Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] KD Lekir Tenggelamkan Kapal Perang Amerika Pada RIMPAC

Kapal korvet negara, KD Lekir telah berjaya melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 tepat ke sasaran pada Sinking Exercise (SINKEX ) sempena RIMPAC yang berlangsung pada 12 Julai lepas.

0 7,984

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal korvet negara, KD Lekir telah terlibat dalam “Sinking Exercise” (SINKEX) pada Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC)di perairan Hawaii bersama beberapa kapal perang serta pesawat negara lain telah berjaya menenggelamkan kapal ex-USS Rodney M.Davis (FFG 60).

Selain kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, kapal-kapal perang dan pesawat yang terlibat dalam SINKEX itu adalah daripada Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.

Kapal KD Lekir telah berjaya melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 tepat ke sasaran pada SINKEX itu yang berlangsung pada 12 Julai lepas.

KD Lekir
Peluru berpandu Exocet yang dilancarkan oleh KD Lekir pada Sinking Exercise (SINKEX) sempena RIMPAC. (kredit DVIDSHUB)

 

Sasaran iaitu ex-USS Rodney M.Davis merupakan sebuah kapal Guided Missile Frigate daripada kelas Oliver Hazard Perry.

“Kapal korvet kelas Kasturi itu telah mencipta sejarah kerana ia merupakan kali pertama aset TLDM membuat penembakan misil di luar perairan Malaysia,” menurut TLDM dalam satu kenyataan hari ini.

Penembakan telah disaksikan oleh Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Farizal Myeor di K. Mark Takai Pacific, Warfighting Center di Ford Island, Hawaii.

“RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan laut yang mengambil bahagian. Penyertaan ini merupakan satu pengalaman yang menambah nilai professionalisme kru KD Lekir,” kata Panglima TLDM dalam kenyataan tersebut.

Pada 22 Mei lepas, kapal KD Lekir telah berjaya melancarkan peluru berpandu daripada jenis yang sama semasa Eksesais Taming Sari di perairan Selat Melaka Utara sebagai persediaan untuk ke RIMPAC kali ke-28.

Selepas dua minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC telah keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 buah kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 buah negara.

Ini adalah kali kedua TLDM menyertai RIMPAC selepas KD Lekiu mengambil bahagian pada tahun 2018.

KD Lekir
Kapal guided missile frigate ex-USS Rodney M.Davis selepas terkena peluru berpandu yang dilancarkan oleh kapal dan pesawat Malaysia, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat pada SINKEX sempena RIMPAC. (kredit DVIDSHUB)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Eksesais maritim antarabangsa terbesar dunia ini merupakan satu peluang latihan bersama pelbagai negara di samping mengukuhkan jalinan kerjasama di antara negara.

“Saya pasti warga kapal sudah tidak sabar untuk menyertai edisi RIMPAC yang seterusnya,” tambah Panglima TLDM. — DSA

KD Lekir
Kapal korvet KD Lekir ketika melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 di perairan utara Selat Melaka dalam Eksesais Taming Sari yang berlangsung pada 22 Mei lepas (ATM)

 

 

Comments
Loading...