Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Eagle 44”, Pangkalan Udara Bawah Tanah Khas Iran Untuk Su-35

"Apa-apa serangan terhadap Iran daripada musuhnya termasuk Israel, akan menerima respons daripada banyak pangkalan udara tentera udara kami termasuk 'Eagle 44' ," kata Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Jeneral Mohamed Bagheri kepada agensi berita negara itu, IRNA.

0 5,519

(DEFENCE SECURITY ASIA) – –  Baru-baru  ini tentera Iran telah mendedahkan pangkalan udara bawah tanahnya, yang dikenali dengan nama “Eagle 44” yang julung-julung kali dibina untuk melancarkan sebarang serangan balas terhadap Israel atau mana-mana pihak. 

“Apa-apa serangan terhadap Iran daripada musuhnya termasuk Israel, akan menerima respons daripada banyak pangkalan udara tentera udara kami termasuk ‘Eagle 44’ ,” kata Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Jeneral Mohamed Bagheri kepada agensi berita negara itu, IRNA.

IRNA menyatakan bahawa “Eagle 44” merupakan antara kemudahan tentera paling penting Iran dan bakal digunakan untuk menempatkan pesawat pejuang yang dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis jarak jauh.

Analisis oleh pemerhati pertahanan antarabangsa mendedahkan bahawa kemungkinan pangkalan udara bawah tanah Iran yang dinamakan “Eagle 44” sedang disiap-sediakan untuk menempatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-35 yang bakal diterimanya daripada Russia. 

Iran dijangka menerima 24 buah pesawat pejuang Su-35, yang merupakan antara pesawat pejuang paling moden Russia itu pada akhir tahun ini, yang bakal meningkatkan lagi kemampuan  Tentera Udara Iran. 

Iran
Pangkalan udara bawah tanah Iran “Eagle 44”

 

Tentera Udara Iran sebelum ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang Barat yang berusia seperti F-4 Phantom, yang diwarisinya ketika negara itu masih dibawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.

Russia menawarkan kepada Iran kesemua pesawat pejuang itu selepas pembeli asalnya, Mesir berhadapan dengan ancaman sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat jika negara di bawah CAATSA itu meneruskan pembelian pesawat itu.

Pada tahun lepas, Teheran menyatakan bahawa ia bakal menerima pesawat-pesawat pejuang Su-35 daripada Russia hasil kerjasama erat kedua-dua negara dalam bidang pertahanan, dengan Iran muncul sebagai pembekal utama senjata kepada Russia dalam kempen ketenteraan di Ukraine. 

Iran membekalkan ribuan dron-dron berani mati keluaran industri pertahanannya kepada Russia yang menggunakannya di Ukraine. 

Iran
Kedudukan “Eagle 44”

 

Imej-imej satelit juga mendedahkan bahawa pihak tentera Iran telah membina sebuah mock-up pesawat pejuang Su-35 bagi memastikan pangkalan udara memiliki ruangan yang cukup untuk menempatkan pesawat pejuang buatan Russia itu.

“Mock-up pesawat pejuang Russia itu berkemungkinan besar digunakan untuk memastikan setiap ruangan di dalam pangkalan udara bawah tanah itu cukup luas untuk pergerakan Su-35, membuktikan lagi bahawa pesawat itu akan ditempatkan di kemudahan bawah tanah terbabit,” menurut bekas penganalisis imej kerajaan Amerika Syarikat Chris Biggers kepada akhbar The New York Times baru-baru ini. 

Menurut beliau lagi, Iran telah membina dua buah mock-up pesawat pejuang Su-35 bagi memastikan pembina pangkalan udara bawah tanah itu mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang saiz pesawat itu dan seterusnya memudahkan usahanya membina pangkalan bawah tanah itu.

Su-35
Pesawat Su-35

 

Akhbar The New York Times juga menyatakan bahawa pangkalan udara bawah tanah Iran yang akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang canggih buatan Russia itu terletak di kawasan bergunung-ganang wilayah Hormozgan di selatan Iran.

Wilayah Hormozgan itu terletak hanya 100 batu daripada Selat Hormuz, laluan maritim yang penting untuk kapal-kapal membawa muatan minyak. 

Imej-imej satelit yang dianalisa juga menunjukkan bahawa pangkalan udara bawah tanah Iran itu memiliki lima pintu keluar masuk dan kerja-kerja pembinaan masih lagi berjalan sehingga kini. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...