Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bukti Pertama Kemusnahan Kereta Kebal PT-91 “Twardy” Di Ukraine?

Hari ini akaun Twitter dikenali dengan nama  “Ukraine Weapons Tracker” @UAWeapons dalam postingnya, telah menunjukkan bukti pertama kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy” sumbangan Poland di medan peperangan di Ukraine. (Video insiden itu boleh didapati akaun Defence Security Asia di Twitter dan Threads)

0 17,518

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagai di antara yang paling menyokong kuat Ukraine, Poland telah menyumbang pelbagai sistem persenjataan bagi membantu tentera negara jirannya itu menangani pencerobohan tentera Russia.

Sejak konflik di antara Russia dan Ukraine tercetus pada Februari tahun lepas, Poland tidak henti-henti mengirimkan bekalan senjata kepada Kiev dan antara senjata yang dihantarnya termasuklah kereta-kereta kebal.

Antara kereta kebal yang disumbang oleh Poland kepada Ukraine termasuk PT-91 “Twardy”, kereta kebal yang sama digunakan oleh Tentera Darat Malaysia dinamakan “Pendekar”.

PT-91

Tentera Darat Malaysia memiliki 48 buah kereta kebal PT-91M “Pendekar”.

Pada Januari tahun ini, ketika ditemuramah oleh media Kanada, Perdana Menteri Poland Mateusz Morawieki mengesahkan bahawa ia bersedia untuk memindahkan puluhan buah kereta kebal PT-91 “Twardy” miliknya kepada Ukraine.

 “Poland adalah negara pertama yang telah menghantar 250 buah kereta kebal kepada Ukraine. Kali ini kami bersedia untuk menghantar 60 buah daripada kereta kebal PT-91 yang telah dinaiktaraf serta 14 buah kereta kebal Leopard 2,” kata beliau kepada media Kanada.

Dan hari ini akaun Twitter dikenali dengan nama  “Ukraine Weapons Tracker” @UAWeapons dalam postingnya telah menunjukkan bukti pertama kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy” sumbangan Poland di medan peperangan di Ukraine.

Bukti tersebut dalam bentuk video menunjukkan api marak menyelubungi turret kereta kebal itu.

Menurut keterangan akaun media sosial itu, kereta kebal PT-91 “Twardy” itu telah dimusnahkan oleh tentera Russia bersama-sama kereta kebal T-72EA dan juga kereta perisai M113 yang disumbang oleh tentera Amerika Syarikat.

PT-91

Ketiga-tiga aset yang digunakan oleh tentera Ukraine menjadi mangsa serangan tentera Russia di Zaphorizia Oblast di selatan Ukraine.

Pada ketika ini, tidak pasti sama ada kemusnahan kereta kebal PT-91 “Twardy”  sumbangan Poland itu disebabkan oleh bedilan peluru berpandu anti-kereta kebal, periuk api atau peluru artileri.

Bagaimanapun, Ukraine Weapons Tracker menyatakan ia adalah kemusnahan pertama kereta kebal PT-91 “Twardy” sumbangan Poland di Ukraine.

Kereta kebal PT-91 “Twardy” Poland merupakan kereta kebal T-72M yang telah dinaiktaraf.

Kereta kebal PT-91 Twardy seberat 46 tan itu merupakan varian kereta kebal T-72 yang telah dinaiktaraf dengan alatan dan komponen Barat menjadikannya lebih berkemampuan dan berkeupayaan daripada kereta kebal T-72 yang asal.

Semasa Perang Dingin, Poland menghasilkan kereta kebal T-72 secara berlesen tetapi pada pertengahan 1980-an ia mula mencari pengganti kepada kereta-kereta kebal buatan Russia-nya itu.

PT-91
Kereta Kebal PT-91 “Twardy” Tentera Poland
Kereta Kebal
Kereta kebal PT-91M “Pendekar” Tentera Darat melepaskan tembakan daripada meriam 125mm pada raptai Latihan Kuasa Tembakan 2022. ((kredit Tentera Darat Malaysia)

 

Membeli varian terkini T-72 atau kereta kebal yang lebih moden iaitu T-80 merupakan antara cadangan yang dipertimbangkan oleh Poland, tetapi situasi politik dalam negara pada itu membataskan keupayaan kewangannya.

Oleh itu ia bertindak menaiktaraf kereta-kereta kebal T-72 yang dimiliknya kepada PT-91 “Twardy.”

Selepas dinaiktaraf, kereta kebal PT-91 adalah amat berlainan dengan T-72 kerana ia telah dilengkapkan dengan plet-plet armor reaktif, enjin lebih berkuasa, fire control system yang jauh lebih baik, mekanisme loading yang baru dan berbagai penambahbaikan yang meningkatkan lagi prestasi PT-91 ke suatu tahap yang baru.  

Kereta kebal PT-91 juga menggunakan meriam 125mm smoothbore, yang membolehkan tentera Ukraine menggunakan peluru-peluru yang sama sebagaimana ia gunakan pada kereta-kereta kebal T-72 miliknya.

Tentera Poland dikatakan memiliki sehingga 232 buah kereta-kereta kebal PT-91 “Twardy”. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...