Kejayaan Eksport Rafale Beri “Masalah” Pada Tentera Udara Perancis
Disebabkan kejayaan eksport pesawat pejuang Rafale di pasaran antarabangsa, juruterbang pesawat pejuang itu dalam Tentera Udara Perancis kini berhadapan dengan masalah kekurangan jam penerbangan sehingga tidak menepati tahap yang ditetapkan oleh NATO.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peningkatan eksport pesawat pejuang Rafale sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menimbulkan masalah terhadap Tentera Udara Perancis dan juruterbangnya yang melihat jam penerbangan mereka dengan pesawat pejuang itu semakin menurun.
Disebabkan kejayaan eksport pesawat pejuang Rafale di pasaran antarabangsa, juruterbang pesawat pejuang itu dalam Tentera Udara Perancis kini berhadapan dengan masalah kekurangan jam penerbangan sehingga tidak menepati tahap yang ditetapkan oleh NATO.
Dalam satu laporan kepada Parlimen Perancis baru-baru ini, juruterbang-juruterbang pesawat Rafale tentera udara negara itu dijangka akan hanya menerbangkan pesawat itu selama 147 jam pada tahun 2023 berbanding 162 jam pada tahun ini.
Ia tidak menepati standard yang digariskan oleh NATO yang menghendaki setiap juruterbang pesawat pejuang untuk berada di dalam pesawat selama 180 jam setahun.
Anggota parlimen Perancis Frank Giletti yang menyiapkan laporan itu mengatakan kekurangan jam penerbangan yang dialami oleh juruterbang pesawat Rafale Tentera Udara Perancis itu amat berbahaya ketika suasana strategik antarabangsa memerlukan juruterbang-juruterbang pesawat kombat negara itu berada pada tahap kesiapsiagaan paling tinggi dan sentiasa bersiap-sedia.
Kementerian Angkatan Tentera Perancis dalam reaksinya terhadapa laporan oleh Giletti itu berkata bahawa kekurangan jam penerbangan dialami oleh juruterbang pesawat Rafale berpunca daripada kekurangan pesawat pejuang yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation di dalam tentera udara negara Eropah itu.
Ia berkata keadaan dialami oleh juruterbang pesawat Rafale Tentera Udara Perancis itu sebahagian besarnya berpunca daripada tindakan menjual Rafale kepada Croatia,sekaligus mengurangkan lagi bilangan pesawat itu di dalam tentera udaranya.
Pada Nov tahun lepas, kerajaan Croatia menandatangani perjanjian bernilai US$1.1 bilion dengan Perancis untuk membeli 12 buah pesawat pejuang Rafale F-3R yang masih digunakan oleh Tentera Udara Perancis.
Kesemua 12 buah pesawat pejuang terpakai Rafale itu akan diserahkan kepada Croatia pada tahun depan.
Sebelum penjualan pesawat pejuang terpakai Rafale kepada Croatia, kerajaan Perancis juga menandatangani perjanjian dengan Greek pada Januari 2021 untuk menjual 24 buah pesawat pejuang Omnirole itu.
Sebanyak 12 buah daripada pesawat Rafale yang dibeli oleh Greek itu merupakan pesawat-pesawat yang masih digunakan oleh Tentera Udara Perancis manakala selebihnya adalah pesawat yang akan dibina baru oleh syarikat pembuatnya.
Untuk menggantikan 24 buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Perancis yang “hilang” kepada Greek dan Croatia, Kementerian Angkatan Tentera negara dijangka akan membeli 40 buah pesawat Rafale varian termoden iaitu F4 pada tahun depan.
Bagaimanapun Tentera Udara Perancis hanya akan mula menerima 40 buah pesawat Rafale yang baru itu pada tahun 2027.
Selain itu, kejayaan eksport pesawat Rafale terutamanya penjualan 80 buah pesawat itu kepada Emiriah Arab Bersatu dan 36 buah kepada Indonesia juga bermakna syarikat Dassault Aviation juga berhadapan dengan tekanan untuk meningkatkan pengeluaran pesawat itu bagi memenuhi permintaan daripada luar dan dalam negara.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Pada Julai lepas, Timbalan Ketua Staf Tentera Udara Perancis memberitahu Parlimen negara itu bahawa masalah kekurangan jam penerbangan yang dialami oleh juruterbang-juruterbang pesawat Rafale negara itu akan berterusan selama dua tahun lagi.
Katanya lagi, keadaan masih lagi boleh diterima sekiranya pesawat-pesawat baru yang dipesan itu diterima tepat pada masanya.
Bagaimanapun, jika pesawat-pesawat itu gagal disiapkan mengikut jadual, maka Tentera Udara Perancis akan berhadapan dengan masalah besar memaksanya bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.— DSA
Comments are closed.