Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tambahan Enam Radar Coastal Surveillance System (CSS) untuk Pantai Timur Sabah

Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahanan akan mengoperasikan 14  buah radar pengawasan pesisir pantai itu di kawasan ESSZONE bertujuan untuk memastikan kawasan Pantai Timur Sabah itu sentiasa selamat daripada segala ancaman terutamanya kumpulan-kumpulan Kidnap-For-Ransom (KFR) dan segala elemen jenayah rentas sempadan.

0 2,507

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan akan memperolehi enam buah radar Coastal Surveillance System (CSS) yang baru untuk mengawasi kawasan di ESSZONE (Eastern Sabah Security Zone – Zon Selamat Pantai Timur Sabah), menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini.

Perolehan enam buah radar CSS itu adalah untuk menggantikan lima buah radar CSS yang sudah mengalami kerosakan dan tidak lagi boleh diperbaiki, menyebabkan Kementerian Pertahanan melucut tauliah sistem itu.

“Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti keperluan bagi menutup sepenuhnya
kelompangan ini di kawasan tersebut dengan melaksanakan perolehan sebanyak enam buah
radar yang kita decommissioned-kan itu lima.”

“Tapi, kita tambah lagi satu iaitu untuk jadi gap filler yang baharu,” kata beliau.

Menurut Mohamad lagi, jumlah keseluruhan peruntukan bagi perolehan enam buah radar tersebut adalah lebih kurang RM57 juta yang akan diperolehi dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas ini (RMK13).

Radar
(Gambar hiasan)

 

RMK13 akan bermula pada tahun 2026 hingga 2030.

Pada ketika ini, Kementerian Pertahanan sedang mengoperasikan lapan buah radar CSS1206, yang baru sahaja selesai dinaiktaraf pada September lalu.

Projek menaik taraf ini menurut Menteri Pertahanan,  bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pengesanan radar dan keupayaan perintah dan kawalan.

Kesemua radar tersebut adalah berstatus operasi sepenuhnya (full mission capabilities).

Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahanan akan mengoperasikan 14  buah radar pengawasan pesisir pantai itu di kawasan ESSZONE bertujuan untuk memastikan kawasan Pantai Timur Sabah itu sentiasa selamat daripada segala ancaman terutamanya kumpulan-kumpulan Kidnap-For-Ransom (KFR) dan segala elemen jenayah rentas sempadan.

“Selain daripada faktor geografi, kedudukan Pantai Timur Sabah yang berhampiran dengan kepulauan di Selatan Filipina dan juga Indonesia membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman.

“Ancamannya, ancaman bukan tradisional juga ya, iaitu termasuk jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu gugat keamanan dan keselamatan kawasan berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.

Pantai Timur Sabah merangkumi 10 daerah persisiran bermula dari Kudat hingga ke Tawau iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. Dengan panjang pantainya lebih kurang 1,733 kilometer.

Ia melibatkan 361 buah pulau dan kawasan daratan seluas 31,158 kilometer persegi, iaitu 42 peratus daripada permukaan bumi negeri Sabah.

Radar
Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

 

Mengenai Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang beroperasi di Pantai Timur Sabah pula, Menteri Pertahanan berkata, Kementerian Pertahanan baru sahaja selesai pada pertengahan tahun ini melaksanakan refit bernilai lebih RM11 juta terhadapnya.

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah itu merupakan bekas pelantar minyak yang dihadiahkan oleh Petronas kepada Kementerian Pertahanan yang mengubahsuainya untuk menjadi pangkalan laut terapung di Pantai Timur Sabah.

Angkatan Tentera Malaysia meletakkan pelbagai unitnya di pangkalan terapung itu termasuk Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah itu dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 2016 oleh Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Pertahanan berkata, disebabkan kos untuk mengoperasikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah itu terlalu tinggi, maka Kementerian Pertahanan berkemungkinan akan menamatkan operasi pangkalan itu pada 2026. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...