Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Poland “Derma” Kereta Kebal PT-91 “Twardy” aka “Pendekar” Ke Ukraine

Sekiranya laporan bahawa Poland akan memindahkan kereta kebal PT-91 Twardy atau “Pendekar” ke Ukraine, maka, bolehlah kita menilai sendiri prestasi kereta kebal utama yang turut digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu apabila berhadapan dengan tentera Russia.

0 2,751
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Poland dikatakan akan “mendermakan” 232 kereta kebal utama PT-91 “Twardy” miliknya kepada Ukraine selepas Amerika Syarikat bersetuju untuk memberinya 300 buah kereta kebal terpakai M1A1 Abrams.

 

Kereta kebal PT-91 “Twardy” itu turut digunakan oleh Tentera Darat kita yang memberinya nama “Pendekar.” 

Pada ketika ini, Poland yang bersempadan dengan Ukraine telah pun mendermakan kira-kira 240 buah kereta kebal T-72MR (varian T-72 yang telah dipertingkatkan) kepada negara jirannya itu.

PT-91
Kereta kebal PT-91 Twardy atau “Pendekar” Tentera Darat Malaysia (BTDM)

 

Namun disebabkan serangan bertali-arus pihak Russia, bantuan-bantuan oleh Poland dan negara lain tidak mencukupi dan Ukraine memerlukan lebih banyak bantuan senjata termasuk kereta kebal. 

Sekiranya laporan tentang “derma” 240 buah kereta kebal PT-91 kepada Ukraine itu benar, maka bilangan keseluruhan kereta kebal utama milik Poland kepada Ukraine berjumlah lebih daripada 500 buah. 

Poland sememangnya mahu mendermakan lebih banyak kereta kebal kepada Ukraine tetapi ia bergantung kepada persetujuan Amerika Syarikat untuk memberikan kereta kebal Abrams kepadanya. 

Tanpa persetujuan Washington itu berkenaan Abrams, mustahil Poland akan mendermakan kereta kebal PT-91 “Twardy”  itu kerana ia juga bimbang terhadap ancaman Russia dan memerlukan kereta kebal “Twardy” itu untuk mempertahankan negaranya. 

Selain 300 kereta kebal M1A1 Abrams terpakai yang bakal diterimanya daripada Amerika Syarikat, Poland turut telah  menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat untuk membeli 250 buah kereta kebal Abrams M1A2 SEPv3  bernilai US$5.9 bilion (RM24.7 bilion). 

Kereta kebal M1A2 SEPv3 adalah varian yang telah dipertingkatkan.

Poland merupakan antara negara yang paling kuat memberi bantuan ketenteraan kepada Ukraine selain menjadi “pangkalan” kepada usaha Amerika Syarikat untuk melatih tentera Ukraine dalam mengendalikan senjata-senjata yang didermakan oleh negara-negara Eropah.

Sebelum konflik, Ukraine dikatakan memiliki kira-kira 850 buah kereta kebal terdiri daripada T-80,T-72 dan juga T-64, sekaligus menjadikan ia sebagai antara negara di Eropah yang memiliki angkatan kereta kebal yang terbesar.

Bagaimanapun, akibat konfliknya dengan Russia yang kini telah memasuki bulan ketiga, tentera Ukraine juga berhadapan dengan tahap kemusnahan yang tinggi terutama kereta-kereta kebalnya akibat dibedil oleh senjata anti-kereta kebal Russia.

Sebenarnya,  pasukan armor Ukraine dan Russia mengalami kemusnahan yang besar dalam konflik ini.

Poland
Kereta kebal M1A2 SEPv3 “Abrams”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Kereta kebal PT-91 Twardy seberat 46 tan itu merupakan varian kereta kebal T-72 yang telah dinaiktaraf dengan alatan dan komponen Barat menjadikannya lebih berkemampuan dan berkeupayaan daripada kereta kebal T-72 yang asal.

Selain Poland yang dipercayai memiliki kira-kira 230 buah kereta kebal PT-91 Twardy, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memiliki 48 buah kereta kebal tersebut  di dalam inventorinya yang dinamakan “Pendekar”.

Sekiranya laporan bahawa Poland akan memindahkan kereta kebal PT-91 Twardy atau “Pendekar” ke Ukraine, maka, bolehlah kita menilai sendiri prestasi kereta kebal utama yang turut digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu apabila berhadapan dengan tentera Russia.

Bagaimana ketahanan armor (Erawa ERA) PT-91 Twardy aka “Pendekar” apabila ia berhadapan dengan senjata-senjata anti-kereta kebal Russia? — DSA

 

 

 

 

Comments
Loading...