Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PETRONAS Catat Keuntungan Selepas Cukai RM18.9 Bilion Bagi Enam Bulan 2021

Jumlah aset PETRONAS mengukuh kepada RM609.1 bilion setakat 30 Jun lalu, daripada RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020 disokong pelaburan dana dan tunai lebih tinggi.

0 885

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS mencatat peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 100 peratus kepada RM18.9 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini, berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM16.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2020.

Syarikat juga kembali meraih keuntungan selepas cukai berjumlah RM9.6 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021, berbanding kerugian selepas cukai RM21 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi lebih baik itu berikutan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM57.1 bilion pada suku dikaji tahun ini iaitu lonjakan sebanyak 68 peratus berbanding RM34 bilion yang dicatatkan pada suku kedua tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, berkata prestasi kukuh syarikat itu disokong tindak balasnya dalam membolehkan kecemerlangan operasi berterusan dalam tempoh persekitaran pasaran yang baik pada separuh pertama tahun ini.

“PETRONAS dapat memanfaatkan rantaian nilai bersepadu dengan fokus lebih tinggi kepada kecemerlangan komersial, selain mengekalkan tahap kecairan sihat yang terbukti bermanfaat kepada kami.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

 

“Di tengah-tengah prospek yang tidak menentu ini, kumpulan tetap teguh menyediakan penyelesaian menjimatkan kos dengan jejak karbon lebih rendah menerusi langkah memajukan teknologi dan agenda digitalisasi,” kata beliau.

Keputusan kewangan positif PETRONAS itu disokong harga purata direalisasi yang menguntungkan bagi produk utama dan jualan lebih tinggi, dipacu kebanyakan jualan gas dan gas asli cecair (LNG).

Dari aspek perolehan, PETRONAS meraih pendapatan RM109.6 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini, melonjak 17 peratus berbanding RM93.6 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Setakat 30 Jun 2021, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM32.7 bilion daripada RM26.3 bilion sebelumnya, terutama disebabkan keuntungan operasi tunai yang lebih tinggi.

Jumlah aset PETRONAS mengukuh kepada RM609.1 bilion setakat 30 Jun lalu, daripada RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020 disokong pelaburan dana dan tunai lebih tinggi.

Bagi tempoh separuh pertama 2021, ekuiti pemegang saham syarikat minyak negara itu meningkat kepada RM331.1 bilion daripada RM330.6 bilion setakat 31 Disember 2020.

Dalam tempoh sama, perbelanjaan modal PETRONAS berjumlah RM12.7 bilion, kebanyakan digunakan untuk projek huluan.

Berhubung prospek perniagaan, Tengku Muhammad Taufik berkata, industri minyak dan gas menyaksikan pemulihan dalam harga serta permintaan minyak berikutan pembukaan semula ekonomi utama di seluruh dunia.

“Justeru, PETRONAS akan terus memberi tumpuan dalam memaksimumkan nilai dengan memanfaatkan rantaian nilai bersepadu kumpulan, meneroka peluang baharu dan mengurangkan ketidakpastian pasaran,” katanya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...