Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Lekir Diberi Kepercayaan Tembak Exocet MM40 Block II Pada RIMPAC 2022

Pada RIMPAC 2022 itu, kapal korvet TLDM KD Lekir juga diberikan mandat dan kepercayaan untuk diletakkan dalam Kumpulan Carrier Strike Group (CSG) bersama-sama kapal pengangkut pesawat Amerika serta beberapa buah kapal destroyer daripada Jepun dan Korea Selatan serta Amerika sendiri.

0 2,249

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal korvet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekir yang akan terlibat dalam Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) di Kepulauan Hawaii bermula 29 Jun hingga 4 Ogos ini telah diberikan kepercayaan untuk melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 Block II pada eksesais itu.

Pegawai Memerintah KD Lekir Komander Mohd Asri Dasman berkata, penembakan peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 Block II oleh KD Lekir pada Eksesais RIMPAC tahun ini merupakan suatu “milestone” yang amat penting kepada TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

KD Lekir akan menunjukkan kemampuan TLDM dan ATM dengan melancarkan penembakan peluru berpandu anti-kapal dalam Sinking Exercise (SINKEX) pada RIMPAC 2022 itu.

RIMPAC
Kapal korvet TLDM, KD Lekir semasa Eks Taming Sari di Selat Melaka baru-baru ini. (TLDM)

 

“Ini (penembakan peluru berpandu anti-kapal oleh KD Lekir pada RIMPAC 2022) merupakan milestone yang amat penting untuk TLDM dan ATM memandangkan kita akan menunjukkan capability kita di arena antarabangsa. Ia dilakukan di luar zon maritim Malaysia,” katanya.

Pegawai Memerintah KD Lekir itu berkata demikian ketika ditemuramah dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan stesen televisyen RTM semalam.

KD Lekir turut melancarkan peluru berpandu anti-kapal Exocet dalam Eksesais Taming Sari minggu lepas.

Pada SINKEX dua tahun lepas, kapal-kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat dan negara peserta RIMPAC 2000 telah menenggelamkan sebuah kapal kargo amfibia (amphibious cargo vessel) “USS Durham” yang telah ditamatkan tauliah oleh Tentera Laut Amerika pada 1994.

Tugasan menenggelamkan USS Durham itu dimulakan oleh kapal selam Amerika, USS Jefferson City yang melancarkan torpedo MK-48 sebelum helikopter tentera laut negara itu melancarkan peluru berpandu “Hellfire” dan “Harpoon” terhadap kapal yang telah dibersarakan itu.

RIMPAC
Pelancaran peluru berpandu “Exocet”

 

USS Durham kemudiannya dibedil oleh peluru berpandu “Harpoon” yang dilancarkan oleh kapal kruiser USS Lake Erie manakala kapal destroyer USS Chung-Hoon pula menembaknya menggunakan meriamnya.

Selepas itu kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) Tentera Laut Brunei, KDB Darulehsan turut melancarkan peluru berpandu Harpoon terhadap USS Durham pada SINKEX dua tahun lepas manakala kapal Tentera Laut Australia, HMAS Stuart pula membedilnya menggunakan meriam manakala helikopternya pula melancarkan peluru berpandu “Hellfire.”

Pegawai Memerintah KD Lekir itu juga berkata selain diberikan kepercayaan untuk membuktikan kemampuannya dalam menembak peluru berpandu anti-kapal, kapal korvet TLDM itu juga telah diberikan mandat dan kepercayaan untuk diletakkan dalam Kumpulan Carrier Strike Group (CSG) dengan kapal pengangkut pesawat Amerika serta beberapa buah kapal destroyer daripada Jepun dan Korea Selatan serta Amerika sendiri.

“Ini sebenarnya merupakan satu penghormatan kepada kita (TLDM) kerana tidak banyak negara yang boleh terlibat secara langsung dalam aktiviti Carrier Strike Group seperti ini,” kata beliau.

Pegawai Memerintah KD Lekir itu juga berkata, kapal korvet TLDM itu akan terlibat dalam pelbagai operasi maritim pada RIMPAC 2022 termasuk latihan pertahanan udara (air defence exercise) dan lain-lain.

RIMPAC
Kapal USS Durham dibedil oleh beberapa peluru berpandu pada SINKEX yang diadakan sempena RIMPAC dua tahun lepas.

 

KD Lekir juga akan terlibat dengan “Theatre Anti-Submarine Warfare” dimana kapal korvet TLDM itu akan mengesan dan “engage” kapal selam luar negara, katanya.

Eksesais RIMPAC 2022 secara rasminya akan bermula pada 29 Jun ini dan berakhir pada 4 Ogos depan.

KD Lekir akan mula belayar ke Kepulauan Hawaii Isnin ini (30 Mei) dan kembali semula ke Lumut pada 6 September untuk pelayaran selama kira-kira tiga bulan.

RIMPAC
Rim of the Pacific (RIMPAC)

 

“Kita amat komited untuk melaksanakan latihan dengan terbaik,” kata beliau.

Eksesais RIMPAC merupakan latihan laut terbesar di dunia yang dianjurkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dan disertai oleh 26 buah negara-negara rakan dan sekutunya.

Dijangkakan sebanyak 41 buah kapal perang daripada negara-negara peserta bakal terlibat dengan eksesais RIMPAC itu termasuk empat buah kapal selam, lebih daripada 170 buah pesawat dan 25,000 anggota tentera daripada 27 buah negara kesemuanya. — DSA

 

Comments
Loading...