Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Rakyat Korea Utara Buat Penampilan Pertama di Mahkamah AS Selepas Diekstradisi Daripada M’sia

Kertas pertuduhan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa Chol Myong merupakan perisik Korea Utara dan bernaung di bawah agensi perisikan utama negara itu, Reconnaisance General Bureau (RGB).

0 2,950

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rakyat Korea Utara, Mun Chol Myong yang diekstradisi daripada Malaysia membuat penampilan pertama di mahkamah di Washington, Amerika Syarikat bagi menjawab pelbagai pertuduhan berkenaan aktiviti penipuan dan pengubahan wang haram.

Ahli perniagaan berusia 55 tahun itu menjadi warga Korea Utara pertama diekstradisi ke Amerika Syarikat daripada mana-mana negara.

Korea Utara
Isteri Mun Chol Myong ketika berada di mahkamah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kertas pertuduhan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa Chol Myong merupakan perisik Korea Utara dan bernaung di bawah agensi perisikan utama negara itu, Reconnaisance General Bureau (RGB).

Beliau didakwa telah menipu bank Amerika Syarikat untuk mengubah wang haram berjumlah US$1.5 juta dan seterusnya melanggar sekatan ekonomi terhadap Korea Utara yang dikenakan oleh negara Uncle Sam itu dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pihak berkuasa Amerika Syarikat menyatakan warga Korea Utara itu terlibat dalam skim untuk membekalkan barangan-barangan mewah kepada kerajaan negara itu yang dipimpin oleh pemimpinnya, Kim Jong-un.

Chol Myong ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia pada 2019 dan selepas menjalani proses perundangan selama dua tahun di mahkamah negara ini, beliau diperintahkan supaya diekstradisi ke Amerika Syarikat pada 9 Mac lepas.

Keputusan mahkamah Malaysia supaya warga Korea Utara itu diekstradisi ke Amerika Syarikat telah membangkitkan kemarahan Pyongyang yang bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Kedua-dua negara telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1973.

Sebagai tindak balas, Wisma Putra mengarahkan kesemua kakitangan diplomatic dan tanggungan mereka meninggalkan Malaysia di dalam tempoh 48 jam.

Korea Utara memberi amaran bahawa Malaysia akan “menanggung akibat”.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...