbangan praktikal antara halimunan dengan prestasi aerodinamik.
Berbeza dengan RCS pesawat pejuang F-22 yang sangat rendah dianggarkan hanya 0.0001 m², RCS Su-57M1 dianggarkan dalam lingkungan 0.1–1 m² — satu pertukaran strategik yang meletakkan keutamaan kepada kelincahan dan fleksibiliti muatan untuk memenuhi keperluan operasi wilayah Rusia yang luas.

Di bahagian dalaman, ruang senjata (weapon bays) pada pangkal sayap dan di bawah badan pesawat dapat menyembunyikan peluru berpandu, manakala hard points luaran boleh digunakan apabila tahap halimunan tidak lagi kritikal — satu pilihan yang sangat berguna untuk misi serangan intensif merentasi barisan hadapan yang luas seperti yang berlaku di Ukraine ketika ini.
🚀 Enjin Generasi Baharu: Izdeliye 30 dan Supercruise
Varian terkini Felon Su-57M1 kini dilengkapi dengan enjin baharu Saturn AL-51F1, juga dikenali sebagai Izdeliye 30, dengan tujahan (thrust) mencecah 15,000–18,000 kgf.
Enjin generasi baharu ini membolehkan Su-57M1 terbang dalam mod supercruise pada Mach 1.6 (sekitar 1,200 mph) tanpa penggunaan afterburner, sekali gus menjimatkan bahan api dan memanjangkan radius tempur — yang dilaporkan sekitar 1,500 km (930 batu).
Keupayaan jarak operasi ini mengatasi F-35, memberikan kemampuan Tentera Udara Aeroangkasa Rusia jangkauan strategik untuk mengawal ruang udara dari Kaliningrad ke Vladivostok.
Satu lagi kelebihan utama ialah kemampuan supermanuver yang menjadi tanda pengenalan jet ini, hasil penggunaan muncung ekzos berteknologi 3D thrust-vectoring — meneruskan legasi reka bentuk hebat Sukhoi seperti Su-27 Flanker dan Su-35 Super Flanker.
Dalam pertempuran jarak dekat (dogfight), kemampuan Su-57M1 melakukan “post-stall manuver” yang kompleks sebagai faktor penarik, biarpun pertempuran udara kini lebih banyak bergantung kepada peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR).
Sistem avionik Su-57M1 pula menggambarkan aspirasi Rusia untuk merapatkan jurang teknologi dengan pesaing Barat.
