Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PETRONAS Bakal Sumbang RM55 Bilion-RM59 Bilion Pada K’jaan Tahun Ini

Unjuran jumlah keuntungan oleh PETRONAS (selepas cukai) bagi tahun 2022 adalah sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion.

0 834

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan harga minyak dunia yang tinggi pada ketika ini,  PETRONAS dianggarkan bakal menyumbang di antara RM55 bilion hingga RM59 bilion kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad, berkata jangkaan sumbangan PETRONAS itu termasuk sumbangan dalam bentuk dividen, cukai korporat dan petroleum, cukai Makmur, bayaran tunai petroleum dan duti eksport.

“Daripada anggaran sumbangan RM55 bilion hingga RM59 bilion itu, cukai pendapatan petroleum (PITA) bagi tahun 2022 dianggar RM14 bilion ke RM16 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Petronas

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu kerajaan menyatakan unjuran jumlah keuntungan oleh PETRONAS.

Anwar juga ingin tahu berhubung unjuran jumlah hasil Kerajaan Persekutuan daripada cukai pendapatan petroleum (PITA) bagi tahun 2022.

Pada masa sama, Mustapa berkata, unjuran jumlah keuntungan oleh PETRONAS (selepas cukai) bagi tahun 2022 adalah sekitar RM75 bilion hingga RM80 bilion.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan unjuran dalam laporan kewangan PETRONAS pada Mac 2022 dengan andaian PETRONAS bahawa harga minyak mentah Brent kekal berada pada paras AS$100.03 (RM446.79) setong dan juga pengeluaran tidak terganggu sepanjang tahun 2022.

Pada Jumaat, harga minyak dunia (Brent Crude) didagangkan pada harga US$104.89 bagi satu tong

Petronas

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Sumbangan daripada syarikat minyak dan gas negara itu adalah sumber kewangan yang penting kepada kerajaan, yang dijangka akan membelanjakan kira-kira RM77 bilion untuk subsidi dan bantuan kewangan bagi membantu rakyat menangani masalah peningkatan inflasi.

Pada tahun lepas, PETRONAS menyumbang RM48.2 bilion dalam bentuk  dividen, cukai dan bayaran tunai kepada kerajaan, yang merupakan pemilik penuh syarikat minyak dan gas negara itu.

PETRONAS merupakan syarikat tunggal negara yang tersenarai dalam Fortune 500. — DSA

 

 

Comments
Loading...