Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Tentera Udara, Laut Amerika “Tersadai”, Tidak Diselenggara?

Laporan oleh Government Accountability Office (GAO) Amerika Syarikat itu mengatakan daripada 186 buah pesawat F-22 Raptor dimiliki oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada ketika ini, hanya 93 buah pesawat boleh digunakan untuk tujuan operasi pada bila-bila masa manakala selebihnya tidak bersedia berikutan beberapa masalah yang dihadapinya.

0 5,881

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh sebuah agensi pemantau kongres Amerika dipanggil, Government Accountability Office (GAO) menunjukkan bahawa pesawat-pesawat milik Tentera Udara dan Tentera Laut negara itu mempunyai masalah penyelenggaran yang amat serius.

Laporan bertajuk “Actions Needed to Address Persistent Sustainment Risks” itu melihat kepada lapan buah pesawat milik Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat daripada jenis pengebom, pejuang, pengisi minyak dan pemantau.

Kesimpulan yang diperolehi daripada laporan oleh agensi yang berfungsi seperti Jabatan Audit Negara di Malaysia itu sememangnya menggemparkan dan membimbangkan pegawai-pegawai kanan Tentera Udara dan Tentera Laut negara itu tentang tahap kesiapsiagaan pesawat-pesawat mereka untuk terlibat melaksanakan operasi serta penyelenggarannya.

F-22
F-22 Raptor

 

Banyak daripada pesawat-pesawat milik kedua-dua cabang angkatan tentera Amerika Syarikat tidak bersedia untuk “terbang” melaksanakan apa-apa misi, dengan kebanyakkanya tersadai berikutan beberapa sebab terutamanya membabitkan penyelenggaran dan kekurangan alat ganti antara lain.

Satu daripada intipati paling menggemparkan didapati daripada laporan itu membabitkan pesawat pejuang air dominance generasi kelima F-22 Raptor.

Laporan itu mengatakan bahawa daripada 186 buah pesawat F-22 dimiliki oleh Tentera Udara Amerika Syarikat pada ketika ini, hanya 93 buah pesawat boleh digunakan untuk tujuan operasi manakala selebihnya tidak bersedia berikutan beberaoa masalah yang dihadapinya.

Super Hornet
Pesawat F/A-18E/F “Super Hornet”

 

Selain pesawat F-22 Raptor yang memiliki rekod penyelenggaran yang buruk, sebuah lagi pesawat pejuang yang berhadapan dengan masalah yang sama adalah F/A-18E/F Super Hornet milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang hanya memiliki tahap kesiapsiagaan (readiness) pada kadar 51 peratus.

Tahap kesiapsiagaan sebanyak 51 peratus bagi pesawat Super Hornet Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah amat rendah berbanding 75 peratus yang disasarkannya oleh angkatan itu.

Pada ketika ini, Tentera Laut negara itu memiliki 530 pesawat Super Hornet tetapi laporan oleh agensi yang bernaung di bawah Kongress Amerika Syarikat itu menunjukkan hanya 267 buah pesawat itu berada di tahap siap-siaga yang tinggu untuk “terbang” melaksanakan apa-apa misi apabila diarahkan pada bila-bila masa.

Super Hornet
Pesawat Super Hornet ketika menjalani ujian dengan kapal pengangkut pesawat USS Gerald Ford.

 

Yang lainnya, jika hendak dikerah untuk melaksanakan operasi pada bila-bila masa, ia memerlukan pesawat dimasukkan ke “hospital” (penyelenggaraan) terlebih dahulu sebelum boleh terbang untuk operasi.

Kedua-dua pesawat, F-22 Raptor dan F/A-18 E/F Super Hornet mempunyai masalah besar di dalam aspek kesiapsiagaan (readiness) dengan tahap siap-siaga mereka pada ketika ini adalah sub-par, sebagaimana dikatakan oleh laporan itu.

Laporan oleh GAO itu turut menunjukkan pesawat-pesawat pengangkut C-130T dan KC-130T milik Tentera Laut Amerika Syarikat mempunyai tahap “kesiapsiagaan” (readiness) pesawat yang paling rendah iaitu hanya pada 36.5 peratus dan 32.4 peratus.

Hanya satu pertiga pesawat pengangkut itu boleh dikerah unutk operasi pada bila-bila masa.

KC-130T
Pesawat KC-130T Tentera Laut Amerika

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pihak GAO memberi amaran bahawa Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat pada ketika ini tidak mempunyai pelan mitigasi untuk mengatasi masalah berkenaan penyelenggaran pesawat mereka atau soal kesiapsiagaan untuk “terbang” melaksanakan misi apabila ia diarahkan.

Pihak agensi pemantau yang bernaung di bawah kongress juga mengatakan bahawa ia telah menerbitkan pelbagai laporan berkenaan soal-soal kesiapsiagaan dan penyelenggaraan pesawat-pesawat milik Tentera Udara dan Tentera Laut ,tetapi, kerapkali laporan-laporan itu dipandang enteng atau sepi oleh Tentera Udara dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Malah kata pihak GAO,  Jabatan Pertahanan dan pihak kongress Amerika Syarikat juga memandang sepi laporan yang dikemukakankannya itu. — DSA

Comments
Loading...