PL-XX: Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Hipersonik China Ancaman Baru Dominasi Udara AS di Indo-Pasifik
“Bagaimana PL-XX Hipersonik China Berpotensi Memaksa AS dan Sekutunya Merombak Strategi Dominasi Udara di Indo-Pasifik”

China terus mengukuhkan cengkaman teknologinya dalam arena persenjataan udara dengan laporan terbaharu bahawa negara itu kini berada pada tahap kritikal pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara hipersonik terbaharu yang dikenali sebagai PL-XX.
Peluru berpandu generasi baharu ini, jika maklumat awal tepat, dianggarkan memiliki jangkauan operasi luar biasa sehingga 800 km, menjadikannya dua kali ganda lebih jauh berbanding peluru berpandu PL-17 VLRAAM yang sudah pun dianggap sebagai antara ancaman terbesar kepada pesawat sokongan Amerika Syarikat di rantau Indo-Pasifik.
Kemunculan PL-XX dijangka memberi kesan besar terhadap doktrin peperangan udara AS yang selama ini banyak bergantung kepada pesawat AWACS, tanker pengisian bahan api di udara dan pesawat perisikan yang beroperasi jauh di belakang barisan hadapan untuk memastikan penguasaan udara dapat dipertahankan.
Rangkaian pakar dan forum penyelidikan pertahanan China beberapa bulan kebelakangan ini hangat memperkatakan tentang perkembangan PL-XX selepas beberapa jurnal saintifik China mendedahkan petanda bahawa program ini telah mencapai tahap ujian reka bentuk penting.
Difahamkan, keupayaan PL-XX dengan jangkauan luar biasa dan kelajuan hipersonik akan memberikan kelebihan taktikal kepada Tentera Udara Pembebasan Rakyat (PLAAF) untuk menundukkan pesawat bernilai tinggi tetapi kurang lincah seperti pesawat amaran awal udara (AWACS), tanker pengisian bahan api dan platform ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance).
Menurut laporan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) sebelum ini, China sememangnya diakui telah memperkukuh barisan peluru berpandu jarak jauh melalui PL-17 dan sedang giat membangunkan versi yang lebih canggih di bawah nama PL-XX atau PL-21.
Laporan tersebut juga mendedahkan bahawa China sedang meneroka teknologi pemanduan dua mod (dual-mode guidance) yang menggabungkan radar aktif dengan penjejak inframerah untuk meningkatkan keupayaan memilih sasaran dan menangkis gangguan elektronik.

Sekiranya PL-XX benar-benar mampu terbang pada kelajuan hipersonik, maka peluang untuk pesawat sokongan AS melakukan manuver mengelak akan menjadi sangat tipis.
Pakar menjangkakan sasaran akan mempunyai masa reaksi yang sangat singkat apabila amaran tembakan dikeluarkan, sekali gus memaksa Pentagon merombak sepenuhnya konsep ‘zon selamat’ untuk pesawat sokongan.
Untuk memahami bagaimana China sampai ke tahap ini, kita perlu melihat kembali sejarah penghasilan peluru berpandu udara-ke-udara negara itu sejak hujung 1990-an.
Ketika itu, China melancarkan program PL-10, iaitu peluru berpandu jarak dekat berpandukan inframerah setara dengan AIM-9X Sidewinder Amerika Syarikat dan R-73 Archer buatan Rusia.
Selepas itu, China memperkenalkan PL-12, peluru berpandu jarak sederhana berpanduan radar aktif sebaris dengan AIM-120 AMRAAM Amerika Syarikat.
Kedua-dua jenis peluru berpandu ini kini menjadi tulang belakang kepada kekuatan udara China, melengkapi pesawat tempur J-10, J-11, J-15, serta pesawat siluman kebanggaan China, J-20 Mighty Dragon.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini pula, pengenalan PL-15 dan PL-17 telah menambahkan lagi sengat kepada kuasa udara Beijing.

PL-15 dilaporkan mempunyai penjejak radar AESA dan enjin ramjet bahan api pepejal, membolehkannya mengejar sasaran pada jarak lebih 200 km.
Manakala PL-17 pula membawa jarak tembakan ke tahap 400 km — satu tahap yang direka khas untuk menggugat keselamatan pesawat sokongan AS di kawasan belakang garisan hadapan.
Kini, PL-XX muncul dengan potensi jangkauan sehingga 800 km.
Jarak ini tidak lagi hanya ‘memanjangkan’ kemampuan PLAAF tetapi boleh mengaburkan terus sempadan antara doktrin A2/AD dan pemburuan sasaran bernilai tinggi di kawasan sokongan musuh.
Bayangkan, jika PL-XX dipasang pada pesawat J-20 atau pesawat tempur generasi baharu J-35 yang akan dioperasikan dari kapal induk, pesawat pejuang China boleh melancarkan serangan ke atas AWACS atau tanker AS tanpa perlu mendekati radius tempur F-22 Raptor atau F-35 Lightning II milik Amerika.
Lebih membimbangkan, senario ini memberi nafas kepada strategi anti-access/area-denial (A2/AD) Beijing yang sebelum ini banyak bergantung kepada peluru berpandu balistik anti-kapal DF-21D, peluru berpandu ‘carrier killer’ DF-26, serta sistem pertahanan udara jarak jauh HQ-9B.
Kesan strategik PL-XX tidak hanya dirasai di Beijing.
Di Pentagon, keupayaan hipersonik ini memaksa pihak Amerika mempercepat pembangunan peluru berpandu udara-ke-udara generasi baharu AIM-260 JATM (Joint Advanced Tactical Missile) yang diharapkan mampu menyamai atau melepasi keupayaan PL-15 dan PL-17.
