Ruang Udara Asia Tenggara Bakal “Sibuk” Dengan Rafale, F-35B, Gripen E/F, F-15EX
Di dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang ini, ruang udara Asia Tenggara akan “sibuk” dengan kehadiran pesawat-pesawat pejuang baru seperti JAS39 Gripen E/F (Thailand), Rafale dan kemungkinan F-15EX (Indonesia) serta F-35B (VSTOL) oleh Tentera Udara Republik Singapura.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tindakan beberapa negara Asia Tenggara memperolehi pesawat-pesawat pejuang pelbagai guna (Multi Role Combat Aircraft) di dalam beberapa tahun kebelakangan ini dijangka akan meningkatkan lagi “tekanan” kepada Malaysia untuk memperolehi pesawat pejuang MRCA yang baru bagi “bersaing” dengan pesawat-pesawat pejuang yang lebih baru itu.
Di dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang ini, ruang udara Asia Tenggara akan “sibuk” dengan kehadiran pesawat-pesawat pejuang baru seperti JAS39 Gripen E/F (Thailand), Rafale dan kemungkinan F-15EX (Indonesia) serta F-35B (VSTOL) oleh Tentera Udara Republik Singapura.
Malah Filipina pun dijangka akan membuat keputusan pada tahun ini tentang pilihan pesawat pejuang MRCA miliknya yang kini adalah di antara JAS39 Gripen dan F-16 Block 70 serta kemungkinan pesaing terbaru, KF-21 “Boramae” dibangunkan oleh Korea Industries Aerospace (KAI).
Myanmar pula baru sahaja menerima pesawat pejuang Su-30 buatan Russia manakala Vietnam pula dilaporkan sedang berunding dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi pesawat pejuang F-16.
Kemasukkan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 dan generasi kelima ke dalam inventori tentera udara Asia Tenggara dijangka akan meningkatkan tekanan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-4 milikinya iaitu Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet.
TUDM memiliki 18 buah pesawat pejuang Su-30MKM buatan Russia dan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D buatan Amerika Syarikat.
Walaupun pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan menandatangani kontrak berniilai RM4 billion untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang FA-50M (FA-50 Block 20) daripada gergasi aeroangkasa Korea Selatan, KAI, namun FA-50M adalah dikategorikan sebagai pesawat pejuang ringan (light combat aircraft).
Walaupun varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM adalah varian paling berkeupayaan, namun ia tetap pesawat pejuang ringan dan bukan pesawat pejuang MRCA.
Malaysia mempunyai perancangan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang F/A-18D Legacy Hornet pada tahun 2035 manakala bagi pesawat pejuang Su-30MKM, pihak TUDM menerusi program CAP55 merancang untuk menamatkan perkhidmatannya pada 2040.
Walapun pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet itu telah dinaiktaraf menerusi kerja-kerja Mid-Life Upgrade (MLU), tetapi persoalan tetap timbul sama ada dikalangan pemerhati atau orang awam, sama ada pesawat-pesawat pejuang TUDM itu boleh bersaing dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 dan kelima milik negara-negara Asia Tenggara yang jauh lebih baru.
Sebab itulah, TUDM dipercayai berdepan dengan tekanan untuk kembali “menyeimbangkan” kuasa udara Asia Tenggara dengan mula menilai pesawat-pesawat MRCA untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang Su-30MKM dan F/A-18D Legacy Hornet.
Pada ketika ini, keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara terutamanya membabitkan TUDM dengan tentera-tentera udara negara Asia Tenggara yang lain telah berubah dengan beberapa negara terutamanya negara-negara jiran, Indonesia dan Singapura mula “meninggalkan” Malaysia menerusi perolehan pesawat-pesawat pejuang Rafale dan F-35B (Vertical Short Take-Off Landing).
Jika kerajaan dan TUDM tidak bertindak dengan pantas, maka “capability gap” dalam keseimbangan kuasa udara di Asia Tenggara itu akan lebih melebar apabila negara-negara lain di Asia Tenggara mempeolehi pesawat-pesawat pejuang yang lebih baru dan lebih berkeupayaan.
Ini tidak termasuk lagi cabaran dihadapi pesawat-pesawat pejuang TUDM apabila bertugas di Laut China Selatan, dengan kemungkinan pertembungan dengan pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 dan kelima milik Tentera Udara China .
Sebagaimana telah pun diketahui sebelum ini, China telah mengerahkan pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya J-20 “Mighty Dragon” untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan. — DSA
Comments are closed.